Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras SG jatuh kepada 3% pada Sep; paras terendah sejak Mac 2022

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Oct 2023 03:23PM Dikemas Kini : 23 Oct 2023 11:56PM
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura terus menyaksikan trend yang menurun, selepas jatuh kepada 3 peratus pada September berbanding tempoh yang sama setahun lalu, menurut data rasmi pada Isnin (23 Okt).

Penurunan daripada 3.4 peratus pada bulan Ogos disebabkan oleh inflasi lebih rendah bagi makanan dan runcit dan barangan lain, dedah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Kali terakhir inflasi teras berada di bawah 3.0 peratus adalah pada Mac 2022, apabila ia mencatatkan 2.9 peratus.

Inflasi teras naik kepada 5.5 peratus pada bulan Januari dan Februari tahun ini, mencecah paras rekod selepas 14 tahun lamanya, sebelum turun semula pada bulan-bulan berikutnya.

Inflasi teras tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet.

Inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.1 peratus pada September tahun ini berbanding setahun lalu, naik dari 4.0 peratus pada bulan sebelum itu.

"Ini mencerminkan kenaikan pada inflasi pengangkutan privet yang lebih banyak mengimbangi penurunan inflasi teras dan penginapan," jelas MTI dan MAS.

SEKTOR

Inflasi makanan turun kepada 4.3 peratus pada September sedang harga makanan belum dimasak dan hidangan yang sudah siap dimasak meningkat dengan lebih perlahan.

Inflasi runcit dan barangan lain menjunam kepada 0.9 peratus selepas menyaksikan penurunan harga pakaian dan kasut, serta kelengkapan diri, manakala harga jagaan peribadi dan barangan perubatan naik dengan lebih perlahan.

Inflasi penginapan pada bulan September susut dari 4.4 peratus kepada 4.3 peratus tahun ini berbanding setahun lalu, dengan rentak kenaikan bagi sewa perumahan menjadi sederhana.

Kos tenaga elektrik dan gas pada bulan September jatuh pada kadar sama seperti Ogos pada -1.4 peratus, sedang penurunan lebih kecil bagi harga tenaga elektrik sebahagian besarnya diimbangi kejatuhan lebih curam bagi harga gas.

Inflasi perkhidmatan pada bulan September kekal tidak berubah pada 3.1 peratus, memandangkan kenaikan lebih besar bagi kos khidmat telekomunikasi diimbangi oleh kenaikan lebih kecil pada perbelanjaan percutian.

Inflasi pengangkutan privet melonjak dari 6.3 peratus kepada 8.5 peratus pada September, sedang harga kereta menyaksikan kenaikan lebih tinggi sementara harga petrol juga meningkat.

Inflasi teras dijangka lebih sederhana dalam masa beberapa bulan akan datang sedang kos import kekal rendah berbanding paras tahun lalu dan pasaran buruh domestik yang ketat semakin dilonggarkan, menurut MTI dan MAS.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan