Inflasi teras SG kekal tidak berganjak 5% pada April

(Gambar: Syamil Sapari/CNA)
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura kekal tidak berubah pada 5 peratus dalam April berbanding setahun sebelumnya, dengan inflasi lebih rendah bagi elektrik dan gas, makanan serta runcit dan barangan lain.
Inflasi lebih rendah dalam kategori-kategori tersebut diimbangi oleh kadar lebih tinggi bagi perkhidmatan berkaitan pelancongan bulan lalu, menurut Pengauasa Kewangan Singapura (MAS) serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Selasa (23 Mei).
Inflasi teras meningkat kepada 5.5 peratus pada Februari dan Januari 2023, mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun, sebelum merosot kepada 5 peratus pada Mac.
Inflasi teras tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan persendirian.
Inflasi keseluruhan menginjak kepada 5.7 peratus pada April berbanding setahun lalu, meningkat daripada 5.5 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Ia mencerminkan inflasi lebih tinggi bagi sektor perkhidmatan dan pengangkutan persendirian.
INFLASI MAKANAN, ELEKTRIK & GAS
Inflasi makanan terus mereda pada April, merosot daripada 7.7 peratus kepada 7.1 peratus.
Sementara itu, inflasi elektrik dan gas pula jatuh daripada 12.2 peratus kepada 2.7 peratus disebabkan kenaikan lebih rendah pada kedua-dua kos elektrik dan cukai gas.
Inflasi bagi runcit dan barangan lain turut merosot kepada 2.9 peratus daripada 3.3 peratus.
Inflasi perkhidmatan, bagaimanapun, naik daripada 3.4 peratus kepada 4.3 peratus. Ia dipacu oleh kenaikan kos tambang penerbangan dan peningkatan lebih pantas dalam perbelanjaan percutian.
Inflasi bagi penginapan naik sedikit daripada 4.8 peratus kepada 4.9 peratus.
Inflasi pengangkutan persendirian pula melonjak daripada 8.6 peratus kepada 10.4 peratus, didorong oleh kenaikan lebih tinggi pada harga kereta.
HARGA IMPORT SUSUT
MAS dan MTI menarik perhatian bahawa ketegangan pada rantaian bekalan sejagat sudahpun reda.
"Inflasi bagi barangan pengguna dalam ekonomi-ekonomi maju sudah kembali stabil, meskipun inflasi teras keseluruhan kekal tinggi. Harga tenaga dan komoditi makanan jatuh di bawah paras tertinggi yang dicatatkan tahun lalu," tambah MAS dan MTI.
"Akibatnya, harga import Singapura susut berbanding tahun lalu."
Inflasi teras dijangka kekal tinggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang, menurut pihak berkuasa.
"Sementara itu, dengan pertambahan kuota Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dan bekalan unit perumahan yang disediakan untuk sewa, inflasi pengangkutan persendirian serta penginapan dijangka menyederhana sepanjang tahun ini," tambah MAS dan MTI lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.