Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Indonesia hantar bekalan pertama produk ayam ke S'pura pada 13 Jul

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jul 2022 02:13PM Dikemas Kini : 12 Jul 2022 10:59PM

JAKARTA: Indonesia akan mula mengeksport produk ayam ke Singapura pada Rabu (13 Jul), kata seorang pegawai kanan di Kementerian Pertanian Republik Indonesia. 

Seorang pengarah di kementerian tersebut, Cik Tri Mela Sari, memberitahu Mediacop penghantaran pertama itu akan mengandungi daging ayam beku yang dibekalkan oleh cawangan Indonesia bagi konglomerat makanan  Thailand, Charoen Pokphand. 

Namun, jumlah produk dieksport itu masih belum diketahui. 

"Kami akan menghantar bekalan pertama ayam ke Singapura pada Rabu (13 Jul). Kami akan mengadakan sidang media di pejabat Charoen Pokphand Indonesia (CPI). Perinciannya akan diumumkan pada sidang media tersebut," kata Cik Mela Sari pada Selasa (12 Jul). 

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), tiga syarikat dari Indonesia dibenarkan mengeksport daging ayam dan produk ayam ke Singapura. 

Dua daripada syarikat itu merupakan anak syarikat Charoen Pokphand, manakala satu lagi adalah anak syarikat gergasi makanan beku Indonesia, Japfa Comfeed.

Cik Mela Sari  berkata dua daripada syarikat itu masih berunding dengan rakan sejawatnya di Singapura. 

"Rundingan sedang diadakan di peringkat perniagaan (B2B). Bila dua syarikat itu akan mula menghantar produk ayam akan bergantung pada rundingan antara syarikat di kedua-dua negara," tambahnya. 

Pengarah pemprosesan dan pemasaran produk haiwan di kementerian tersebut turut berkata terdapat lagi 12 syarikat Indonesia yang ingin mendapatkan kebenaran untuk mengeksport produk ayam ke Singapura. 

Semua permohonan sudah diserahkan kepada SFA.

SFA menyatakan  ladang ternakan dan syarikat perlu dinilai dan diluluskan secara sendirian dengan penilaian terperinci dan audit untuk pengesahan sebelum diberi kebenaran untuk menghantar makanan ke Singapura. 

Singapura mengimport 214,400 tan daging ayam pada tahun lalu, kira-kira sepertiga bekalan diimport  dari Malaysia.

Malaysia menguatkuasakan larangan eksport sehingga 3.6 juta ayam setiap bulan, menyusuli isu bekalan dan harga setempat, dengan sesetengah penjual terpaksa menjual ayam pada harga melebihi had harga yang ditetapkan bagi membiayai kos mereka. 

Menyusuli larangan eksport tersebut, Singapura mengumumkan bahawa ia akan mengimport ayam dari negara-negara lain, termasuk Indonesia dan Thailand. 

SFA mengumumkan pada 30 Jun bahawa ia sudah menyertakan Indonesia sebagai satu sumber baru untuk mengimport ayam beku, sejuk dan yang sudah diproses.

Menurut anggaran Kementerian Pertanian Republik Indonesia bulan lalu, penghasilan daging ayam di Indonesia sepanjang 2022 dijangka mencecah 5.9 juta tan. 

Permintaan dalam negeri itu bagi daging ayam dianggarkan mencapai 5.3 juta tan tahun ini, bermakna terdapat purata lebihan sekitar 50,000 tan setiap bulan.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan