Indranee Rajah dinamakan Ketua Dewan, Tan Chuan-Jin sebagai Speaker Parlimen: PMO
Cik Indranee Rajah dinamakan sebagai Ketua Dewan bagi Parlimen ke-14, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Khamis (20 Ogos).
SINGAPURA: Cik Indranee Rajah dinamakan sebagai Ketua Dewan bagi Parlimen ke-14, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Khamis (20 Ogos).
Ketua Dewan bertanggungjawab bagi pengaturan urusan pemerintah dan program perundangan Parlimen.
Beliau juga akan mengusulkan tindakan sewajarnya terhadap sebarang hal berkaitan prosedur yang timbul di Parlimen dan membentangkan usulan prosedur berkaitan urusan Dewan semasa persidangan.
Cik Indranee yang merupakan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, menggantikan Cik Grace Fu yang merupakan Ketua Dewan dari Oktober 2015 hingga Parlimen dibubarkan pada lewat Jun bagi Pilihan Raya Umum pada Julai. Cik Indranee juga merupakan Menteri Kedua bagi Kewangan dan Pembangunan Negara.
Encik Zaqy Mohamad, Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Manusia merangkap Pertahanan dilantik sebagai Timbalan Ketua Dewan. Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong bercadang untuk melantik Encik Tan Chuan-Jin yang merupakan Speaker Parlimen sejak September 2017, untuk terus memegang peranan itu, menurut PMO.
Speaker Parlimen akan dilantik secara formal pada Isnin depan (24 Ogos), sebelum pembukaan Parlimen ke-14.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.