Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi meningkat, berapa banyak yang anda bayar untuk barangan dapur sekarang?

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi meningkat, berapa banyak yang anda bayar untuk barangan dapur sekarang?

Gambar-gambar: Facebook/NTUC FairPrice, Sheng Siong, Cold Storage Singapore)

Diterbitkan : 13 Mar 2022 01:33PM Dikemas Kini : 13 Mar 2022 01:33PM

SINGAPURA: Anda mungkin sudah menyedari bahawa bil barangan dapur anda tinggi sedikit daripada biasa.

Kadar inflasi teras Singapura, yang mengukur purata perubahan harga bagi barangan seperti makanan, elektrik dan gas, naik 2.4 peratus dari tahun ke tahun pada Januari - iaitu kenaikan tertinggi dalam lebih sembilan tahun. Untuk makanan sahaja, kadar inflasi pada bulan yang sama adalah 2.6 peratus.

Sungguhpun demikian, angka inflasi itu hanya mendedahkan sebahagian realitinya - jadi berapa banyak sebenarnya kenaikan harga barangan harian anda?

Untuk mengetahuinya, Mediacorp membandingkan harga-harga sekarang bagi sebahagian barangan asas daripada beberapa pasar raya dengan harga setahun yang lalu.

Mereka yang rajin membuat kuih dan kek serta penggemar telur mungking lebih merasakan kenaikan harga berbanding orang lain. Ini kerana, bagi barangan segar, harga telur naik paling ketara.

Pemeriksaan yang dilakukan Mediacorp menunjukkan sebungkus 30 biji telur jenama Pasar dijual pada harga S$6.15 di NTUC FairPrice pada Februari, naik dari S$4.75 dalam bulan yang sama pada 2021.

Telur segar daripada Sheng Siong juga mengalami kenaikan harga serupa, dari S$4.65 bagi 30 biji telur dalam bulan Februari 2021 kepada S$6.15 dalam bulan yang sama tahun ini.

Pihak pasar raya mengesahkan bahawa harga telur naik disebabkan pengeluaran, kos tenaga buruh dan pengangkutan, yang diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19.

Kumpulan runcit DFI, yang menguruskan pasar raya Cold Storage dan Giant, menyatakan harga telur naik sekitar seperlima hingga satu suku sejak tahun lalu.

FairPrice, yang merupakan rangkaian pasar raya terbesar Singapura, juga menyatakan bahawa harga-harga naik sekitar 10 peratus berbanding tahun 2021, bergantung kepada saiz bungkusan, beratnya dan negara asal telur tersebut.

Harga bagi sayuran segar juga naik, meskipun tidak begitu ketara.

Membandingkan harga-harga pada Februari 2021 dengan Februari 2022, harga sayur sawi kecil (200g) dan lobak (900g) dari China masing-masing naik 10 sen dan 5 sen.

Selada air atau 'watercress' (200g), bayam bulat (250g) dan tomato (500-600g) dari Malaysia pula naik antara 10 dengan 35 sen.

Daun bawang (100g) dari Thailand harganya kini naik 10 sen manakala harga taugeh tempatan (200g) naik 15 sen.

Namun, harga bagi sebahagian barangan lain kekal tidak berubah. Ini menurut perbandingan yang dilakukan Mediacorp terhadap barangan seperti ayam beku, beberapa jenama susu segar dan roti menunjukkan bahawa harganya tidak naik berbanding setahun lalu.

"Telur, sebagai makanan keperluan, tertakluk kepada naik turun harga disebabkan faktor pasaran seperti permintaan dan bekalan, cuaca dan keadaan sosio ekonomi," menurut seorang jurucakap FairPrice.

"Selain itu, harga makanan dan kos logistik yang lebih tinggi serta kekurangan tenaga manusia juga menjejas harga dalam sekitaran tidak menentu hari ini."

Menurut DFI, selain telur harga kos sebahagian barangan segar juga naik disebabkan keadaan cuaca kurang baik baru-baru ini dan juga kesesakan pelabuhan.

Jurucakapnya berkata, syarikat itu sedang bekerjasama dengan para pembekal untuk menawarkan "sebanyak mungkin bekalan dan kepelbagaian barangan segar" kepada para pelanggan Cold Storage dan Giant.

MENGAPA HARGA MAKANAN NAIK?

Harga makanan sejagat terjejas oleh faktor-faktor seperti kekurangan tenaga buruh dek pandemik, kos lebih tinggi bagi tenaga dan pengangkutan serta gangguan-gangguan disebabkan keadaan cuaca, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam responsnya kepada Mediacorp.

"Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka yang mengimport kebanyakan bekalan makanannya, Singapura perlu menangani tekanan-tekanan inflasi sejagat," menurut MTI.

Timbul juga persoalan, adakah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine juga menyebabkan harga makanan naik?

Kedua-dua negara itu menghasilkan hampir suku daripada gandum dunia dan juga merupakan pengeksport besar bagi barli, jagung dan minyak biji bunga matahari, kata Profesor Madya Chen Tao dari Universiti Teknologi Nanyang kepada Mediacorp.

Ukraine juga salah satu pengeksport terbesar bijirin makanan - bahan utama dalam makanan ayam, menjadikannya lebih mahal untuk menternak haiwan tersebut dan sekali gus menyebabkan kenaikan harga telur.

Sejak Februari, sebungkus 30 biji telur naik sekitar 60 sen kepada S$7.20 setakat bulan Mac di pasar raya NTUC Fair Price dan Sheng Siong.

Untuk memastikan harga-harga berdaya saing, Singapura mengimport bekalan makanan dari lebih 170 negara dan rantau di merata dunia, menurut MTI dalam responsnya.

"Pemerintah mengamalkan strategi berbilang serampang mata melibatkan kepelbagaian import, pengeluaran tempatan dan menyimpan bekalan untuk mengurangkan kesan gangguan-gangguan di luar jangkaan daripada menjejas bekalan makanan kita, mengurangkan kerentanan kita terhadap turun naik harga dan memastikan harga kekal berdaya saing."

Sumber : CNA/NK/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa