Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Industri binaan SG dijangka kekal kukuh, projek mencecah S$32 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Industri binaan Singapura dijangka kekal kukuh tahun ini dengan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) menjangkakan permintaan akan mencecah S$32 bilion.

Bagaimanapun Menteri Pembangunan Negara (MND) Desmond Lee memberi amaran, masih ada pelbagai cabaran termasuk risiko kemelesetan ekonomi negara-negara utama, selain tekanan rantaian bekalan.

Bagi menangani kegenjotan itu, industri binaan kata beliau perlu terus bergerak ke arah pendigitalan.

BCA menyatakan, permintaan bagi binaan tahun ini akan dipacu oleh sektor awam, dengan 60 peratus daripadanya adalah projek seperti pembinaan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan loji rawatan air.

Baki 40 peratus adalah bagi pembinaan bangunan-bangunan komersil dan perumahan privet.

Encik Lee berkata, walaupun permintaan diramal mantap, Singapura masih perlu berwaspada.

Menurut beliau, penting untuk mengambil iktibar daripada pengalaman Singapura beberapa tahun lalu, dalam soal meningkatkan daya tahan sektor sekitaran terbina.

Ini termasuk mengurangkan penggantungan negara ini kepada pekerja asing bagi tugas-tugas giat buruh, selain perlu melakukan lebih banyak lagi bagi memenuhi matlamat sifar bersih pelepasan karbon.

Dalam pada itu, Encik Lee juga menasihatkan pembeli supaya terus bersikap cermat dalam soal kewangan walaupun pasaran perumahan semakin reda.

Menurut beliau, keadaan masih tidak menentu dan ia mungkin menjejas ekonomi Singapura tahun ini.

Cabaran tersebut termasuk ketegangan geopolitik dan kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah.

Encik Lee menambah, pasaran perumahan di Australia, Britain dan Hong Kong sudahpun menyaksikan kelembapan.

Menurut Encik Lee, "Walaupun kami sudah mengetatkan had kuantum pinjaman maksimum, pinjaman perumahan kekal menjadi komponen terbesar dalam isu hutang rumah secara umumnya. Jika kadar faedah global terus meningkat sebagai respons kepada tekanan-tekanan inflasi, kita boleh jangkakan lebih banyak lagi kenaikan dalam kadar gadai janji dalam negeri. Ini akan menjadikannya lebih sukar untuk kedua-dua peminjam sedia ada dan peminjam baru, untuk membayar pinjaman mereka."
 
Sumber : CNA/DY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan