Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Indranee dan Leong Mun Wai bertikam lidah di parlimen berhubung kadar kesuburan SG

Anggaran Waktu Membaca:
Indranee dan Leong Mun Wai bertikam lidah di parlimen berhubung kadar kesuburan SG

Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah dan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai berucap di parlimen pada 5 Feb 2025.

Diterbitkan : 06 Feb 2025 11:03AM Dikemas Kini : 06 Feb 2025 02:40PM
SINGAPURA: Perbahasan hangat tercetus di parlimen pada Rabu (5 Feb) antara Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah berhubung usaha pemerintah menangani penurunan kadar kesuburan Singapura.

Perdebatan yang berlangsung lebih tujuh jam itu tertumpu kepada usul yang dibentangkan oleh Anggota Parlimen Hany Soh (PAP-Marsiling-Yew Tee) dan Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang), menyeru agar semakan berterusan dan langkah mengemas kini dasar dilaksanakan untuk menyokong keluarga dengan lebih baik dan menggalak perkahwinan dan keibubapaan.

Encik Leong, seorang Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) mencadangkan meminda frasa "semakan berterusan dan langkah mengemas kini dasar" kepada "membayangkan semula (reimagination)", tetapi pindaan itu ditolak dan usul yang asal diluluskan.

Cik Indranee menentang pindaan itu, mengatakan bahawa pemerintah telah memulakan "proses membayangkan semula" dalam bentuk Melakar Hala Tuju Singapura (Forward SG) - usaha yang dilancarkan pada 2022 untuk mendapatkan maklum balas tentang menyegarkan kompak sosial Singapura.

Beliau menambah bahawa pindaan itu terikat dengan dasar - Skim Rumah Boleh Dimampui yang diusulkan oleh Parti Kemajuan Singapura (PSP) - yang mempunyai banyak kekurangan.

Skim itu mencadangkan kos tanah ditangguhkan apabila pembeli membeli flat daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Kos sedemikian akan dibayar hanya jika flat itu dijual selepas tempoh pendudukan minimum, kata Encik Leong sebelum ini.

Encik Leong berkata beliau mempunyai "banyak soalan", yang pertama ialah sama ada keadaan semasa adalah "darurat negara" dan jika Cik Indranee bersetuju dengan penilaian sedemikian.

Digesa oleh Speaker untuk mengemukakan semua soalannya sekali gus, Encik Leong akhirnya diberi amaran oleh Encik Seah bahawa beliau sepatutnya mencari penjelasan dan bukannya membuat ucapan lain.

"Saya telah mengatakan ini berkali-kali kepada semua orang, saya akan mengatakannya sekali lagi. Saya membenarkan anda membuat penjelasan - seberapa banyak yang anda mahukan - tetapi sila buatnya secara ringkas," kata Encik Seah.

Apabila Cik Indranee mula memberi respons kepada Encik Leong, yang mengambil masa sekitar 10 minit untuk menyenaraikan penjelasannya, beliau berkata kadar kesuburan yang rendah adalah "isu negara yang amat penting".

"Pendekatan kami ialah, apabila anda mempunyai isu nasional yang serius, anda melihatnya dengan tenang, anda memahami apa isu itu dan anda kemudian mengambil langkah yang perlu untuk menanganinya."

Beliau mengulangi bahawa pemerintah berunding dengan orang awam mengenai kebimbangan mereka dan membangunkan dasar secara khusus sebagai tindak balas kepada kebimbangan tersebut.

PERBAHASAN LANJUT

Encik Leong menuduh Cik Indranee mengelak soalannya, dan mencabarnya atas sebab Singapura tidak dibandingkan dengan negara seperti Perancis, yang mempunyai kadar kesuburan keseluruhan (TFR) melebihi 1.5.

"Anda telah memetik trend penurunan dalam TFR sebagai fenomena global. Tetapi negara-negara lain mampu mengekalkannya di atas 1.5, tetapi kita berada pada 0.97 - adakah perbezaan itu bermakna ia adalah tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pemerintah?" tanyanya.

Cik Indranee menegaskan bahawa kadar kesuburan Perancis juga telah menurun, mencerminkan kemerosotan global.

Beliau berkata walaupun ia adalah trend global yang dipengaruhi oleh banyak faktor, pemerintah boleh melakukan yang terbaik untuk memastikan terdapat persekitaran yang menyokong perkahwinan dan keibubapaan, yang ia sedang cuba lakukan.

"Setiap fenomena yang kita perhatikan, sentiasa ada faktor sistemik dan faktor spesifik. Negara-negara lain juga telah mengalami penurunan umum dalam TFR, tetapi jika negara-negara lain masih mengekalkannya pada 1.5 dan TFR kita jatuh bawah 1 peratus, itu adalah satu perbezaan," kata Encik Leong.

Beliau menambah bahawa dasar itu tidak menangani "faktor khusus".

Cik Indranee menegaskan bahawa pemerintah tidak pernah mengatakan bahawa ia "tidak dapat membantu".

"Kami mahu menjadikan Singapura sebuah negara yang dibina untuk keluarga dan kami menggalakkan perkahwinan dan keibubapaan. Ia sangat pelik kerana Encik Leong mengatakan pemerintah berkata sesuatu sedangkan pemerintah tidak mengatakan apa-apa yang sedemikian," tambahnya.

"Adakah dasar berfungsi? Kami mempunyai dasar pada masa lalu yang membawa kami ke tahap tertentu. Tetapi ingat, kami menyedari bahawa perubahan perlu dibuat dan perkara perlu dilihat semula dan itulah sebabnya kami melaksanakan Melakar Hala Tuju Singapura.

Kedua-duanya bertelagah sama ada Singapura harus menetapkan sasaran untuk jumlah kadar kesuburan negara itu.

Cik Indranee berkata beliau tidak melihat bagaimana memiliki sasaran akan memberi kesan untuk meningkatkan kadar kesuburan, manakala Encik Leong berkata pemerintah tidak boleh melaksanakan dasar tanpa menyasarkan hasil tertentu.

Bagi perkara seperti prasarana atau matlamat ekonomi, adalah masuk akal untuk menetapkan sasaran, kata Cik Indranee.

"Tetapi apabila ia melibatkan emosi dan perkara seperti kesuburan, keputusan peribadi, itu amat sukar untuk diukur," katanya.

Pemerintah sedang berusaha sebaik mungkin untuk mewujudkan sebuah negara, masyarakat, dan persekitaran yang menggalakkan dan menyokong.

"Kami berharap rakyat Singapura akan dapat memberi respons terhadap itu kerana dasar yang kami laksanakan adalah berdasarkan maklum balas yang telah mereka berikan kepada kami," kata menteri itu.
 
Sumber : CNA/SK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan