Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Indra Dermawan rangkul tiga Anugerah Khas MOE, Siti Nur Zhafirah terima Anugerah Lee Kuan Yew

Secara keseluruhan, 206 anugerah disampaikan tahun ini menerusi 11 kategori di majlis yang buat pertama kali diadakan secara maya pada Selasa (24 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Indra Dermawan Yuhanis, 24 tahun, rangkul tiga Anugerah Khas iaitu Anugerah Lee Hsien Loong bagi Pencapaian dalam Pelbagai Bidang, Biasiswa Lee Kuan Yew untuk Menggalakkan Peningkatan dan Hadiah Buku Sultan Haji Omar Saifuddien bagi Anugerah Khas Kementerian Pendidikan (MOE).

Beliau merupakan antara 194 pelajar yang menerima anugerah khas itu bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa mereka dalam dan luar bidang akademik.

Secara keseluruhan, 206 anugerah disampaikan tahun ini menerusi 11 kategori di majlis yang buat pertama kali diadakan secara maya pada Selasa (24 Ogos).

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata para penerima merupakan contoh pelbagai mutu yang mahu dipupuk dalam diri pelajar oleh sistem pendidikan.

Beliau turut berkata adalah penting untuk para pelajar mempunyai semangat inovatif dan menjadi kreatif.

DARI GRED U, ZHAFIRAH AKHIRNYA MUNCUL PELAJAR TERBAIK DALAM MATEMATIK

Siti Nur Zhafirah Rosli, 17 tahun, merupakan antara 12 pelajar sekolah menengah yang menerima Anugerah Lee Kuan Yew bagi Kecemerlangan dalam Pelbagai Bidang (LKY-ARE).

"Perasaan saya bila pertama kali dapat tahu yang saya menerima anugerah ini, saya berasa gembira dan bersyukur kerana ia pertama kali saya mendapat anugerah khas seperti ini. Saya dapat sebuah anugerah yang membuat ibu bapa saya gembira," ujar Zhafirah.

Siti Nur Zhafirah Rosli. (Gambar: Siti Nur Zhafirah Rosli)

(Gambar: Siti Nur Zhafirah Rosli)

Sepanjang empat tahun menuntut di Sekolah Menengah Seng Kang, Zhafirah banyak bergiat dalam kegiatan kemasyarakatan.

Ini lebih-lebih lagi semasa tempoh kepimpinannya bagi kegiatan luar darjahnya, Pandu Puteri.

Peranan yang dipikul Zhafirah ketika itu sememangnya tidak mudah kerana dia mengetuai lebih 70 anggota pandu puteri melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Antaranya, Zhafirah memimpin rakan-rakannya untuk menganjurkan kegiatan kejiranan dan persembahan untuk golongan warga tua di rumah penjagaan Sree Narayana Mission.

"Itu adalah satu aktiviti yang akan selalu ada di fikiran saya kerana ia aktiviti pertama yang saya anjurkan, menolong orang tua. Kita membuat aktiviti untuk mereka agar mereka rasa disayangi dan sebagai seorang pandu puteri kerja kemasyarakatan adalah perkara utama untuk kita," luah Zhafirah.

Selain itu, Zhafirah juga giat terlibat dalam usaha menjual biskut Pandu Puteri setiap tahun yang mana hasil pendapatannya dihulurkan kepada golongan susah.

Siti Nur Zhafirah Rosli. (Gambar: Siti Nur Zhafirah Rosli)

(Gambar: Siti Nur Zhafirah Rosli)

Di samping itu, Zhafirah juga aktif menganjurkan pelbagai acara di sekolah selaku seorang ketua pelajar.

Zhafirah banyak menyumbang tenaga empat keratnya untuk menganjurkan acara-acara di sekolah seperti acara Hari Guru, Hari Belia dan Majlis Tamat Persekolahan bagi para pelajar Menengah 4 & 5 di sekolahnya.

Pada Menengah Tiga, Zhafirah juga menggalas tanggungjawab sebagai seorang Rakan Bahasa.

Siti Nur Zhafirah Rosli. (Gambar: Siti Nur Zhafirah Rosli)

(Gambar: Siti Nur Zhafirah Rosli)

Di tengah-tengah kesibukan menjalankan peranan di luar bidang akademik, anak sulung dua beradik itu juga berjaya dalam aspek pendidikan dan berjaya mengimbangi tuntutan pelajarannya.

Zhafirah muncul sebagai pelajar terbaik dalam subjek Matematik di sekolahnya bagi peringkat GCE 'N' tahun lalu di samping meraih gred 'A' bagi mata pelajaran bahasa Melayu, Sains dan Aplikasi Komputer.

Zhafirah berkata: "Dengan saya perlu mengimbangi antara pelajaran dan CCA, agak sukar tetapi dengan saya punya kerja keras dan keyakinan untuk teruskan ia membuat saya lebih baik. Saya cuba untuk pastikan yang apa yang saya buat ini adalah untuk diri saya dan untuk masa depan saya juga."

Kejayaannya dalam pendidikan bukan itu sahaja. Di sebalik dirinya yang seorang pemalu, kejayaan pelajar tahun pertama di ITE Kolej Barat dalam jurusan pastri dan membuat kek itu tidak terkira.

Di sekolah menengah, Zhafirah menerima Biasiswa Edusave MOE setiap tahun. Dia juga merupakan penerima Anugerah Perwatakan MOE selama tiga tahun.

Meskipun meraih pelbagai pencapaian, Zhafirah dengan rendah diri mengatakan kepada BERITAmediacorp: "Apabila saya di dalam kelas, saya murid biasa sahaja."

(Gambar: Siti Nur Zhafirah Rosli)

(Gambar: Siti Nur Zhafirah Rosli)

Sebagai seorang pelajar, Zhafirah seorang yang berdedikasi dan tekun.

Dia tidak mudah putus asa dan malah terus cuba untuk memperbaiki dirinya, terutama sekali dalam subjek yang agak lemah buat dirinya.

"Dari menengah satu saya memang tidak suka dalam subjek Matematik dan Sains kerana saya tidak bagus tetapi semakin hari, saya semakin rasa ingin belajar. Apabila dalam kelas saya memang dari dahulu tidak suka dengar cakap cikgu tetapi saya fikir masa depan saya kalau saya tidak buat yang terbaik untuk subjek tersebut, saya mungkin tidak akan berjaya."

"Saya dahulu selalu mendapat gred 'U' untuk mata pelajaran Matematik dan Sains tetapi dengan motivasi guru saya, saya terus mencuba dan mencuba agar lulus dalam subjek tersebut," ujar Zhafirah.

Maka tidak hairanlah Zhafirah muncul sebagai pelajar terbaik dalam subjek Matematik di sekolahnya bagi peperiksaan peringkat GCE 'N'.

Malah, Zhafirah juga seorang yang pandai mengatur masa, suatu strategi penting dalam resipi kejayaannya.

"Misalnya waktu sekolah, cikgu berikan kerja rumah tetapi saya tidak membuatnya di rumah kerana di rumah saya memberi tumpuan untuk belajar sahaja. Bila saya ada masa rehat saya akan membuat kerja rumah di sekolah. Saya seorang yang suka berdikari dan suka buat kerja sendiri tanpa pertolongan jika boleh," kata Zhafirah.

Siti Nur Zhafirah Rosli. (Gambar: Siti Nur Zhafirah Rosli)

(Gambar: Siti Nur Zhafirah Rosli)

DWIBAHASA PENTING, PERLU TERUS LESTARIKAN BAHASA IBUNDA

Seorang lagi penerima anugerah khas MOE tahun ini ialah Muhammad Hazim Ahmad Zahid, bekas pelajar Sekolah Menengah Swiss Cottage.

Pelajar 17 tahun itu menerima Hadiah Buku Perdana Menteri bagi mengiktiraf kemahirannya berdwibahasa.

Muhammad Hazim Ahmad. (Gambar: Muhammad Hazim Ahmad)

(Gambar: Muhammad Hazim Ahmad)

Hazim berkata: "Memang pertama kali dapat tahu bahawa saya dapat anugerah ini memang saya terkejut, saya juga rasa gembira dan bangga."

Kejayaannya untuk meraih gred A1 bagi kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris semasa peperiksaan GCE 'O' tidak datang bergolek.

Saban hari, Hazim akan meneliti cerpen dan sajak, mendalami hal ehwal semasa selain bergiat aktif dalam perdebatan bersama rakan-rakannya.

"Saya melihat anugerah ini sebagai satu tanda bahawa segala sokongan daripada keluarga, kawan-kawan dan guru-guru yang mendorong untuk menceburi minat dalam bahasa ibunda membuahkan hasil."

"Ini merupakan pencapaian yang menunjukkan bahawa kita masih boleh mendalami bahasa kita dan bahasa ibunda masih relevan dalam dunia pada masa kini," luah Hazim.

