Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Indranee Rajah tolak saranan Leong Mun Wai jadikan parlimen 'gelanggang lebih adil untuk semua'

Anggaran Waktu Membaca:
Indranee Rajah tolak saranan Leong Mun Wai jadikan parlimen 'gelanggang lebih adil untuk semua'

NCMP Leong Mun Wai (kiri) dan Ketua Dewan Indranee Rajah (kanan) di Parlimen pada 8 Mei 2023.

SINGAPURA: Saranan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai untuk menjadikan parlimen "satu gelanggang yang lebih adil buat semua" ditolak Ketua Dewan Indranee Rajah pada Isnin (8 Mei). 

Encik Leong yang bulan lalu dilantik sebagai setiausaha agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), berkata dalam usul penangguhannya, berdasarkan pengalaman peribadi beliau, terdapat beberapa proses dan ciri parlimen tidak "membantu" para Anggota Parlimen (AP) melaksanakan tugas mereka. 

Ini termasuk tidak mempunyai bantuan mencukupi untuk melakukan kajian dan fleksibiliti berkait penjagaan masa sewaktu persidangan parlimen. 

Encik Leong menarik perhatian, AP yang dilantik diberikan elaun bulanan sebanyak S$1,300 untuk menggajikan penolong perundangan dan S$500 untuk penolong setiausaha. Jumlah tersebut "sedikit" dan "tidak mencukupi untuk menggajikan satu penolong sepenuh masa pun", tambahnya. 

Encik Leong turut menekankan, NCMP dan AP Dilantik tidak diberikan elaun sedemikian. 

Penjelasan bekas Ketua Dewan Wong Kan Seng semasa menarik balik elaun NCMP selepas 1997 adalah kerana tanggungjawab mereka tidak seberat para AP yang dilantik kerana hanya AP yang dilantik sahaja mempunyai tempat dalam jawatankuasa, kata Encik Leong. 

"Hari ini, NCMP mempunyai hak mengundi sepenuhnya, setaraf dengan AP dilantik dan mempunyai kerusi dalam jawatankuasa parlimen," kata Encik Leong, sambil menambah bahawa beban kerja bagi semua AP sudah meningkat, sejajar dengan sistem parlimen dan perkhidmatan awam Singapura yang semakin rumit. 

Untuk menyokong para AP melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik lagi, Encik Leong mencadangkan agar meningkatkan elaun untuk menggajikan penolong perundangan dan penolong setiausaha dan memberikannya kepada NCMP dan NMP, sambil menambah bahawa sudah tiba masanya untuk Pemerintah menyemak semula langkah tersebut. 

Semasa menolak cadangan Encik Leong, Cik Indranee berkata, tidak boleh dinafikan bahawa beban kerja NCMP kurang berbanding AP dilantik, sambil menambah bahawa mereka tidak bertanggungjawab bagi isu-isu berkaitan kawasan undi atau penduduk. 

"Oleh itu, secara prinsip, ia munasabah untuk membezakan sokongan yang diberikan kepada AP dilantik dan NCMP," kata Cik Indranee. 

Beralih kepada kuantum elaun bagi menggajikan penolong perundangan dan setiausaha, menurutnya, ia sama bagi AP dilantik - tidak kira sama ada mereka merupakan ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP) atau parti pembangkang. 

Bagi Ketua Pembangkang Pritam Singh, ia wajar untuk memperuntukkan lebih banyak sumber disebabkan tugas dan tanggungjawabnya lebih berat, jelas Cik Indranee. 

"Ia adil memandangkan jawatannya. Ini adalah contoh bagaimana kami menyemak dan membuat penyesuaian mengikut konteks," katanya lagi.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan