Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Individu tidak divaksin boleh hadiri ibadah dalam kumpulan hingga 5 orang mulai 1 Feb

Individu tidak divaksin boleh terus menghadiri acara ibadah peribadi mulai 1 Februari apabila Langkah-Langkah Pengurusan Selamat Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) diperluaskan kepada ibadah berjemaah dan lain-lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Individu tidak divaksin boleh hadiri ibadah dalam kumpulan hingga 5 orang mulai 1 Feb

Dewan solat Masjid An-Nur. (Gambar fail: TODAY)

SINGAPURA: Individu tidak divaksin boleh terus menghadiri acara ibadah peribadi mulai 1 Februari apabila Langkah-Langkah Pengurusan Selamat Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) diperluaskan kepada ibadah berjemaah dan lain-lain.

Kumpulan sehingga lima orang akan dibenarkan untuk mengadakan sesi seumpama itu pada satu-satu masa di rumah ibadat, tanpa mengira status vaksinasi mereka. Ini berdasarkan garis panduan yang dikemas kini bagi kegiatan keagamaan seperti diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Kesediaan Krisis bagi Pertubuhan Agama (CPRO) pada Selasa (25 Jan).

Ini sejajar dengan saiz kumpulan sehingga lima orang yang dibenarkan buat masa ini.

Jemaah ibadah sebegini mesti memakai pelitup pada setiap masa. Mereka juga boleh berinteraksi dengan seorang petugas agama yang sudah lengkap divaksin, dengan jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter antara kumpulan tersebut dengan petugas agama berkenaan.

Kumpulan ibadah peribadi tidak seharusnya bergaul dengan individu yang terlibat dalam ibadah dan khidmat keagamaan lain, yang tertakluk kepada VDS.

KHIDMAT BERJEMAAH DAN IBADAH

Mulai bulan depan, hanya jemaah, peugas agama dan pekerja sokongan yang lengkap divaksin boleh menghadiri khidmat-khidmat berjemaah serta ibadah.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada 14 Disember tahun lalu bahawa semua acara, tidak kira saiznya, mesti melaksanakan VDS mulai Februari.

Khidmat berjemaah dan khidmat ibadah lain di rumah ibadat boleh menampung sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa, tertakluk kepada langkah-langkah pengurusan selamat.

Jemaah perlu diasingkan kepada zon-zon tidak melebihi 100 orang jemaah bagi setiap zon.

Jemaah daripada zon berlainan tidak seharusnya bergaul antara satu sama lain. Jemaah juga harus dibahagikan dalam kumpulan tidak melebihi lima orang, dengan jarak selamat 1 meter antara setiap kumpulan.

Kanak-kanak tidak divaksin yang berusia 12 tahun dan ke bawah boleh dikecualikan daripada VDS dan disertakan sebagai salah seorang individu dalam kumpulan sehingga lima orang bagi khidmat berjemaah serta khidmat ibadah. Ini selagi kanak-kanak dalam kumpulan tersebut adalah daripada anggota keluarga yang tinggal serumah.

PEMUZIK TANPA PELITUP MESTI PEROLEH HASIL NEGATIF UJIAN COVID-19

Satu lagi perubahan utama mulai 1 Februari mensyaratkan semua pemuzik tidak memakai pelitup yang menyanyi dan/atau bermain alat tiup semasa khidmat berjemaah atau khidmat ibadat perlu memperolehi hasil ujian negatif COVID-19.

Ini boleh dilakukan sama ada melalui penyedia ujian yang diluluskan MOH atau dengan mengambil ujian yang dilakukan sendiri. Ujian yang dilakukan sendiri mesti diselia di lokasi atau secara maya oleh penganjur persembahan secara langsung pertubuhan keagamaan tersebut.

Pertubuhan keagamaan dikehendaki menyimpan rekod pemuzik tidak memakai pelitup dan hasil ujian pantas antigen (ART) mereka.

Had sehingga 20 orang yang terlibat dalam menjalankan khidmat ibadah boleh menanggalkan pelitup pada bila-bila masa. Kapasiti ini termasuk para pemuzik.

Mulai 1 Februari, kelas agama boleh diadakan sehingga 50 orang, termasuk guru dan tenaga pengajar sokongan, tanpa VDS. Kegiatan keagamaan lain tertakluk kepada VDS.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan