Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi 'menggentingkan' dunia jika tidak ambil sebarang langkah, tegas PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi 'menggentingkan' dunia jika tidak ambil sebarang langkah, tegas PM Lee

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 23 May 2022 09:04AM Dikemas Kini : 23 May 2022 02:14PM

SINGAPURA: Inflasi akan menjadi masalah yang amat serius di dunia, sekiranya tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya.

Demikian kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa diwawancara Nikkei Asia pada Jumaat (20 Mei). 

PM Lee yang menekankan cabaran menangani inflasi, berkata: "Cabarannya sekarang adalah kadar inflasi agak tinggi, anda memerlukan langkah-langkah agak drastik untuk menurunkannya dan mencegah jangkaan inflasi daripada bermula. 

"Amat sukar untuk berbuat demikian dan mengurangkan kesannya. Terdapat risiko-risiko ketara untuk melakukan apa yang perlu tetapi kesannya mencetuskan kemelesetan."  

Tambahnya: "Ia sudah berulang kali berlaku pada tahun 60an, 70an, 80an, 90an. Ini adalah risiko yang harus dijangkakan dan dipantau. Anda harus mengambil risiko itu kerana jika anda tidak bertindak mengatasi inflasi, ia akan menjadi masalah yang amat serius bagi seluruh dunia." 

Kadar inflasi di banyak negara melonjak dan mencecah rekod tertinggi dalam beberapa tahun, didorong oleh pemulihan kegiatan ekonomi dan gangguan rantaian bekalan. 

Misalnya, kadar inflasi teras Singapura mencecah rekod tertingginya dalam 10 tahun, iaitu 2.9 peratus, pada Mac berbanding tempoh yang sama bulan lalu, dengan harga makanan dan perkhidmatan yang lebih tinggi. 

PM Lee menarik perhatian bahawa ekonomi sejagat pulih daripada COVID-19 lebih pantas daripada yang dijangkakan, dirangsang oleh langkah-langkah yang diambil. 

"Sekalipun demikian, banyak langkah rangsangan yang terus-menerus diambil, atas sebab-sebab politik, meskipun ekonomi sudah jelas pulih di Amerika Syarikat dan juga di Eropah. Justeru, ini menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi, malah sejak sebelum peperangan di Ukraine," katanya, sambil menambah bahawa peperangan itu memburukkan lagi situasi kerana mengganggu bekalan tenaga dan makanan. 

"Setahun lalu, bank-bank pusat tidak begitu bimbang tentang prospek mengawal ramalan inflasi. Sebaliknya, mereka khuatir tentang kemelesetan ekonomi dan ingin menaikkan kadar inflasi ke tahap yang tertentu, misalnya purata dua peratus," tambahnya. 

"Saya rasa mereka terlalu yakin pada waktu itu. Namun, sekarang, ia agak jelas bahawa mereka harus mengubah pendirian mereka dan saya percaya mereka sedang berbuat sedemikian." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan