Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras SG merosot kepada 0.8% pada Jan, terendah sejak Jun 2021

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi teras SG merosot kepada 0.8% pada Jan, terendah sejak Jun 2021
Diterbitkan : 24 Feb 2025 02:39PM Dikemas Kini : 24 Feb 2025 03:08PM
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura pada Januari turun kepada 0.8 peratus daripada paras 1.7 peratus pada Disember dalam perbandingan tahun ke tahun.

Paras bulan Januari itu yang paling rendah sejak Jun 2021.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengatakan kemerosotan itu disebabkan oleh inflasi yang lebih rendah bagi semua kategori indeks harga pengguna yang luas, kata dua badan itu pada Isnin (24 Feb).

Kali terakhir inflasi teras dicatat lebih rendah adalah pada Jun 2021, serendah 0.6 peratus.

Dalam perbandingan bulan ke bulan pula, inflasi teras, yang tidak termasuk penginapan dan pengangkutan privet, merosot sebanyak 0.2 peratus.

Sementara itu, inflasi keseluruhan merosot kepada 1.2 peratus pada Januari, berbanding 1.5 peratus pada Disember.

"Ini mencerminkan kadar inflasi yang sederhana bagi tempat penginapan, ddan kemerosotan inflasi teras," jelas pihak berkuasa.

Berdasarkan bulan ke bulan, inflasi keseluruhan, yang tidak termasuk perbelanjaan barangan bukan makanan seperti pembelian rumah, saham dan aset kewangan lain serta cukai pendapatan, jatuh 0.7 peratus.

INFLASI BERDASARKAN SEKTOR

Inflasi perkhidmatan turun daripada 1.6 peratus pada Disember kepada 1 peratus pada Januari, sebahagian besarnya disebabkan kos pendidikan umum, vokasional dan pengajian tinggi, serta khidmat penjagaan pesakit luar dan rawatan di hospital yang lebih murah.

Inflasi makanan jatuh kepada 1.5 peratus daripada 2.3 peratus dengan harga makanan siap masak meningkat pada kadar lebih perlahan.

Inflasi penginapan juga turun daripada 2.1 peratus kepada 1.6 peratus disebabkan peningkatan kecil pada kos sewa rumah, penyenggaraan dan kerja-kerja pembaikan.

Inflasi bagi barangan runcit dan yang lain merosot daripada 0.5 peratus kepada -0.6 peratus pada Januari,disebabkan harga kasut yang merosot dengan banyaknya, selain juga harga barangan perubatan dan barang peribadi lain.

Inflasi elektrik dan gas turun daripada 2.4 peratus kepada -2.9 peratus disebabkan harga elektrik lebih rendah, manakala harga gas meningkat pada kadar lebih perlahan.

Inflasi pengangkutan privet meningkat kepada 2.8 peratus daripada -0.9 peratus pada Disember disebabkan harga kereta lebih tinggi.

UNJURAN

MAS dan MTI menyatakan bahawa inflasi import Singapura dijangka kekal sederhana, yang mencerminkan "unjuran bekalan yang menggalakkan dalam pasaran komoditi makanan utama dan ramalan harga minyak global lebih rendah".

Di dalam negeri, kos buruh dijangka meningkat secara bertahap-tahap, apabila pertumbuhan gaji nominal berkurangan sedang produktiviti meningkat.

Subsidi pemerintah yang dipertingkat bagi perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan awam, pendidikan prasekolah dan pengangkutan awam akan terus meredakan inflasi perkhidmatan.

"Berdasarkan faktor-faktor ini, inflasi teras MAS dijangka mencapai purata 1.0 peratus hingga 2.0 peratus pada 2025," tambah MAS dan MTI.

Inflasi keseluruhan dijangka mencapai purata 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada 2025 di tengah-tengah "jangkaan inflasi pengangkutan privet yanvg lebih tinggi".
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan