Inflasi teras SG mereda kepada 1.4% pada April susuli peningkatan 2 bulan
Inflasi teras Singapura mereda kepada 1.4 peratus pada April, sekali gus membalikkan peningkatan selama dua bulan berturut-turut, menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Isnin (25 Mei).
Perkembangan tersebut didorong inflasi yang lebih rendah dalam perkhidmatan serta sektor runcit dan barangan lain, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan media bersama.
Dari bulan ke bulan, harga teras - yang tidak termasuk penginapan dan pengangkutan privet - meningkat 0.2 peratus pada April.
Inflasi keseluruhan, seperti yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna-Semua Barangan, kekal tidak berubah daripada Mac pada 1.8 peratus, sedang inflasi pengangkutan privet dan penginapan yang lebih tinggi diimbangi inflasi teras yang lebih rendah, menurut MAS dan MTI.
Dari bulan ke bulan, inflasi keseluruhan - yang tidak termasuk perbelanjaan bukan penggunaan seperti pembelian rumah, saham dan aset kewangan lain serta cukai pendapatan - susut 0.3 peratus pada April.
SEKTOR
Data rasmi menunjukkan inflasi pengangkutan privet meningkat daripada 6.6 peratus kepada 8.1 peratus disebabkan oleh kenaikan lebih besar pada harga petrol dan kereta.
Harga elektrik dan gas jatuh pada kadar lebih perlahan, daripada -4.3 peratus pada Mac kepada -3 peratus pada April, disebabkan oleh penurunan lebih kecil pada harga elektrik.
Inflasi penginapan meningkat sedikit daripada 0.3 peratus kepada 0.4 peratus pada April disebabkan oleh kenaikan lebih besar pada sewa rumah, menurut MAS dan MTI.
Inflasi makanan kekal tidak berubah pada 1.6 peratus. Inflasi makanan mentah dan khidmat makanan pada April pula kekal seperti bulan sebelumnya.
Inflasi runcit dan barangan lain meningkat pada kadar lebih perlahan - daripada 1.8 peratus pada Mac kepada 1.5 peratus pada April - sedang inflasi harga air mereda pada April.
Inflasi sektor perkhidmatan susut daripada 2.1 peratus kepada 1.5 peratus pada April disebabkan oleh kos insurans kesihatan yang lebih rendah serta harga khidmat telekomunikasi yang berkurangan.
PROSPEK
MAS dan MTI menyatakan tekanan kos import Singapura dijangka meningkat dan menjadi lebih meluas dalam bulan-bulan mendatang.
“Apabila kos tenaga dan input lain yang lebih tinggi akibat perkembangan di Timur Tengah merebak menerusi rantaian bekalan global, ia akan meningkatkan kos pengeluaran dan pengangkutan bagi pelbagai lagi barangan dan perkhidmatan import Singapura.
“Di dalam negara pula, unit kos buruh bagi perkhidmatan dijangka meningkat pada kadar lebih perlahan tahun ini sedang pertumbuhan gaji nominal mereda daripada paras kukuh tahun lalu. Sementara itu, perbelanjaan pengguna domestik mungkin menjadi lebih berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi yang meningkat.”
Pihak berkuasa mengekalkan unjuran inflasi teras dan keseluruhan pada purata 1.5 hingga 2.5 peratus bagi 2026.
“Pada ketika ini, risiko terhadap prospek inflasi menunjukkan kecenderungan untuk meningkat. Gangguan yang lebih berpanjangan terhadap bekalan tenaga global atau kekurangan input perantaraan utama bagi rantaian bekalan serantau boleh terus meningkatkan kos import Singapura,” menurut MAS dan MTI.
“Namun, risiko kemerosotan juga wujud. Pengurangan pengeluaran perindustrian akibat gangguan rantaian bekalan atau pengetatan mendadak keadaan kewangan global boleh menyebabkan kegiatan ekonomi menjadi perlahan dan justeru menurunkan inflasi.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.