Indranee Rajah bertegang urat dengan Pritam Singh sama ada perlu dedah kos flat HDB
SINGAPURA: Menteri Kedua Pembangunan Negara Indranee Rajah dan Ketua Pembangkang Pritam Singh bertegang leher di Parlimen pada Isnin (7 Nov) tentang sama ada perlu mendedahkan kepada umum pecahan kos pembangunan bagi semua flat baru dan subsidi yang dikenakan ke atasnya.
Encik Singh mencadangkan bahawa mengeluarkan data seumpama itu berguna untuk menjejak jumlah subsidi yang diperuntukkan bagi membantu penduduk memiliki flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tetapi Cik Indranee tidak bersetuju, menegaskan bahawa ia tidak "bermakna" untuk berbuat sedemikian.
"Kenapa perlu mendedahkan atau meletakkan kos pembangunan bagi setiap satu projek? Ia tidak bermakna langsung. Perkara yang penting, kepada pembeli: Adakah ia boleh dimampui? Dan itulah yang dilakukan HDB," ungkap Cik Indranee, yang juga Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kewangan.
Encik Singh memfailkan soalan parlimen yang bertanyakan sama ada HDB akan menyediakan pecahan jelas jumlah kos pembangunan semua flat baru HDB pada masa depan serta jumlah "subsidi murah hati" yang dikenakan pada harga pasaran yang dinilai untuk flat-flat baru tersebut.
Encik Singh mengemukakan soalan itu menyusuli arahan pembetulan yang dikeluarkan baru-baru ini kepada mantan ketua firma pelaburan GIC, Yeoh Lam Keong, atas kenyataan "palsu dan mengelirukan" yang dibuatnya mengenai defisit HDB serta rizab lalu Singapura.
Semasa bertegang urat, Encik Singh berkata menyemak jumlah subsidi bagi pemilikan rumah adalah penting terutama sekali sejak Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 2011 membuat keputusan untuk tidak mengaitkan harga flat baru Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan pasaran flat jualan semula.
Ia dilakukan supaya flat BTO kekal dimampui, meskipun pasaran flat jualan semula meningkat ketika itu.
Namun dengan harga flat jualan semula melambung naik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia bermakna jumlah subsidi mungkin juga sudah meningkat, kata Encik Singh.
Beliau turut menarik perhatian bahawa di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) yang diperkenalkan tahun lalu, pemilik rumah harus memulangkan subsidi kepada Pemerintah apabila menjual flat mereka selepas 10 tahun.
Namun, subsidi yang diterima oleh Pemerintah itu sebaliknya dihitung berdasarkan peratusan tetap daripada harga penjualan dan bukannya dikembalikan dalam bentuk nilai dolar.
Encik Singh berkata, pembayaran balik itu mencerminkan nilai pasaran semasa, tidak kira sama ada flat itu dijual dengan meraih keuntungan atau mengalami kerugian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.