Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Industri kapal persiaran S'pura dijangka kembali ke paras sebelum pandemik antara 2023-2024

Unjuran itu dibuat sedang Asia Tenggara menyambut persinggahan pertama di pelabuhannya dalam masa dua tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Industri kapal persiaran S'pura dijangka kembali ke paras sebelum pandemik antara 2023-2024

Spectrum of the Seas belayar di Hong Kong. (Gambar Royal Caribbean)

SINGAPURA: Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Jumaat (1 Jul) menyatakan industri kapal persiaran di negara ini dijangka kembali ke paras sebelum pandemik antara 2023 dengan 2024.

Unjuran itu dibuat sedang Asia Tenggara menyambut persinggahan pertama di pelabuhannya dalam masa dua tahun, dengan ketibaan Spectrum of the Seas Royal Carribean di Port Klang, Malaysia pada pagi Jumaat.

Ini disusuli dengan Genting Dream Resorts World Cruises yang akan tiba di Batam dan Bintan, Indonesia hari ini (2 Jul).

Kedua-dua syarikat mengumumkan pada bulan Jun bahawa ia akan mula berlayar sekali lagi, dengan Spectrum of the Seas Royal Carribbean bermula 30 Jun dan Genting Dream di bawah Resorts World Cruises bermula 1 Julai.

Kedua-dua kapal persiaran itu berlepas dari Singapura.

Singapura, Malaysia dan Indonesia adalah negara-negara pertama Asia Tenggara yang menyambung semula persinggahan di pelabuhan sejak ia dihentikan pada Mac 2020, menurut STB dalam kenyataan medianya pada Jumaat.

"Dengan perbincangan-perbincangan positif untuk menyambung semula persinggahan-persinggahan serupa di lebih banyak pelabuhan dan penyelarasan protokol-protokol kesihatan di rantau ini, STB menjangkakan industri kapal persiaran di Singapura akan kembali ke paras sebelum pandemik antara 2023 dengan 2024," dedahnya.

PEMULIHAN INDUSTRI KAPAL PERSIARAN

STB menyatakan industri kapal persiaran Singapura menikmati "pertumbuhan rancak" sebelum pandemik melanda, dengan lebih 400 kapal persiaran dari 30 jenama kapal pesiaran membuat ketibaan di pelabuhan negara ini pada 2019.

Singapura menyambung semula kegiatan kapal persiarannya pada November 2020 tanpa sebarang persinggahan di pelabuhan. Sejak itu, lebih setengah juta penumpang sudah berlayar dalam 370 pelayaran "bersiar tanpa perhentian".

Di tengah-tengah penyambungan semula itu, STB menyatakan kegiatan kapal persiaran menyaksikan "gelombang baru minat", terutama sekali dalam kalangan penumpang kali pertama yang tidak pernah menganggap kegiatan menaiki kapal persiaran sebagai pilihan masa lapang sebelum COVID-19.

"Sedang lebih banyak kapal menawarkan pelbagai jadual pelayaran untuk ke luar Asia Tenggara, ia dijangka menyokong industri ini bangkit dengan kukuh."

STB juga menambah Singapura sedang membangunkan semula rancangannya bagi pengerahan kapal persiaran. Negara ini juga sedang bekerjasama dengan kapal-kapal persiaran untuk memperluaskan kumpulan pelanggan mereka - dari pasaran serantau seperti Indonesia dan Malaysia hingga ke pasaran pertengahan dan jarak jauh seperti India, Australia, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat.

Segmen penerbangan-kapal persiaran pula, di mana para penumpang antarabangsa terbang ke Singapura untuk menaiki kapal persiaran, juga dijangka bangkit dengan kukuh.

Sebelum COVID-19, 70 peratus penumpang kapal persiaran Singapura adalah pelawat antarabangsa yang melakukan perjalanan ke Singapura bagi menaiki kapal pesiaran untuk meneroka Asia Tenggara, menurut STB.

Bagi mempersiapkan para pelawat penerbangan-kapal persiaran, STB menyatakan ia akan terus menawarkan Dana Pembangunan Kapal Persiaran bagi menggalak kapal-kapal tersebut berlepas dari Singapura. Ejen-ejen kapal tersebut juga boleh memanfaatkan geran itu bagi membangun dan memasarkan pakej-pakej kapal mereka.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan