Individu positif COVID-19 menerusi ujian kendiri ART harus dapatkan dos penggalak: MOH
Individu yang didapati dijangkiti COVID-19 - namun hanya melakukan sendiri ujian pantas antigen (ART) - harus mendapatkan dos penggalak.
(Gambar fail: Ong Ye Kung/Facebook)
SINGAPURA: Individu yang didapati dijangkiti COVID-19 - namun hanya melakukan sendiri ujian pantas antigen (ART) - harus mendapatkan dos penggalak.
Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (29 Jan).
Mereka dinasihatkan supaya mendapatkan dos penggalak itu sekitar lima bulan selepas mendapatkan dos terakhir vaksin COVID-19 di bawah program vaksinasi kebangsaan, supaya dapat mengekalkan status lengkap divaksin menjangkaui 270 hari, menurut MOH.
Ini juga tertakluk kepada mereka yang positif COVID-19 setelah menjalani ujian rutin berjadual atau ujian praacara.
"Individu-individu ini lazimnya akan menjalani pengasingan kendiri di bawah Protokol 2, pulih daripada jangkitan dan kemudian meneruskan dengan aktiviti seperti biasa. Justeru, tiada rekod mereka dijangkiti dalam rekod perubatan kami," menurut MOH dalam satu kenyataan media.
Jika status jangkitan mereka tertera dalam rekod perubatan menerusi HealthHub, mereka diberi pilihan untuk tidak mengambil dos penggalak, menurut MOH. Ini merangkumi individu yang berjumpa doktor apabila mereka dijangkiti atau mereka yang dikesan mengalami jangkitan apabila mereka melakukan perjalanan ke Singapura.
"Episod jangkitan itu dianggap sebagai dos penggalak anda. Kemas kini terhadap status anda akan dilakukan secara automatik, dan tiada tindakan lanjut diperlukan daripada pihak anda," menurut MOH.
Sekalipun demikian, MOH tetap menyarankan individu yang sudah pulih daripada COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak.
"Dos penggalak akan menawarkan perlindungan yang lebih lama di masa hadapan. Seperti disarankan oleh Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19, ia adalah selamat bagi individu yang sudah pulih daripada COVID-19 untuk mengambil dos penggalak," tambahnya.
"Pusat-pusat vaksinasi kami diarahkan untuk memberi dos penggalak kepada anda dan anda tidak akan diusir."
MOH menyatakan ia sedang berusaha mengadakan fungsi kalkulator di lamannya untuk membantu orang ramai menentukan sama ada mereka memerlukan dos penggalak untuk melanjutkan tempoh kesahan status vaksinasi mereka.
"Namun mengikut kebiasaan - dua dos vaksin mRNA atau tiga dos vaksin Sinovac/Sinopharm menawarkan status lengkap divaksin selama 270 hari.
"Dos penggalak atau jangkitan yang dicatat dalam rekod perubatan kami akan melanjutkan tempoh kesahan itu," menurut MOH.
Ia juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil ujian serologi untuk cuba mengecualikan diri mereka daripada mengambil dos pengalak, sambil menyatakan bahawa ujian sedemikian "bukanlah petanda kukuh daya tahan" terhadap jangkitan teruk disebabkan COVID-19.
"Keputusan positif menerusi ujian serologi boleh diperolehi disebabkan vaksinasi atau jangkitan, tanpa penanda waktu yang jelas, dan ia tidak menyediakan dasar yang tepat untuk memutuskan sama ada individu itu boleh dikecualikan daripada mengambil dos penggalak," menurut MOH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.