Muhammad Hazim Ahmad. (Gambar: Muhammad Hazim Ahmad)

(Gambar: Muhammad Hazim Ahmad)

Hazim kini melanjutkan pelajarannya di Politeknik Ngee Ann dalam jurusan Keselamatan Siber dan Forensik Digital.

Menurut Hazim, dia ingin mendalami ilmu dan menyumbang tenaganya dalam bidang yang semakin mengembang itu.

Mereka bertiga merupakan antara sekitar 30 pelajar Melayu/Islam yang menerima Anugerah Khas itu.

SENARAI PENERIMA ANUGERAH KHAS DI KALANGAN PELAJAR MELAYU

Hadiah Buku Perdana Menteri (Peringkat Darjah Rendah):
1) Ariel Aiman Bin Noorisman - Sekolah rendah Monfort

Hadiah Buku Perdana Menteri (Peringkat Menengah):
1) Danish Ashriq Bin Mokhtar - Institusi Raffles
2) Muhammad Hazim Bin Ahmad Zahid - Sekolah Menengah Swiss Cottage

Hadiah Buku Perdana Menteri (Peringkat Pra-Universiti):
1) Muhammad Syafiq Bin Jefri - Maktab Rendah Anglo-Chinese

Anugerah Lee Kuan Yew bagi Mata Pelajaran Matematik dan Sains (Peringkat Politeknik):
1) Farhan Suhada Bin Rasip - Politeknik Republik

Anugerah Lee Kuan Yew bagi Pelajar Aliran Normal yang Cemerlang (Normal Akademik):
1) Azra Shahana - Sekolah Menengah Broadrick
2) Syazwan Moussa Kamel - Sekolah Menengah Xinmin

Anugerah Lee Kuan Yew bagi Pelajar Aliran Normal yang Cemerlang (Normal Teknikal):
1) Mustaqim Salihin Bin Musbah - Sekolah Menengah Woodlands Ring
2) Nur Rehana Binte Abdul Hamed - Sekolah Menengah Jurong West

Anugerah Lee Kuan Yew bagi Kecemerlangan dalam Pelbagai Bidang (LKY-ARE) (Peringkat Darjah Rendah):
1) Nurdhia Darwisyah Binte Zulkifli - Sekolah Rendah Marsiling
2) Muhammad Syafiq Adyan Bin Masshiran - Sekolah Rendah Huamin

Anugerah Lee Kuan Yew bagi Kecemerlangan dalam Pelbagai Bidang (LKY-ARE) (Peringkat Menengah):
1) Siti Nur Zhafirah Binte Rosli - Sekolah Menengah Seng Kang

Anugerah Lee Hsien Loong bagi Pencapaian dalam Pelbagai Bidang:
1) Indra Dermawan Bin Yuhanis - ITE Kolej Barat

Anugerah Lee Hsien Loong bagi Media Digital Interaktif Negara Bijak:
1) Syed Muslimin bin Syed Mohd - Politeknik Republik
2) Mohammed Razi Karappamveetil Rasheed - Politeknik Republik

Biasiswa Lee Kuan Yew untuk Menggalakkan Peningkatan:
1) Indra Dermawan Bin Yuhanis - ITE Kolej Barat
2) Siti Nur Haziqah Binti Nor Shariman - ITE Kolej Barat
3) Nurul Ain Natasha Binte Azizul - Politeknik Singapura

Anugerah Lee Kuan Yew Pelajar Contoh:
1) Harith Bruce Bin Khairudin Lamb - Sekolah Pathlight
2) Mohamed Aidil Bin Mohamed Faisal - Sekolah MINDS Woodlands Gardens
3) Mohammed Sheyzad Bin Mohammed Sharee - Sekolah APSN Katong
4) Muhammad Danish Bin Radin Norazanil - Pusat Rainbow Sekolah Yishun Park
5) Muhammad Hazim Bin Muhamad Nor - Sekolah Metta
6) Natasha Ellyyana Binte Hirwan - Pusat Rainbow Sekolah Margaret Drive
7) Noorul Naseeha Binte Mohamed Nasurulla - Sekolah APSN Chaoyang
8) Nurul Yunishara Binte Suderman - Sekolah MINDS Fernvale Gardens
9) Ryan Rydzuan Bin Saipulbahari - Sekolah Grace Orchard
10) Zailani Bin Siron - Sekolah MINDS Lee Kong Chian Gardens
11) Zhafran Bin Murat - Sekolah Autisme St Andrew's

Hadiah Buku Sultan Haji Omar Saifuddien:
1) Indra Dermawan Bin Yuhanis - ITE Kolej Barat 

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan