Skip to main content

Singapura

Industri insurans hayat SG catat prestasi tertinggi dalam separuh pertama 2025 sejak pandemik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Aug 2025 07:56PM Dikemas Kini : 13 Aug 2025 11:21PM
SINGAPURA: Industri insurans hayat Singapura mencatat prestasi bagi separuh pertama tahunan yang tertinggi sejak pandemik.

Persatuan Insurans Hayat Singapura menarik perhatian, hampir S$3 bilion diraih melalui premium perniagaan baharu yang disesuaikan.

Angka itu merupakan 7.7 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Persatuan tersebut menyatakan, hasil pada separuh pertama tahun ini didorong oleh polisi premium tahunan yang melonjak sebanyak 22 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Hasil yang diraih pada separuh pertama tahun ini berjumlah S$2.26 bilion.

Premium sekali bayar bagaimanapun merosot sekitar 21 peratus bagi tempoh yang sama.

Pengarah Eksekutif, Persatuan Insurans Hayat Singapura, Chan Wai Kit berkata: "Kenaikan polisi premium tahunan mencerminkan bahawa memandangkan terdapat ketidaktentuan dalam pasaran dan insurans hayat adalah untuk jangka panjang, mereka cenderung menyumbang secara berkala, memanfaatkan purata kos dolar sebagai pembelian dan perancangan untuk masa depan kewangan."

Polisi berkaitan pelaburan meningkat sebanyak 31 peratus berbanding tahun lalu serta membentuk 43 peratus daripada jumlah transaksi pada separuh pertama 2025.

Menurut Persatuan Insurans Hayat Singapura, ini mencerminkan peralihan dalam pemikiran pengguna untuk menerima lebih banyak risiko demi perlindungan.

Meskipun penjualan premium yang disesuaikan meningkat pada separuh pertama tahun ini, jumlah polisi yang dijual merosot sekitar 18 peratus berbanding tahun lalu.

Ini bermakna, pengguna cenderung mendapatkan bilangan polisi yang lebih kecil, tetapi bersifat lebih menyeluruh.

Sebanyak S$6.35 bilion tuntutan insurans dibuat pada enam bulan pertama 2025, iaitu 42 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sebahagian besarnya adalah bagi polisi yang matang tempoh, manakala bakinya pula adalah tuntutan pampasan bagi kematian, penyakit kritikal dan hilang keupayaan.
Sumber : CNA/NY/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita