Industri khidmat makanan perlu bijak dalam mendakap teknologi
Bayangkan anda ke sebuah restoran untuk menjamu selera tetapi jangan terkejut jika disapa pelayan yang sungguh istimewa.
Sofwe program robot yang dibangunkan pasukan dari Sekolah Kejuruteraan Politeknik Nanyang (NYP). (Gambar: Cheryl Goh)
SINGAPURA: Bayangkan anda ke sebuah restoran untuk menjamu selera tetapi jangan terkejut jika disapa pelayan yang sungguh istimewa. Lebih menarik, pelayan mekanikal atau bahasa mudahnya - robot ini bukan sahaja mengambil pesanan, tetapi juga memberi beberapa saranan, membawa makanan ke meja pelanggan dan kemudian mengambil bayaran anda.
Senario ini bakal menjadi satu kenyataan dalam perusahaan perkhidmatan makanan Singapura pada masa akan datang.
Menteri Negara Kanan Pendidikan merangkap Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat berkata hari ini (31 Ogos) bahawa "tiada alternatif lain" bagi industri perkhidmatan makanan kecuali mendakapi teknologi untuk terus kekal berdaya saing. Namun, tambah beliau syarikat-syarikat juga perlu bijak dalam mengambil pendekatan itu.
Beliau berkata demikian di Sidang Transformasi Perkhidmatan Makanan yang diadakan di Institut Kulinari Asia.
Acara itu bertujuan untuk menggalak para peniaga supaya mendakap teknologi dan pendigitalan sebagai kunci utama dalam menghadapi cabaran kurang tenaga kerja dan kos yang kian meningkat dalam sektor tersebut.
Encik Chee berkata penggunaan teknologi yang sesuai mampu mempertingkat pelbagai proses dalam perkhidmatan makanan - dari perhubungan pelanggan, inventori dan proses pemerolehan.
Namun, beliau turut memberi amaran tentang bahaya dari teknologi masa kini. Encik Chee berkongsi pengalamannya sendiri semasa berada di sebuah restoran bak kut teh yang menggunakan e-menu dalam tablet-tablet yang disediakan.
"Apabila tablet tidak berfungsi, sama ada kerana ada gangguan sistem ataupun terkena sup tumpah, para pelanggan tidak boleh duduk di tempat yang terjejas kerana tiada wadah lain untuk memesan makanan," kata Encik Chee.
"Seperti alat-alat lain, kita perlu menggunakan teknologi dengan bijak bagi menyokong model-model perniagaan baru dan memproses semula kejuruteraan dalam sektor itu. Matlamatnya bukan sekadar memanfaatkan teknologi."
Beliau juga memuji syarikat Creative Eateries sebagai contoh baik. Syarikat itu memasang sistem digital dalaman bagi memudahkan pesanan bagi bahan-bahan seperti sos, sup dan daging setengah masak dari sebuah dapur pusat.
Ini membolehkan syarikat berkenaan untuk membuat anggaran penghasilan lebih baik dan memanfaatkan maklumat inventori yang ada, sekali gus mengurangkan kos simpanan dan pengurusan produk dengan lebih baik.
Penggunaan teknologi ditekankan dalam sektor ini memandangkan khidmat makanan membentuk bahagian penting dalam ekonomi Singapura.
Pada 2016, sektor itu mewujudkan lebih 180,000 pekerjaan dan menyumbang hampir S$9 bilion kepada ekonomi.
Sempena sidang tersebut, beberapa trend teknologi berkaitan industri F&B turut dikongsi termasuk penggunaan robot Kawada, yang mampu mengambil pesanan pelanggan.
Sofwe program robot tersebut dibangunkan pasukan dari Sekolah Kejuruteraan Politeknik Nanyang (NYP). Ia diharap akan digunakan dalam restoran-restoran pada jangka masa panjang.
NYP juga bekerjasama dengan syarikat teknologi China IIM bagi robot yang mampu mengecam wajah pelanggan dan boleh memberi saranan berdasarkan profil seseorang seperti umur dan jantina.
Teknologi lain yang dipamerkan termasuk pembayaran tanpa tunai layan di kios layan diri dan 'Dining Butler', satu huraian bagi para pelanggan untuk memesan makanan menggunakan peranti mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.