Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Individu hilang kerja semasa COVID-19 dan tidak mampu bayar sewa antara kumpulan baru gelandangan di S'pura: Kajian

Anggaran Waktu Membaca:
Individu hilang kerja semasa COVID-19 dan tidak mampu bayar sewa antara kumpulan baru gelandangan di S'pura: Kajian

(Gambar: CNA/Vanessa Lim, Jonathan Yeo)

SINGAPURA: Satu kajian mengenai gelandangan di Singapura mengenal pasti dua golongan baru individu yang tidak mempunyai tempat tinggal.

Kumpulan pertama merupakan individu yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik dan terpaksa mencari tempat berteduh kerana tidak mampu membayar duit sewa untuk sebuah bilik di pasaran terbuka.

Sebelum ini, sebilangan mereka kerap berpindah antara bilik sewa dan tinggal dengan keluarga serta rakan, tetapi pandemik menjejas kebanyakan aturan sedemikian.

Dalam satu kes contoh kajian tersebut, kontrak sewa seorang individu bagi sebuah bilik dalam flat HDB ditamatkan kerana pemilik flat itu bimbang dia "mungkin membawa COVID-19 ke dalam rumah".

Individu-individu lain yang tinggal bersama dengan rakan-rakan mereka diminta keluar kerana bimbang melanggar peraturan lawatan sosial semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Kumpulan kedua pula terdiri daripada lelaki pertengahan umur tempatan yang berkahwin dengan warga Malaysia atau Indonesia dan menetap di negara-negara berkenaan, tetapi kerap ke Singapura untuk bekerja.

Penutupan sempadan pada 2020 menyebabkan mereka terpaksa berpindah, dengan ramai daripada mereka tiba-tiba tidak dapat pulang ke Malaysia dan Indonesia dan oleh itu, terpaksa tidur di jalanan.

Kajian itu dijalankan oleh Dr Ng Kok Hoe, seorang zamil penyelidikan kanan di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, yang memimpin sebuah pasukan penyelidik bagi Projek Inklusif Sosial untuk menjalankan kajian kedua Singapura mengenai golongan gelandangan.

Antara lain, kajian itu mendapati bahawa jumlah gelandangan tidak berubah dengan ketara antara 2019 hingga 2021, meskipun pemerintah mengambil pelbagai tindakan dan terdapat kesan meluas pandemik COVID-19.

Jumlah terkumpul gelandangan dan penduduk yang mendapatkan tempat berteduh sementara pada 2021 adalah 1,036, berbanding 1,115 yang dicatatkan pada 2019.

Kumpulan pengkaji itu juga menjalankan temu bual mendalam dengan 51 penghuni di pusat perlindungan sementara bagi gelandangan, untuk memahami keadaan peribadi mereka, sejarah perumahan dan sebab menjadi gelandangan.

Kebanyakan peserta adalah lelaki Singapura, berusia 50 tahun dan ke atas, dengan sebilan besarnya hanya berpendidikan rendah atau menengah. Ramai yang bekerja atau mencari kerja dan kira-kira separuh sama ada bercerai atau kematian isteri/suami.

Selain dua kumpulan baru itu, kajian tersebut juga mengenal pasti satu lagi kumpulan gelandangan antara peserta temu bualnya.

Kumpulan itu merangkumi lebih ramai lelaki daripada wanita dan sudah hidup gelandangan sebelum Singapura dilanda pandemik pada Februari 2020.

Kumpulan tersebut hidup gelandangan selama beberapa bulan sehingga 25 tahun, dan berusia dalam lingkungan 30-an hingga 70-an tahun.

Ramai daripada mereka sudah putus hubungan dengan keluarga mereka dan mempunyai pengalaman pahit dengan perumahan sewa. Mereka ditemui semasa tidur di jalanan sewaktu pandemik dan dirujuk ke tempat perlindungan.

Kesemua mereka mengalami masalah dalam hubungan keluarga, seperti salah faham dengan ibu bapa atau adik beradik yang menyebabkan mereka meninggalkan keluarga pada usia muda atau putus hubungan disebabkan konflik bertahun-tahun lama, serta keganasan.

Memberi gambaran mengenai situasi kerja dan kewangan mereka, laporan berkenaan mendedahkan bahawa kumpulan gelandangan tersebut terdiri daripada individu berpendapatan rendah dan tidak mempunyai kerja yang tetap serta hidup papa kedana.

Mereka hampir tidak ada wang simpanan, dan perlu hemah berbelanja seperti mengurangkan keperluan asas seperti makanan dan barangan peribadi, menurut laporan tersebut.

Terdapat beberapa persamaan yang menyebabkan individu dalam ketiga-tiga kumpulan itu menjadi gelandangan.

Ini termasuk masalah keluarga, kerja tidak menentu dan tidak berupaya untuk memenuhi keperluan asas, serta bagi sesetengah daripada mereka, masalah kesihatan mental dan fizikal.

Laporan tersebut juga menarik perhatian sistem perumahan sewa sebagai salah satu faktor yang menyebabkan sesetengah individu hidup gelandangan.

Merujuk kepada Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang yang memerlukan pemohon untuk mencari teman, laporan itu mendedahkan bahawa ia menimbulkan masalah akses dan peluang konflik berlaku antara penghuni yang menyebabkan mereka meninggalkan rumah sewa.

Ia menyarankan peraturan kelayakan rasmi yang lebih adil dan memberi keutamaan kepada individu berisiko hidup gelandangan atau sudah tiada tempat tinggal, sambil memastikan privasi bagi penduduk.
Sumber : CNA/NY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan