Industri pelancongan S'pura berpotensi pulih pantas & tumbuh dalam jangka panjang, kata Iswaran

(Gambar: Grace Yeoh/CNA)
DAVOS, Switzerland: Industri pelancongan Singapura berpotensi tumbuh dalam jangka panjang, disebabkan permintaan terpendam dalam kalangan para pengguna untuk melakukan perjalanan ke luar negara, kata Menteri Pengangkutan Negara S Iswaran pada Isnin (23 Mei).
Encik Iswaran berkata, jumlah penumpang di Lapangan Terbang Changi sudah naik kepada sekurang-kurangnya 50 peratus tahap sebelum pandemik.
Encik Iswaran yang berucap semasa sesi panel mengenai pemulihan sektor pelancongan di mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, menambah bahawa jumlah itu meningkat lebih pantas berbanding anggaran pihak berkuasa.
"Namun, ini juga bermakna bahawa isu tenaga manusia, kekangan sumber, akan memberi kesan. Kerana anda boleh katakan 'Saya akan meningkatkan kapasiti sebanyak 50 peratus', tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan begitu sahaja. Anda perlu memanggil semula pekerja, mereka harus menjalani latihan dan anda juga harus memastikan proses-prosesnya berjalan dengan lancar," kata Encik Iswaran.
Oleh itu, Singapura perlu memastikan ia dapat mempertingkat dan memenuhi keperluan kapasiti.
"Keperluan operasi di lapangan terbang di merata dunia sudahpun melonjak dan sistem-sistem yang sedia ada tidak dapat memenuhinya. Ini terbukti dengan kekangan-kekangan yang dialami pelbagai lapangan terbang," katanya lagi.
Memanfaatkan teknologi digital juga penting untuk mewujudkan ketersambungan yang lebih lancar dalam aspek ini.
"Bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi definisi standard 'lengkap divaksin', syarat-syarat lain, jika ada, dan kemudian memanfaatkan teknologi digital bagi pengiktirafan antara negara. Ini akan membawa kebaikan bukan hanya buat masa ini, tetapi juga bagi sebarang kejadian pada masa akan datang," kata Encik Iswaran.
Beliau juga berkata, pemerintah Singapura sedang merebut peluang ini untuk mengambil pengajaran daripada pandemik dan menyesuaikannya dengan rancangan masa depan.
Misalnya, Terminal 5 Lapangan Terbang Changi akan beroperasi dalam dua hingga tiga tahun akan datang, dan operasi lapangan terbang itu dijadikan lebih bermodul supaya ia boleh beralih antara operasi-operasi yang berbeza jika perlu.
Kemampanan juga akan dipertimbangkan, kata Encik Iswaran.
"Kita tidak boleh sekadar duduk dan menunggu. Kita perlu mengorak langkah, dan saya rasa langkah-langkah yang diambil boleh menyasarkan pemulihan, tetapi juga bagi menyuntik nafas baru kepada sektor tersebut," ujar Encik Iswaran.
Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Dasar Sosial Tharman Shanmugaratnam, Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo dan Encik Iswaran berada di Davos selama empat hari.
Mereka akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin pemerintah dan perniagaan dari pelbagai negara di WEF.
Mereka diiringi para pegawai dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan serta kementerian Perhubungan dan Penerangan.
Para pegawai Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) juga akan menyertai kumpulan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.