Skip to main content

Singapura

Individu ke-10 kes pengubahan wang haram bernilai S$3 bilion mengaku bersalah

Anggaran Waktu Membaca:
 Individu ke-10 kes pengubahan wang haram bernilai S$3 bilion mengaku bersalah

Ilustrasi: Rafa Estrada

Diterbitkan : 07 Jun 2024 04:49PM
SINGAPURA: Individu terakhir daripada 10 individu yang didakwa dalam kes pengubahan wang haram bernilai S$3 bilion mengaku bersalah di mahkamah pada Jumaat (7 Jun).

Wang Dehai, 35 tahun, berdepan enam tuduhan, dua berkait pengubahan wang, manakala empat lagi kesalahan berkait pekerjaan.

Warganegara Cyprus itu ditangkap bersama enam lagi warga asing dalam serbuan serentak di seluruh pulau pada tahun 2023.

Pada 15 Ogos 2024, Wang ditemui dengan S$2,299,950 wang tunai yang disyaki diraih daripada kesalahan perjudian haram jarak jauh. Dia gagal menyatakan bagaimana wang itu diperolehi. Dia mengaku bersalah atas tuduhan itu, sementara tuduhan lain dipertimbangkan bagi hukumannya.

Sekitar 29 November 2019, Wang juga menggunakan S$23 juta untuk membeli sebuah unit kondominium The Marq berhampiran Orchard Road. Dana ini juga disyaki didapati menerusi kesalahan perjudian haram jarak jauh dan Wang gagal mempertanggungjawabkannya.

Kesalahan berkaitan pekerjaan dikenakan kerana dia secara palsu menyatakan dirinya merupakan pengurus jenama dan perunding Craft Digital antara 2018 dengan 2022 untuk mendapatkan pas pekerjaan, serta mengupah seorang pembantu rumah yang tidak mempunyai pas pekerjaan yang sah.

Wang merupakan individu terakhir dalam kes ini untuk mengaku bersalah di makhamah. Berjuta-juta dolar aset, termasuk barangan mewah dan hartanah, sudahpun dirampas atau diserahkan oleh sembilan individu sebelum ini.

Lapan daripadanya sudah dikenakan hukuman penjara sepanjang 12 hingga 15 bulan, sementara satu lagi belum dijatuhi hukuman.

Warganegara Vanuatu Su Jianfeng, 36 tahun, mengaku bersalah pada Khamis (6 Jun) namun hukumannya ditangguh hingga Isnin (10 Jun). Pihak pendakwa meminta hukuman penjara selama 17 hingga 18 bulan bagi Su, hukuman terpanjang setakat ini bagi seorang tertuduh dalam kes berkenaan.

Hukuman Su akan menyimpulkan kes berbilion dolar yang membongkar masalah pengubahan wang haram.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita