Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Indonesia umum koridor perjalanan selamat bagi pelawat dari S'pura ke Batam & Bintan

Indonesia akan menawarkan koridor perjalanan untuk membolehkan para pelawat dari Singapura melakukan perjalanan ke Batam dan Bintan, kata Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia Airlangga Hartarto pada Isnin (24 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia umum koridor perjalanan selamat bagi pelawat dari S'pura ke Batam & Bintan

(Gambar: Bintan, Banyan Tree Bintan Resort)

Diterbitkan : 24 Jan 2022 02:44PM Dikemas Kini : 24 Jan 2022 03:00PM

JAKARTA: Indonesia akan menawarkan koridor perjalanan untuk membolehkan para pelawat dari Singapura melakukan perjalanan ke Batam dan Bintan, kata Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia Airlangga Hartarto pada Isnin (24 Jan).

Bercakap di sidang media maya, Encik Hartarto berkata pemerintah Indonesia memutuskan untuk melaksanakan laluan perjalanan tersebut memandangkan kes-kes COVID-19 di Batam dan Bintan kini semakin terkawal.

"Pemerintah sedang berusaha untuk melaksanakan aturan perjalanan khas antara Batam, Bintan dengan Singapura untuk merancakkan aktiviti pelancongan di Batam, Bintan," kata Encik Hartarto.

Menurut beliau, pintu masuk bagi kedua-dua pulau itu adalah melalui terminal feri Nongsapura di Batam dan terminal feri Bandar Bentan Telani di Bintan.

"Syarat-syarat yang dikenakan terhadap para pelawat adalah mereka mesti sudah lengkap divaksin dan menunjukkan hasil negatif bagi ujian PCR yang diambil dalam tempoh tiga hari (sebelum melakukan perjalanan)," kata Encik Hartarto.

Para pelawat juga perlu mempunyai insurans bernilai S$30,000 dan menggunakan program pengesanan COVID-19 Indonesia iaitu PeduliLindungi dan Pas Biru.

Di sidang media yang sama, Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman Indonesia Luhut Pandjaitan berkata aturan perjalanan khas itu akan disemak setiap minggu. "Jika kami merasakan ia baik, kami akan meneruskannya. Jika tidak, kami akn menghentikannya," katanya lagi.

Kedua-dua menteri Indonesia itu bagaimanapun tidak memberikan perincian tentang kuarantin dan syarat-syarat lain bagi aturan perjalanan tersebut. Mereka juga tidak mendedahkan bila aturan perjalanan berkenaan akan dikuatkuasakan.

Pada November tahun lalu, Singapura mengumumkan bahawa ia akan melancarkan aturan perjalanan khas sepihak bagi pelawat lengkap divaksin (VTL) bersama dengan Indonesia pada 29 November.

Pada ketika itu, Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran berkata VTL dengan Indonesia akan diadakan secara sepihak buat sementara waktu memandangkan Indonesia secara amnya masih menutup sempadannya kepada pelawat asing.

Retreat Pemimpin Singapura-Indonesia seterusnya akan diadakan di Bintan pada Selasa (25 Jan).

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan