Skip to main content

Singapura

Indranee Rajah pertahan prosedur parlimen selepas AP WP suara kebimbangan

Anggaran Waktu Membaca:
Indranee Rajah pertahan prosedur parlimen selepas AP WP suara kebimbangan

Ketua Dewan Indranee Rajah memberi respons kepada penjelasan yang diminta oleh Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim di Parlimen pada 3 Mac 2025.

Diterbitkan : 03 Mar 2025 05:48PM Dikemas Kini : 03 Mar 2025 06:26PM
SINGAPURA: Ketua Dewan Indranee Rajah mempertahankan prosedur parlimen selepas pengerusi Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim mengutarakan kebimbangan mengenai soalan-soalan parlimen yang diserahkan kepada kementerian lain untuk dijawab dan langkah meluluskan Rang Undang-Undang secara tergesa-gesa.

Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada Isnin (3 Mac), Cik Lim berkata soalan-soalan parlimen yang ditanya oleh para AP kepada satu kementerian mungkin diserahkan kepada satu kementerian lain untuk dijawab tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada pada AP yang bertanya.

"Kadangkala, pengalihan itu wajar, seperti apabila Ap tersebut mungkin secara tidak sengaja bertanya soalan kepada kementerian yang salah," kata Anggota Parlimen Aljunied itu.

"Sekalipun demikian, bagi saya soalan-soalan nampaknya mungkin juga diserahkan (kepada kementerian lain) semata-mata klerana pemerintah berasa ia wajar. Ini mungkin menjejas tujuan utama tempoh bertanya soalan - iaitu kebertanggungjawaban pemerintah.:

Memetik soalan parlimen yang difailkan oleh Ketua Pembangkang Pritam Singh pada Ogos sebagai contoh, Cik Lim menarik perhatian bahawa Encik Pritam ada meminta penilaian Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) tentang permintaan bagi khidmat bas ulang alik khas di GRC Marine Parade.

Namun, soalan itu diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), ujar beliau, sambil menambah apabila Encik Pritam bertanya soalan tambahan berkait pengangkutan selepas itu, beliau diminta memfailkan soalan kepada LTA.

"Meskipun Menteri Pengangkutan ada tampil seketika untuk menjawab pertanyaan (Ketua Pembangkang), persoalannya tetap mengapa soalan yang ditanya sebelum itu kepada LTA diserahkan kepada MCCY," kata beliau.

Khidmat bas ulang alik tersebut merupakan inisiatif oleh Persatuan Rakyat, yang tertakluk di bawah pemantauan MCCY.

Memandangkan masa yang terbatas di parlimen untuk menjawab soalan selain kemungkinan terdapat bantahan prosedur kepada langkah memfailkan semula soalan, Cik Lim bertanya sama ada melangkah ke hadapan, para AP boleh dimaklumkan jika ada sebarang soalan yang akan diserahkan kepada kementerian lain.

Menjawab pertanyaan itu, Cik Indranee berkata: "Ia bukan untuk para AP putuskan siapa yang ada pengetahuan relevan (kepada soalan yang ditanya). Ia adalah untuk pemerintah, meneliti soalannya, buat keputusan tentang siapa antara agensi dan kementerian yang ada, yang bertanggungjawab atau ada pengetahuan atau berada di kedudukan yang terbaik untuk menjawab.

"Apa yang penting adalah pada akhirnya soalan itu dijawab, dan itulah yang dilakukan kerana tidak kira kepada siapa soalan itu ditanya, agensi mana atau kementerian mana, akan ada jawapan diberikan."

Merujuk kepada contoh yang dipetik Cik Lim mengenai khidmat bas di GRC Marine Parade, Cik Indranee berkata keputusan, khususnya dalam kes ini, dibuat oleh Persatuan Rakyat, dan bukan MOT atau LTA.

"Lantaran itu, ia bukan untuk MOT jelaskan mengapa bas ulang alik itu dilancarkan, kerana ia adalah skim yang dilaksanakan di bawah Persatuan Rakyat dan Persatuan Rakyat adalah lembaga berkanun di bawah MCCY dan disebabkan itu menteri (MCCY) menjawab soalan tersebut," kata beliau.


"Kementerian Pengangkutan Chee Hong Tat ada tampil memberi penjelasan bagi satu perkara yang ditanya Ketua Pembangkang, kerana beliau bertanya mengenai program peningkatan ketersambungan bas, dan itu dijalankan di bawah MOT. Jadi disebabkan perkara itu di bawah MOT, Menteri Pengangkutan menjawabnya."

Mengulas mengenai saranan Cik Lim, agar para AP dimaklumkan terlebih dahulu sebelum soalan-soalan diserahkan kepada kementerian lain untuk dijawab, Cik Indranee berkata para AP harus memastikan soalan mereka jelas semasa memfailkannya.

"Kita tidak mahu mengadakan satu proses di mana setiap soalan yang sudah difailkan, anda perlu menghubungi dengan AP (yang memfailkan soalan) dan memeriksa 'apakah tujuan sebenar anda (bagi soalan itu)?" ujar beliau.

"Jika situasinya seperti yang digambarkan Cik Lim di mana soalan diserahkan (kepada kementerian lain) dan anggota parlimen berasa itu tidak seharusnya berlaku kerana tujuan sebenar adalah untuk bertanya sesuatu kepada kementerian yang lain, mereka sentiasa boleh merujuk kepada menteri yang relevan dan menjelaskannya."

RANG UNDANG-UNDANG MENDESAK

Semasa perbahasan, Cik Lim juga menyuarakan kebimbangan mengenai kesan Rang Undang-Undang (Pindaan) Insurans, yang diluluskan pada Oktober, sambil menambah ia mungkin sudah "mencalar" reputasi parlimen.

Rang Undang-Undang itu diusulkan di bawah sijil keperluan mendesak dan diluluskan dua hari selepas ia dibentangkan - dengan tujuh dari WP memilih berkecuali - membolehkan pemerintah menyekat perjanjian Allianz-Income.

Oleh kerana sijil keperluan mendesak itu sudah diperolehi bagi Rang Undang-Undanmg tersebut, Cik Lim berkata ia tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan - seperti selalunya - sekali gus menghalang parlimen daripada peluang untuk mendengar hujah pihak-pihak yang terjejas sebelum meluluskan Rang Undang-Undang tersebut.

AP WP itu menambah meskipun keadaan pada waktu itu memerlukannya, sijil keperluan mendesak sedemikian harus digunakan sebagai jalan terakhir.

"Episod ini menjadi peringatan penting tentang apa yang menjadi pertaruhan - reputasi kita sebagai badan perundangan yang menghormati hak-hak asas peraturan undang-undang dalam menjalankan tanggungjawab kita," kata beliau.

Menjawab kebimbangan Cik Lim, Cik Indranee berkata meluluskan Rang Undang-Undang menggunakan sijil keperluan mendesak bukanlah pertimbangan paling penting jika dilihat dari segi reputasi parlimen.

"Bagi reputasi parlimen, apa yang paling penting adalah para AP meletakkan diri mereka pada standard tatalaku paling tinggi dengan integriti, tidak mengelirukan masyarakat di luar seperti apa yang berlaku di parlimen, dan juga berkata benar kepada parlimen dan jawatankuasanya," kata beliau.

Cik Indranee menambah sistem sedia ada memastikan para anggota ada masa mencukupi untuk menyemak Rang Undang-Undang dan membahaskannya, sambil berkata bahawa para AP secara amnya ada sekitar sebulan untuk meneliti setiap Rang Undang-Undang, yang membentuk asas ucapan dalam bacaan kedua menteri.

Sungguhpun demikian, mungkin terdapat situasi di mana ada keperluan untuk satu-satu Rang Undang-Undang dikemukakan bagi bacaan kedua dalam masa yang singkat, kata beliau, sambil merujuk kepada Rang Undang-Undang langkah sementara COVID-19 dan Rang Undang-Undang lain berkait COVID-19 sebagai contoh.

"Dari masa ke semasa, mungkin ada pengecualian, seperti dalam kes Rang Undang-Undang Allianz yang menggesa kita menjadi badan perujndangan yang pantas bertindak supaya kita dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat Singapura," ujar beliau.

"Langkah-langkah seperti sijil keperluan mendesak sudah akan terus digunakan sekali sekala dan hanya bila perlu."

TANGANI HAK GOLONGAN MINORITI

Cik Indranee juga mempertahankan keanggotaan Majlis Presiden bagi Hak Minoriti (PCMR).

Cik Lim menarik perhatian bahawa PCMR - yang meneliti Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh parlimen dan memastikan ia tidak mendiskriminasi mana-mana kaum atau agama - terdiri daripada anggota tetap daripada pemerintah dan mantan menteri Kabinet, dan menyoal sama ada ini adalah percanggahan kepentingan.

Menjawab pertanyaan itu, Cik Indranee berkata terdapat nilai dengan adanya anggota yang berpengalaman dan mereka yang juga barisan menteri Kabinet kerana mereka memberikan perspektif tertentu.

"Terdapat anggota lain, yang semestinya, masuk dan anggota itu mungkin bertukar, yang memberikan perspektif lain namun apa yang kami cuba lakukan, khususnya dengan hak minoriti, adalah untuk mempunyai spektrum luas dan pelbagai," kata beliau.

"Penting untuk ingat bahawa kadangkala ada perkara yang merupakan Rang Undang-Undang, yang diluluskan, pendirian perundangan, peruntukan yang dibuat disebabkan konteks sejarah tertentu.

"Oleh itu, dengan adanya orang-orang yang mengingati konteks tersebut, yang ingat keadaan asal yang mana peruntukan perundangan tertentu dibuat, atau sebab-sebab tertentu mengapa kita tidak memberikan peruntukan perundangan - adalah bernilai dan berguna."
Sumber : CNA/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita