Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Individu radikal masih membentuk ancaman pengganas utama kepada keselamatan SG, kata Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Ada pelbagai wadah bagi rakyat Singapura menyokong penduduk Gaza yang terjejas oleh konflik Israel-Palestin, namun keganasan bukan pilihannya sama sekali, tegas Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, dalam catatan di Facebook pada Rabu (11 Jan).

Dr Faishal menekankan bahawa individu yang menjadi radikal secara sendiri masih membentuk ancaman pengganas utama kepada keselamatan Singapura.

Ini berdasarkan laporan terbaru Trend dan Analisis Bertindak Balas terhadap Pengganas yang diterbitkan oleh Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam Universiti Teknologi Nanyang, kongsi beliau.

"Saya faham bahawa ramai yang merasakan mereka terkesan dengan konflik di Gaza tetapi ada banyak cara bagi rakyat Singapura untuk menunjukkan sokongan," kata Dr Faishal yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara.

Beliau memberi contoh ini termasuk memanjatkan doa atau menghulurkan bantuan menerusi pertubuhan-pertubuhan sah seperti Pasukan Palang Merah Singapura dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

"Keganasan tidak sepatutnya pernah menjadi huraiannya dan kita menolak mereka dalam masyarakat kita yang sanggup berbuat demikian," kata Dr Faishal.

Beliau menegaskan demikian dalam respons kepada pengumuman oleh ISD pada Rabu tentang penahanan seorang guru lelaki di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Menurut ISD, Mohamed Khairul Riduan Mohamed Sarip, 38 tahun, merancang untuk membuat perjalanan ke Palestin bagi melakukan keganasan bersenjata dengan menyertai HAMAS dan sayap tenteranya, Briged Izz ad-Din al-Qassam (AQB).
"Hakikat bahawa individu yang menjadi radikal sendiri itu merupakan seorang guru dari sebuah institusi pendidikan tempatan menunjukkan bahawa sesiapa saja boleh terpengaruh dengan dakwah tegar online," kata Dr Faishal.
"Meskipun tahanan itu tidak merancang untuk melancarkan serangan di Singapura, fahaman tegarnya adalah suatu ancaman kepada masyarakat kita.

"Kes-kes radikalisasi terus wujud dalam kalangan kita. Mujur, ISD terus mengesan kes-kes sedemikian sebelum individu radikal mencederakan diri mereka atau orang lain," ujar Dr Faishal.

Khairul adalah rakyat Singapura kedua ditahan di bawah ISA, yang terdorong untuk angkat senjata kerana perasaan simpati terhadap penduduk Palestin. Kes pertama adalah pada Mac 2021 apabila ISD menahan seorang pemuda yang merancang satu serangan terhadap penganut Yahudi di saumaah tempatan.

Bagi menangani radikalisasi di peringkat individu, Dr Faishal berkongsi bahawa ISD bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan institut-institut pengajian tinggi untuk menjalankan kegiatan-kegiatan pendampingan bertindak balas terhadap pengganasan dan radikalisasi sejak 2007.

"Mereka tidak mengabaikan usaha itu sungguhpun semasa pandemik. Saya menghadiri beberapa acara kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) sepanjang tahun lalu," kata Dr Faishal.

Dr Faishal menggesa orang ramai supaya kekal berwaspada terhadap individu yang terpengaruh oleh salah tafsir ajaran Islam sehinggakan mereka mula menyokong keganasan tegar tanpa mengira perkara yang diperjuangkan.

Sesiapa yang mengetahui atau mengesyaki individu yang mungkin menjadi radikal perlu segera menghubungi Pusat Bertindak Balas terhadap Pengganasan ISD di talian 1800-2626-473 (1800-2626-ISD).
Sumber : BERITA Mediacorp/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan