Inflasi teras S'pura terus meningkat pada Ogos
Kos barangan runcit di Singapura kembali meningkat pada Ogos, didorong oleh inflasi lebih tinggi makanan dan kemerosotan lebih kecil dalam kos barangan runcit serta barangan lain.
Latar langit kawasan perniagaan di Singapura. (Foto: AFP/ROSLAN RAHMAN)
SINGAPURA: Kos barangan runcit di Singapura kembali meningkat pada Ogos, didorong oleh inflasi lebih tinggi makanan dan kemerosotan lebih kecil dalam kos barangan runcit serta barangan lain.
Demikian menurut data rasmi hari ini (23 Sep).
Inflasi teras naik 1.1 peratus dari tahun ke tahun, iaitu satu peningkatan dari 1.0 peratus pada Julai ketika ia melonjak ke kadar tertinggi dalam dua tahun.
Inflasi teras Singapura yang tidak termasuk penginapan dan kos pengangkutan privet kekal positif buat tujuh bulan berturut-turut.
Indeks Harga Pengguna (CPI), atau inflasi secara keseluruhannya, reda sedikit kepada 2.4 peratus pada Ogos dari 2.5 peratus pada Julai, menurut perangkaan daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).
Ini menunjukkan inflasi lebih rendah bagi pengangkutan privet, yang lebih daripada mengimbangi kenaikan pada inflasi teras, kongsi MAS dan MTI.
KOS MAKANAN TINGGI
Inflasi makanan naik 0.4 peratusan mata dari Julai kepada 1.5 peratus pada Ogos sedang harga makanan yang tidak dimasak dan hidangan siap dimakan meningkat dengan lebih banyak.
Bagi makanan yang tidak dimasak, ini secara umum disebabkan oleh kenaikan lebih tinggi pada harga buah-buahan, kata pihak berkuasa itu.
Harga elektrik dan gas serta harga perkhidmatan turut meningkat, namun pada rentak lebih perlahan berbanding Julai, masing-masing mencatat 9.7 peratus dan 1.2 peratus. Harga perkhidmatan itu disebabkan kemerosotan lebih tinggi dalam yuran khidmat-khidmat telekomunikasi, lapor MAS dan MTI.
Inflasi barangan runcit dan barangan lain kekal negatif tetapi merosot pada rentak lebih perlahan, iaitu 1.0 peratus. Ini mencerminkan kenaikan harga lebih tinggi bagi barangan peribadi dan sedikit kemerosotan pada kos produk penjagaan diri, menurut pihak berkuasa.
HARGA PENGINAPAN NAIK, PENGANGKUTAN PRIVET LEBIH PERLAHAN
Harga penginapan pula meningkat pada rentak lebih pantas pada Ogos, mencecah 1.7 peratus. Ini sejajar dengan kenaikan tinggi pada sewa rumah, menurut MAS dan MTI.
Kenaikan kos pengangkutan privet pula perlahan kepada 10.8 peratus, dari 12.6 peratus pada Julai. Pihak berkuasa menganggap ia disebabkan kenaikan lebih kecil pada harga kereta dan kemerosotan kos khidmat pengangkutan privet lain.
RAMALAN INFLASI
MAS dan MTI mengunjurkan inflasi teras akan terus meningkat secara perlahan dalam bulan-bulan mendatang. Kenaikan kecil pada inflasi keseluruhan turut diramalkan bagi suku keempat, disokong oleh inflasi penginapan.
Pihak berkuasa mengekalkan ramalan bahawa inflasi teras akan mencatat purata antara 0 dengan 1 peratus sepanjang 2021, dan antara 1 dengan 2 peratus bagi inflasi keseluruhan.
"Keadaan tidak menentu yang berlarutan" sedang Singapura beralih kepada kehidupan dengan COVID-19 mungkin akan menjejas sentimen pengguna dan melembapkan kenaikan harga domestik dalam jangka masa terdekat, tambah MAS dan MTI.
Kenaikan gaji juga perlu terus "dikawal" sedang kelembapan dalam pasaran buruh memerlukan masa untuk diserap sepenuhnya.
Pihak berkuasa meramalkan sewa komersil akan terus rendah, sekali gus menghadkan beban kos perniagaan secara keseluruhan.
Inflasi pengangkutan privet bagaimanapun kemungkinan besar "terus bertahan" ekoran "permintaan kukuh" bagi kereta, jelas pihak berkuasa. Inflasi penginapan juga mungkin terus meningkat menyusuli permintaan besar bagi rumah-rumah sewa.
Bagi inflasi luaran pula, ia kekal tinggi tetapi menunjukkan tanda semakin perlahan.
"Tekanan kepada inflasi global dijangkakan berkurangan sepanjang tahun ini. Harga minyak mentah jatuh baru-baru ini disebabkan keprihatinan tentang prospek ekonomi global di tengah-tengah penularan varian Delta yang lebih mudah berjangkit."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.