Skip to main content

Singapura

Individu muat naik video hina al-Quran berkemungkinan pernah disabit atas kesalahan serupa: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Mar 2026 09:35PM Dikemas Kini : 20 Mar 2026 06:52PM
SINGAPURA: Lelaki yang memuat naik video Al-Quran dipijak berkemungkinan individu sama yang memuat naik video-video serupa sebelum ini, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Ahad (8 Mac).

Dia didakwa dan didapati bersalah pada Julai tahun lalu, dan kemudian dipenjara dan dibebaskan pada Disember lalu, kata Encik Shanmugam yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Negara.

“Apabila dia didapati bersalah pada Julai tahun lalu, ada beberapa bukti yang menunjukkan dia menghidap penyakit mental. Dia kini berada di luar negara, dan polis akan menyoal siasatnya,” kata Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam ditemui para wartawan menjelang acara berbuka puasa di Khatib, yang dianjurkan oleh GRC Nee Soon.

Menyifatkan video itu sebagai “sangat menyinggung perasaan”, Encik Shanmugam berkata: “Pada bila-bila masa ia akan menyinggung perasaan, apatah lagi semasa Ramadan.”

Beliau menambah polis sudah pun mengambil tindakan dan Meta telah pun mematuhi arahan dan memadam video itu.

Pada pagi Ahad, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan pihaknya sudah mengarahkan Meta supaya menyekat akses kepada catatan media sosial yang mengandungi video seorang lelaki memijak al-Quran.

Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim, yang turut berada di acara di Khatib, mengecam tindakan yang sengaja menghina mana-mana agama, sambil berkata bahawa ia "tidak boleh diterima sama sekali di Singapura".

"Penghinaan terhadap sesuatu agama akan menjejas semua agama lain dan masyarakat mereka kerana ia menjejaskan rasa hormat bersama yang menyatukan masyarakat kita," kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri.

Beliau berkata fabrik sosial Singapura berharga dan mesti dilindungi.

"Tindakan seperti ini hanya akan menyemai perselisihan dan menghakis kepercayaan yang kita berusaha untuk bina dalam masyarakat berbilang kaum dan agama kita," tambahnya.

Insiden itu dipercayai berlaku di dalam sebuah bas awam di Singapura.

Walaupun video asal tidak lagi boleh ditemui, ia sudah pun dikongsi semula di platform media sosial yang lain, kata MHA.

MHA menyatakan ia mengambil pendirian tegas terhadap ancaman terhadap keharmonian kaum dan agama Singapura.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku sedemikian, dan pesalah akan ditangani dengan cepat dan tegas,” tambahnya.

MHA dan Pasukan Polis Singapura menilai bahawa kandungan video tersebut merupakan kesalahan menghina agama orang lain di Singapura di bawah Seksyen 17F(4) Akta Mengekalkan Keharmonian Agama 1990.

Menyusuli catatan media sosial yang menyinggung agama tersebut, polis mengeluarkan Arahan Sekatan di bawah Akta Bahaya Jenayah Online (OCHA) kepada Meta bagi menangani kandungan tersebut.

Siasatan polis sedang dijalankan.

KESAN PERANG DI TIMUR TENGAH

Ditanya tentang konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, Encik Shanmugam berkata kesannya terhadap ribuan penduduk yang terjejas oleh perang itu adalah "ketara".

Beliau juga merujuk kepada kesan ekonomi di seluruh dunia, termasuk ke atas Singapura, dengan memetik risiko kepada bekalan tenaga melalui Selat Hormuz.

"(Harga minyak dan gas) sudah pun naik, dan ia kemungkinan akan terus meningkat, kerana beberapa menteri tenaga dari negara-negara Teluk membincangkan situasi tersebut. Sekurang-kurangnya seorang telah mengatakan bahawa mungkin terdapat penghentian aliran minyak dan gas," katanya.

Encik Shanmugam menambah bahawa dengan begitu banyak yang bergantung pada tenaga, kesan sampingan akan dirasai oleh orang ramai, perniagaan dan ekonomi di seluruh dunia.

Beliau juga meluahkan rasa tidak pasti tentang berapa lama perang itu akan berlarutan sambil berkata bahawa kenyataan baru-baru ini menunjukkan ia mungkin melangkaui ramalan awal selama tiga hingga empat minggu.

"Amerika dan Israel mungkin tahu apa tujuannya, tetapi dari perspektif awam, itu tidak jelas bagi saya; melihat kenyataan awam, apa tujuan perang itu," katanya.

"Unsur tidak pasti yang besar" ini buruk bagi Timur Tengah dan seluruh dunia, katanya.

"Peperangan biasanya buruk bagi orang yang terlibat serta orang lain yang terkesan. Tetapi dalam kes ini, agak ramai orang di seluruh dunia yang terjejas," kata Encik Shanmugam.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita