Indo-Pasifik pusat graviti strategik, medan operasi utama AS
SINGAPURA: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Lloyd Austin berkata rantau Indo-Pasifik adalah pusat graviti strategik dan medan operasi utama bagi negaranya.
Berucap di Dialog Shangri-La pagi tadi (11 Jun), Encik Austin menggariskan wawasan AS bagi rantau itu.
Encik Austin berkata serangan Russia ke atas Ukraine adalah satu contoh tentang ancaman yang boleh timbul sekiranya peraturan dunia yang berlandaskan undang-undang tidak dihormati.
Setiausaha Pertahanan Amerika itu turut menegur tindak-tanduk China di rantau Indo-Pasifik yang beliau samakan dengan sifat pembuli.
Menurut Encik Austin, tindakan China itu mengancam keselamatan, kemantapan dan kemakmuran rantau tersebut.
Maka itu, dasar bersepadu Washington bagi rantau tersebut akan terus tertumpu kepada hubungan dengan sekutu-sekutunya dan ia komited untuk mengukuhkan pertahanan bersama.
Washington juga mahu memajukan kerjasama pertahanan dengan Singapura, Indonesia dan Vietnam ke tahap selanjutnya.
Selain itu, Encik Austin menegaskan keamanan dan kestabilan di kawasan Selat Taiwan adalah keprihatinan bersama masyarakat sejagat.
"Kami juga menyokong sekutu-sekutu kami dalam mempertahankan hak mereka. Ini terutamanya penting sedang PRC (China) menggunakan pendekatan bersifat memaksa dan agresif dalam tuntutannya ke atas wilayah-wilayah," kata Encik Austin.
"Di Laut Cina Timur, tindakan PRC menambah kapal-kapal perikanannya mencetus ketegangan dengan jiran-jirannya.
"Di Laut Cina Selatan, PRC menggunakan kemudahan tenteranya di pulau-pulau buatan yang dilengkapi dengan senjata-senjata canggih untuk menguatkan tuntutan haknya yang tidak sah ke atas kawasan perairan itu," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.