Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Indra Dermawan dapat GPA sempurna 4.0 walau pernah tercicir, perlu sara hidup keluarga

Anak remaja pada usia 14 tahun lazimnya sibuk dengan pelajaran dan pelbagai kegiatan sekolah. Tetapi tidak begitu bagi Indra Dermawan Yuhanis. Pada usia itu, dia sudah mula bekerja.

Anggaran Waktu Membaca:
Indra Dermawan dapat GPA sempurna 4.0 walau pernah tercicir, perlu sara hidup keluarga

Indra Dermawan Yuhanis muncul sebagai pelajar terbaik Kolej Barat ITE dengan markah sempurna. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Anak remaja pada usia 14 tahun lazimnya sibuk dengan pelajaran dan pelbagai kegiatan sekolah. Tetapi tidak begitu bagi Indra Dermawan Yuhanis. Pada usia itu, dia sudah mula bekerja.

Bermacam-macam kerja dilakukannya. Dia pernah bekerja sebagai pelayan, kakitangan di Universal Studios dan bahkan sebagai seorang pekerja pembersihan.

Memang usianya ketika itu belum mencecah umur yang layak untuk bekerja. Bagaimanapun belia itu 'terpaksa' bijak mencari jalan supaya dapat menyara kehidupan nenek, kakak dan adik lelakinya.

Ibu bapa Indra waktu itu sudah bercerai. Indra hanya dapat bergantung kepada ibunya yang menjadi pencari nafkah tunggal keluarga sehinggalah pada suatu hari, ibunya tiba-tiba menghilangkan diri. Kini sudah 11 tahun Indra tidak melihat kelibat ibunya.

"Bapa saya sudah ada keluarga lain. Jadi saya sebagai ketua rumah perlu cepat dewasa dan membayar bil api air, tolong nenek saya yang perlu membayar bil-bil perubatan. Sebagai lelaki di rumah yang paling tua, pastinya saya yang kena jaga adik-beradik," cerita Indra.

"Ada kalanya perlu ikat perut."

TERCICIR DARI SEKOLAH TAPI KINI PELAJAR TERBAIK ITE

Pada usia 16 tahun, Indra teringin untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pelancongan di ITE. Malangnya, nasib sekali lagi tidak menyebelahinya. Dia gagal dalam bahasa Inggeris bagi GCE 'N' - suatu syarat yang ditetapkan untuk masuk kursus yang diidam-idamkan. Ini yang membuat Indra akhirnya tercicir dari sekolah.

Begitu berat dan besar dugaan yang menimpanya. Sukar menggambarkan bagaimana seorang pelajar yang belum cukup dewasa perlu melalui semua itu.

Namun demikian, kini pada usia 24 tahun, Indra muncul sebagai pelajar terbaik ITE Kolej Barat. Dia meraih purata nilai gred (GPA) 4.0, iaitu markah sempurna bagi seorang pelajar ITE. Pada Rabu (28 Jul) Indra dijulang dengan Pingat Emas Lee Kuan Yew semasa Upacara Penyampaian Sijil ITE yang dihadiri Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman.

Pengiktirafan berprestij itu dianugerahkan kepada pelajar terbaik di tiga kolej ITE yang cemerlang dalam akademik dan kegiatan ko-kurikular, di samping membuat sumbangan bermakna semasa menuntut di ITE. Hanya tiga pelajar ITE menerima Pingat Emas Lee Kuan Yew setiap tahun. 

Menariknya, kebanyakan gred yang Indra raih dalam kursus perkhidmatan runcit yang diambilnya di Kolej Barat ITE itu bukan sekadar 'A', tetapi lebih baik daripada itu - gred kepujian!

Dengan sijil Nitec dalam genggaman, Indra kini sudah memulakan pengajian diploma di Politeknik Ngee Ann dalam bidang pengurusan pelancongan dan percutian - bidang yang ingin dia awalnya ceburi selepas menduduki GCE 'N'.

SUKA BANTU ORANG SUSAH, BANYAK GALAS TANGGUNGJAWAB

Indra sebenarnya hanya kembali bersekolah empat tahun selepas tamat sekolah menengah. Sungguhpun demikian, ini tidak bermakna dia pernah berputus asa.

Hakikatnya Indra menduduki semula kertas Bahasa Inggeris sebagai calon privet selepas 'gagal' GCE 'N'. Setahun kemudian, walaupun lulus, Indra menerima panggilan untuk menjalani Perkhidmatan Negara selama dua tahun.

Jadi masa untuk kembali ke bangku sekolah bagaikan suatu penantian panjang bagi Indra. Maka tidak hairanlah, dia melakukan yang terbaik di ITE - meskipun masih perlu kerja sambilan.

"Saya sentiasa cuba urus masa saya dan mengikut jadual. Jadi saya buat perancangan dengan teliti. Jadi bila saya rasa saya dah habis satu tugasan, saya akan buat perkara selanjutnya," kata Indra.

Di ITE, dia antara lain menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Kelab Keusahawanan dan Naib Presiden Kelab ACE, iaitu sebuah program pembangunan bakat di sekolah.

Seolah-olah tidak mengenal erti lelah, dia juga menjalankan sendiri beberapa usaha kebajikan.

Indra malah menubuhkan pertubuhan masyarakat sendiri yang dia panggil Indspire Youths. Pasukan itu sudah menjalankan dua projek membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah di Taman Jurong.

"Saya tidak ada banyak duit, tidak ada banyak sokongan. Dan saya dari latar belakang seperti itu kan, saya dapat memahami golongan susah. Saya cuba juga untuk menjadi peran contoh bagi mereka supaya mereka mendapat aspirasi untuk menjadi lebih baik," kata Indra sambil berkongsi bahawa Inspire Youths kini terdiri daripada sekitar 15 anggota - semuanya pelajar ITE.

Sebenarnya banyak pencapaian yang dikecapi Indra sepanjang menjadi pelajar ITE. Selain Pingat Emas Lee Kuan Yew, pengiktirafan lain yang diterima Indra termasuklah Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew 2021, Anugerah Pelajar Bestari 4PM, Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Perwatakan Edusave ITE 2019/2020 dan Anugerah Khidmat Terbaik (Emas & Berlian).

Kisah Indra ini sememangnya suatu kisah penuh inspirasi. Dia berdepan dengan begitu banyak rintangan dan tidak dapat merasakan belaian kasih sayang ibu bapanya. Tapi dia akhirnya menjadi pelajar cemerlang. Dia juga tidak berasa malu kerana hanya dapat masuk politeknik pada usia 24 tahun.

"(Selepas ini) saya ada rancangan untuk masuk universiti tempatan seperti NUS, untuk mempertingkat diri dan menjadi baik lagi," kata Indra menzahirkan azamnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan