Skip to main content

Singapura

Individu, pertubuhan yang ajar 10 orang atau lebih perlu daftar sebagai sekolah agama Islam mulai 2 Okt: MUIS

Anggaran Waktu Membaca:
Individu, pertubuhan yang ajar 10 orang atau lebih perlu daftar sebagai sekolah agama Islam mulai 2 Okt: MUIS

Bangunan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). (Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 04:13PM

SINGAPURA: Individu, organisasi atau tempat yang menyediakan pengajaran Islam kepada 10 orang atau lebih secara tetap perlu mendaftar dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai Sekolah Agama Islam (MRS) mulai 2 Oktober.

Keperluan baharu itu dikenakan ke atas pengajaran yang dijalankan sekurang-kurangnya sekali sebulan, sama ada secara bersemuka, di rumah atau secara online.

Ia merupakan antara peruntukan baharu di bawah pindaan Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) 2024 yang diluluskan di Parlimen pada Februari 2024.

Beberapa peruntukan di bawah Peraturan Pentadbiran Hukum Islam (Sekolah Agama Islam) 2016 turut dipinda bagi melaksanakan perubahan tersebut.

MUIS berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu (3 Okt) bahawa sekitar 50 individu dan organisasi dijangka perlu mendaftar sebagai MRS di bawah keperluan baharu tersebut.

Antara penyedia yang perlu mendaftar ialah madrasah sepenuh masa dan separuh masa, kelas al-Quran termasuk Iqra, tajwid, taranum dan tahfiz, kelas tuisyen yang merangkumi pengajaran Islam, serta kelas persediaan bagi Ujian Kemasukan Madrasah.

Kelas bahasa Arab bagi memahami pengajaran atau kandungan Islam, pusat penjagaan pelajar yang menawarkan pengajaran Islam, kelas agama online, serta kelas persediaan umrah dan haji yang dikendalikan agensi pelancongan turut termasuk dalam keperluan tersebut.

Pegawai MUIS juga akan diberi kuasa memeriksa MRS yang berdaftar, termasuk menghadiri pengajaran yang dijalankan secara bersemuka atau online.

TEMPOH PERALIHAN SEHINGGA MAC 2027

Penyedia yang memenuhi takrif MRS tetapi belum berdaftar diberi tempoh sehingga 31 Mac 2027 untuk mengemukakan permohonan pendaftaran.

Sepanjang tempoh peralihan itu, mereka masih boleh beroperasi.

Namun, MUIS menggalakkan penyedia berkenaan mengemukakan permohonan lebih awal.

MRS yang telah berdaftar tidak perlu mendaftar semula dan boleh terus beroperasi berdasarkan pendaftaran sedia ada.

Di bawah rangka kerja baharu itu, MRS berdaftar mesti memastikan pengajaran Islam hanya disampaikan oleh asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Kurikulum pengajaran Islam yang digunakan juga perlu disahkan oleh MUIS.

Orang ramai boleh merujuk direktori ARS untuk menyemak asatizah yang diiktiraf, serta direktori MRS untuk memastikan sama ada sesebuah penyedia telah berdaftar.

Pengajaran Islam yang hanya disampaikan kepada anggota keluarga atau perkongsian pandangan agama secara peribadi antara keluarga dan rakan dikecualikan daripada keperluan pendaftaran MRS.

Perkhidmatan agama yang tidak melibatkan pengajaran, seperti ruqyah, perkhidmatan pengebumian, tahnik, tahlil, korban dan badal umrah juga tidak perlu didaftarkan.

Kelas agama online yang dijalankan dari luar Singapura turut dikecualikan.

SYARAT BAHARU BAGI ASATIZAH

Beberapa perubahan turut diperkenalkan kepada ARS bagi memperkukuh pengawasan dan piawaian profesional asatizah.

Pemohon baharu bagi pengiktirafan ARS Tahap 1 perlu memiliki sekurang-kurangnya ijazah dalam Pengajian Islam.

Syarat itu tidak terpakai kepada asatizah Tahap 1 sedia ada, termasuk mereka yang memohon pembaharuan pengiktirafan.

Tempoh sekatan selama setahun juga akan dikenakan terhadap pemohon yang tidak berjaya, serta asatizah yang pengiktirafannya dibatalkan atau tidak diperbaharui.

Namun, tempoh sekatan itu tidak dikenakan kepada asatizah yang membatalkan pengiktirafan secara sukarela kerana tidak lagi berhasrat mengajar.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa MUIS mempunyai lebih fleksibiliti untuk menyesuaikan tempoh penggantungan sekiranya siasatan memerlukan masa tambahan.

Pendaftaran MRS dibuka mulai Sabtu (3 Okt).

Penyedia yang memerlukan bantuan boleh menyertai sesi klinik pendaftaran MUIS atau menghubungi talian 6359 1199 atau emel info [at] muis.gov.sg.

Sejak pendaftaran mandatori MRS dan guru agama diperkenalkan pada 2017, jumlah MRS dan pusat penyedia khidmat pendidikan Islam yang berdaftar meningkat daripada 303 kepada 475 pada 2025.

Dalam tempoh sama, jumlah guru agama yang berdaftar di bawah ARS meningkat daripada 4,744 kepada 5,205.

Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita