Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras SG jatuh kepada 5% pada Mac

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Apr 2023 04:53PM Dikemas Kini : 24 Apr 2023 08:52PM
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura jatuh kepada 5 peratus pada Mac berbanding tahun lalu iaitu kali pertama ia merosot sejak Oktober tahun lalu.

Angka pada Mac itu lebih rendah berbanding 5.5 peratus pada Februari dan Januari, sekali gus yang tertinggi dalam 14 tahun. Ia disebabkan kadar kenaikan lebih rendah bagi kos perkhidmatan, makanan, runcit dan barangan lain.

Demikian menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Inflasi teras tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet.

Angka 5 peratus pada Mac rendah sedikit daripada 5.1 peratus yang diramal pakar ekonomi dalam satu tinjauan Reuters.

Inflasi keseluruhan pada Mac sebanyak 5.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu itu, adalah lebih rendah berbanding 6.3 peratus yang dicatatkan pada Feb.

Ini sebahagian besarnya disebabkan inflasi pengangkutan privet yang lebih rendah.

INFLASI MAKANAN DAN RUNCIT TURUN

Inflasi makanan pada Mac, merosot sedikit kepada 7.7 peratus tahun berbanding tahun lalu, daripada 8.1 peratus pada Februari.

Ia disebabkan kadar kenaikan lebih rendah bagi harga makanan sudah dimasak dan makanan mentah, kata MAS dan MTI.

Inflasi perkhidmatan jatuh kepada 3.4 peratus daripada 3.9 peratus, disebabkan tambang pengangkutan lebih rendah.

Inflasi runcit dan barangan lain juga jatuh kepada 3.3 peratus daripada 3.8 peratus disebabkan kos produk penjagaan peribadi dan barangan rumah yang meningkat lebih perlahan.

Inflasi penginapan turun sedikit kepada 4.8 peratus daripada 4.9 peratus sedang kadar kenaikan sewa menjadi sederhana.

Inflasi pengangkutan privet turun daripada 12.1 peratus kepada 8.6 peratus disebabkan kadar kenaikan harga kereta yang lebih rendah dan harga minyak lebih murah.

Inflasi elektrik dan gas naik sedikit kepada 12.2 peratus daripada 12.1 peratus, disebabkan kenaikan kos elektrik yang lebih tinggi.

ANGKA MASIH TINGGI

Dalam satu nota mengenai prospek ekonomi, MAS dan MTI menyatakan: "Gangguan pada rantaian bekalan global sudah berkurangan, dan inflasi barangan pengguna di ekonomi yang maju sudah mula menjadi sederhana."

"Harga komoditi tenaga dan makanan merosot di bawah paras tertinggi yang dicatatkan pada tahun lalu. Oleh itu, harga import Singapura sudah merosot berbanding tahun lalu," tambah MAS dan MTI.

Meskipun demikian, inflasi teras masih berada di paras yang tinggi.

Dalam negeri, kos buruh dijangka meningkat lagi dalam masa terdekat. Perniagaan-perniagaan juga akan terus menyalurkan kos sedemikian kepada harga pelanggan, tetapi pada rentak lebih perlahan.

Sementara itu, kos kereta dan penginapan dijangka terus naik pada tiga bulan akan datang disebabkan kuota Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang lebih ketat dan permintaan kukuh bagi rumah sewa.

Bagi 2023 secara keseluruhannya, inflasi utama diramal antara 5.5. peratus hingga 6.5 peratus, manakala inflasi teras pula dianggar antara 3.5 peratus hingga 4.5 peratus.

 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan