Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Industri air sumbang nilai tambah tahunan S$2.5 bilion, cipta 14,400 pekerjaan

"Air juga merupakan contoh yang baik bagaimana kami mempergiatkan lagi usaha di Singapura untuk merangsang dan mengongsi inovasi berdasarkan cabaran-cabaran dan peluang-peluang yang dihadapi negara-negara di serata dunia," tambah beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
Industri air sumbang nilai tambah tahunan S$2.5 bilion, cipta 14,400 pekerjaan

(Gambar: Koh Yong Sheng)

Diterbitkan : 09 Jul 2018 02:24PM Dikemas Kini : 09 Jul 2018 02:34PM

SINGAPURA: Industri air menyumbang nilai tambah tahunan sebanyak S$2.5 bilion kepada ekonomi dan mencipta sebanyak 14,400 pekerjaan sejauh ini, sekaligus memastikan ia dapat menepati sasaran yang ditetapkan pada tahun 2020.

Perangkaan terkini dari agensi air kebangsaan PUB, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Enterprise Singapore menunjukkan bahawa sejak 2016, sektor tersebut sudah menambah sebanyak 400 pekerjaan dan menyumbang nilai tambah sebanyak S$300 juta kepada ekonomi setiap tahun.

"Sektor air Singapura terus mengalami pertumbuhan kukuh, dengan ekosistem air yang kukuh, sekaligus memantapkan kedudukan Singapura sebagai sebuah hab air global utama," menurut agensi-agensi tersebut dalam satu kenyataan bersama pada hari Isnin (9 Jul).

Pertumbuhan tersebut adalah penting di tengah-tengah risiko meningkatnya proses perbandaran yang tidak diurus baik, perubahan iklim dan ancaman penyakit berjangkit di negara-negara yang masih membangun dan di merata dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam.

Encik Tharman bercakap di perasmian serentak Minggu Air Antarabangsa Singapura, Sidang Bandar-Bandar Sedunia dan Sidang Sekitaran Bersih.

"Air juga merupakan contoh yang baik bagaimana kami mempergiatkan lagi usaha di Singapura untuk merangsang dan mengongsi inovasi berdasarkan cabaran-cabaran dan peluang-peluang yang dihadapi negara-negara di serata dunia," tambah beliau.

"Sekiranya masalah-masalah tersebut tidak ditangani dengan cekap di mana-mana bahagian di dunia, ia akan menjejas negara-negara lain - sama ada menerusi penularan penyakit, penghijrahan secara paksa atau konflik dan masalah keselamatan yang berleluasa."

Ketiga-tiga agensi itu akan memanfaatkan kepakaran Singapura dalam sektor air untuk menumpukan kepada tiga perkara: Membangunkan huraian antarabangsa, mempercepatkan pengkomersilan dan eksport teknologi serta membangunkan keupayaan dan bakat yang pelbagai.

Dari segi membangunkan huraian global, EDB sudah mendapatkan sekurang-kurangnya tiga syarikat antarabangsa baru untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pengembangan atau memperluaskan pangkalan mereka di Singapura. Bidang-bidang tumpuan tersebut termasuk penyulingan dan pengitaran semula sisa air.

Bagi mempercepatkan pengkomersilan dan eksport teknologi, Pertukaran Air Singapura di bawah PUB akan menempatkan sebuah ekosistem syarikat yang terbentuk ke dalam rantai nilai air, membolehkan mereka untuk bekerjasama dan memanfaatkan kepakaran masing-masing untuk meningkatkan pertumbuhan inovasi air dan perniagaan lewat tahun ini.

Bagi membangunkan keupayaan dan bakat yang pelbagai, Enterprise Singapore sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi air yang kecil dan sederhana bagi mengubah model perniagaan mereka dan mempertingkatkan produkiviti masing-masing, justeru menjadikan mereka pemain-pemain bernilai tinggi.

Dengan lebih 200 syarikat air dan lebih 25 institusi penyelidikan, sektor air terus menarik lebih banyak pelaburan menurut agensi-agensi itu, menandakan bahawa ia dapat menepati sasarannya pada 2020.

Di bawah rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan, industri air dijangka menjana sebanyak 15,000 pekerjaan dan menyumbang nilai tambah tahunan sebanyak S$2.85 bilion nilai tambah kepada ekonomi menjelang 2020.  

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan