Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras SG merosot kepada 1.9% pada Nov

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Dec 2024 02:58PM Dikemas Kini : 23 Dec 2024 10:11PM
SINGAPURA: Inflasi Teras Singapura pada November merosot kepada 1.9 peratus daripada 2.1 peratus pada bulan Oktober.

Ia disebabkan inflasi makanan dan perkhidmatan yang lebih rendah, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Isnin (23 Dis).

Dari bulan ke bulan, inflasi teras - yang tidak termasuk penginapan dan pengangkutan persendirian - tidak berubah.

Sebaliknya kadar Inflasi keseluruhan bulan lalu naik kepada 1.6 peratus berbanding 1.4 peratus pada bulan Oktober.

Ini disebabkan oleh kemerosotan kos pengangkutan privet yang lebih perlahan, mengatasi kejatuhan Inflasi Teras.

Dari bulan ke bulan, inflasi keseluruhan - yang tidak termasuk perbelanjaan bukan penggunaan seperti pembelian rumah, saham dan aset kewangan lain serta cukai pendapatan - juga kekal tidak berubah.

SEKTOR

Pengangkutan privet merosot pada kadar yang lebih perlahan, daripada -2.5 peratus setahun pada Oktober kepada -0.7 peratus setahun pada November, disebabkan kemerosotan yang lebih kecil dalam harga kereta.

Inflasi runcit dan barangan lain kekal tidak berubah pada 0.1 peratus, kemerosotan yang lebih kecil dalam harga pakaian dan kasut yang diimbangi oleh penurunan lebih besar harga barangan peribadi.

Inflasi tenaga elektrik dan gas juga kekal tidak berubah pada 2.5 peratus sedang harga elektrik meningkat pada rentak serupa pada Oktober dan November.

Inflasi penginapan turun daripada 2.5 peratus kepada 2.4 peratus berdasarkan kenaikan yang lebih kecil dalam harga sewa rumah.

Inflasi perkhidmatan merosot daripada 2.3 peratus kepada 2.2 peratus disebabkan kenaikan yang lebih kecil dalam perbelanjaan percutian dan penurunan yang lebih besar dalam yuran perkhidmatan telekomunikasi.

UNJURAN

MAS dan MTI menyatakan harga tenaga global sebahagian besarnya stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kekal di bawah paras purata setahun lalu.

Sementara itu, harga barangan pengilangan yang diimport Singapura juga terus merosot, seiring dengan penurunan inflasi global dan kadar pertukaran dolar Singapura berdasarkan perdagangan yang semakin kukuh secara bertahap-tahap.

Di peringkat domestik, kos unti buruh diunjurkan meningkat secara berperingkat di samping menyederhanakan pertumbuhan gaji nominal dan meningkatkan produktiviti.

Inflasi Teras dijangka kekal di bawah 2 peratus (termasuk kesan GST sekali sahaja) sehingga hujung 2024.

Ia diunjurkan mencecah purata 2.5 hingga 3.0 peratus pada 2024 secara keseluruhan, sebelum turun lagi kepada 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2025.

Inflasi keseluruhan juga dijangka sekitar 2.5 peratus bagi keseluruhan 2024 dan purata 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2025.

"Kenaikan yang dijangkakan dalam inflasi pengangkutan privet di tengah-tengah permintaan kukuh untuk kereta sepatutnya lebih daripada diimbangi oleh kos penginapan yang lebih rendah dan inflasi teras tahun depan," tambah MAS dan MTI.

Pihak berkuasa menambah bahawa risiko terhadap unjuran inflasi untuk 2025 sebahagian besarnya seimbang. Secara domestik, keadaan pasaran buruh yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh menyebabkan pertumbuhan kos buruh berkurangan dengan lebih perlahan.

“Ketegangan geopolitik yang semakin sengit boleh menyebabkan harga komoditi lebih tinggi dan menambah kos import,” menurut MAS dan MTI.

“Sebaliknya, kemerosotan yang ketara dalam ekonomi global boleh mendorong pengurangan lebih banyak tekanan kos dan harga, menyebabkan inflasi domestik lebih rendah daripada jangkaan.”
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan