Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras SG kekal tidak berubah 5.5% pada Feb

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi teras SG kekal tidak berubah 5.5% pada Feb

Orang ramai berjalan di kawasan pusat bandar (CBD) di Singapura pada 16 November 2022. (Gambar: Hanidah Amin/CNA)

SINGAPURA: Inflasi teras Singapura kekal tidak berubah pada 5.5 peratus dalam Februari berbanding setahun sebelumnya, menurut data rasmi pada Khamis (23 Mac).

Perangkaan itu lebih rendah daripada ramalan ahli ekonomi, dalam satu tinjauan Reuters, yang menetapkan kenaikan 5.8 peratus pada Februari.

Inflasi teras pada Januari meningkat kepada 5.5 peratus daripada 5.1 peratus iaitu yang tertinggi sejak November 2008.

Inflasi teras kekal tidak berubah disebabkan inflasi perkhidmatan lebih rendah secara amnya diimbangi oleh inflasi lebih tinggi bagi runcit dan barangan lain serta elektrik dan gas. Demikian menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Inflasi teras tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet.

Inflasi keseluruhan berada pada 6.3 peratus bagi Februari berbanding setahun lalu, lebih rendah daripada 6.6 peratus yang dicatatkan sebelumnya.

Ia sebahagian besarnya dipacu oleh inflasi pengangkutan privet yang lebih rendah.

INFLASI MAKANAN TIDAK BERUBAH, LEBIH RENDAH BAGI PERKHIDMATAN

Inflasi makanan pada Februari, kekal sama berada pada 8.1 peratus berbanding setahun sebelumnya.

Ini disebabkan kenaikan harga lebih mendadak bagi makanan tidak dimasak, yang diimbangi oleh kenaikan kecil pada harga makanan sudah dimasak, menurut MAS dan MTI.

Inflasi perkhidmatan yang merosot kepada 3.9 peratus daripada 4.2 peratus, menjadi sederhana berikutan tambang penerbangan lebih rendah.

Inflasi bagi runcit dan barangan lain meningkat kepada 3.8 peratus daripada 3.3 peratus. Ini sebahagian besarnya disebabkan cukai eksais tembakau lebih tinggi dan kenaikan lebih pantas pada harga produk jagaan peribadi serta barangan rekreasi dan kebudayaan.

Menteri Kewangan Lawrence Wong mengumumkan dalam ucapan Belanjawan lalu bahawa pemerintah akan menaikkan cukai eksais ke atas semua produk tembakau sebanyak 15 peratus.
 
Inflasi penginapan susut sedikit kepada 4.9 peratus daripada 5 peratus disebabkan harga sewa perumahan naik pada kadar lebih perlahan, menurut MAS dan MTI.

Inflasi elektrik dan gas meningkat kepada 12.1 peratus daripada 11.5 peratus pada Januari, didorong oleh kenaikan lebih tinggi pada kos elektrik.

Inflasi pengangkutan privet jatuh daripada 14.3 peratus kepada 12.1 peratus akibat kenaikan lebih kecil pada harga kereta serta harga minyak lebih rendah.

PROSPEK MASA DEPAN

"Keadaan permintan di ekonomi-ekonomi maju utama sudah berkurangan dan gangguan pada bekalan rantaian sejagat telah reda.

"Baru-baru ini, harga komoditi tenaga jatuh," menurut MAS dan MTI.

Kedua-duanya bagaimanapun, menarik perhatian bahawa harga komoditi makanan kekal tinggi dan inflasi teras di ekonomi-ekonomi maju utama masih tinggi.

Pertumbuhan ekonomi di Asia juga dijangkakan berdaya bingkas, lantas mampu menyokong inflasi serantau.

Di dalam negeri, kos buruh dijangka terus naik dalam masa terdekat.

MAS dan MTI juga menjangkakan perniagaan akan terus menyalurkan kos terkumpul daripada import, buruh dan yang lain-lain kepada harga pengguna.

Sementara itu, kenaikan harga kereta dan kos penginapan berkemungkinan kekal teguh dalam suku-suku seterusnya, didorong oleh kuota COE yang ketat bagi kereta dan permintaan kukuh utuk perumahan sewa.

Inflasi teras dijangka kekal berada di atas paras 5 peratus dalam suku pertama tahun ini berbanding setahun lalu. Ia dijangka kekal tinggi dalam separuh pertama tahun ini sebelum reda dalam separuh kedua "sedang pasaran buruh domestik yang ketat buat masa dan inflasi sejagat menjadi sederhana".

Untuk seluruh tahun 2023, inflasi utama dan inflasi teras diunjurkan mencatat purata 5.5 hingga 6.5 peratus dan 3.5 hingga 4.5 peratus.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan