Indonesia sudah bersedia jalin kerjasama lebih luas dengan S'pura, kata Presiden Jokowi
Presiden Indonesia Joko Widodo berkata, beliau mahu mengukuhkan lagi hubungan dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor dengan Singapura - pelabur terbesar di negaranya.
Presiden Indonesia Joko Widodo. (Gambar: Timothy De Souza)
JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo berkata, beliau mahu mengukuhkan lagi hubungan dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor dengan Singapura - pelabur terbesar di negaranya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas bersama Mediacorp Selasa lalu (6 Ogos).
"Saya berpendapat pada masa akan datang, kami akan terus bekerjasama dengan Singapura dan terutamanya di kawasan Batam, Bintan dan Karimun. Saya berpendapat kami menjalin banyak kerjasama di sana sama ada dalam sektor digital, kewangan, pelancongan, perindustrian. Saya berpendapat kami mempunyai banyak kerjasama dalam bidang-bidang itu," menurut mantan Wali Kota Solo itu, yang lebih dikenali sebagai "Jokowi".
Indonesia buat masa ini merancang untuk membina sebuah jambatan laut terpanjang yang menghubungkan Batam dengan Bintan yang terletak berdekatan dengan Singapura.
Jambatan itu sepanjang tujuh kilometer dan kerja-kerja binaan dijangka bermula pada tahun 2020.
Apabila siap dibina ia dijangka akan membantu mempermudahkan dan merancakkan perniagaan dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Dalam masa lima tahun akan datang, Encik Widodo juga merancang untuk membangunkan modal insan dengan Singapura.
Pada tahun 2016 Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Encik Widodo membuka rasmi Taman Perindustrian Kendal di Semarang yang merupakan hasil kerjasama antara Sembcorp Development dan Pemaju Estet Industri Indonesia PT Jababeka.
Encik Widodo yakin Indonesia akan dapat meraih banyak manfaat melalui kerjasama dengan Singapura.
INDONESIA SASAR PERTUMBUHAN 6%
Encik Widodo merancang untuk mengeratkan lagi hubungan dengan Singapura, dengan harapan pertumbuhan ekonomi Indonesia akan menjangkaui 6 peratus di akhir penggal keduanya pada 2024.
Menurut beliau, Indonesia dalam keadaan baik berbanding negara-negara lain setelah mengambil kira keadaan ekonomi global yang melemah.
"Apa yang paling penting adalah kepercayaan terhadap pasaran, keyakinan para pelabur terhadap Indonesia bertambah baik, oleh itu kami menjangkakan penggal kedua ini, ekonomi kami akan bertambah baik, lebih tinggi dan memberi kesan kepada kebajikan rakyat Indonesia," menurutnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi Indonesia tumbuh sekitar lima peratus berbanding tujuh peratus yang disasarkan oleh Encik Widodo semasa penggal pertamanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.