Skip to main content

Singapura

Individu hidap HIV tidak lagi perlu maklumkan kepada pasangan mengenai risiko jangkitan jika 'jumlah virus tidak dapat dikesan' dikekalkan

Mereka yang menghidap virus HIV tidak lagi perlu memaklumkan kepada pasangan mereka tentang risiko dijangkiti HIV sebelum melakukan aktiviti seksual, jika individu berkenaan mengekalkan "jumlah virus yang tidak dapat dikesan untuk tempoh tertentu" sebelum melakukan aktiviti seksual itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Individu hidap HIV tidak lagi perlu maklumkan kepada pasangan mengenai risiko jangkitan jika 'jumlah virus tidak dapat dikesan' dikekalkan

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 07 Mar 2024 06:58PM Dikemas Kini : 08 Mar 2024 10:57AM
SINGAPURA: Mereka yang menghidap virus HIV tidak lagi perlu memaklumkan kepada pasangan mereka tentang risiko dijangkiti HIV sebelum melakukan aktiviti seksual, jika individu berkenaan mengekalkan "jumlah virus yang tidak dapat dikesan untuk tempoh tertentu" sebelum melakukan aktiviti seksual itu.

Mereka yang menghidap virus HIV dianggap tidak berisiko menyebarkan jangkitan itu jika "syarat tertentu" dipenuhi, kata Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Rahayu Mahzam hari ini (7 Mac).

Pertama, individu menghidap HIV harus mengekalkan jumlah virus HIV yang tidak dapat dikesan "secara konsisten di bawah 200 salinan bagi setiap ml darah, selama sekurang-kurangnya enam bulan, berdasarkan keputusan ujian dari sebuah makmal yang diiktiraf".

Kedua, ujian keputusan ujian jumlah virus mereka yang tidak boleh dikesan itu seharusnya sembilan bulan atau kurang daripada itu sebelum melakukan aktiviti seksual tersebut.

Ketiga, mereka mematuhi rawatan perubatan bagi jangkitan HIV sehingga waktu melakukan aktiviti seksual itu.

Pindaan terhadap Seksyen 23 (1) Akta Penyakit Berjangkit, iaitu antara pindaan lain terhadap Akta itu, diluluskan sebulat suara pada Khamis di Parlimen.

Pindaan pendedahan HIV itu selaras dengan kemajuan perubatan dan matlamat kesihatan awam Singapura untuk membendung penularan dengan "memindahkan lebih banyak tanggungjawab ke atas individu" supaya mereka diuji dan mendapatkan rawatan bagi HIV untuk mencapai dan mengekalkan jumlah virus yang tidak dapat dikesan secara stabil, kata Cik Rahayu.

Butiran lanjut akan didedahkan dalam perundangan subsidiari bagi membolehkan "penyesuaian wajar dan tepat pada masanya" jika sains perubatan berubah pada masa hadapan, katanya.

'TIDAK MELONGGARKAN' PERLINDUNGAN KESIHATAN AWAM

Cik Rahayu mengingatkan Dewan hari ini bahawa "tindakan tidak bertanggungjawab" yang menyebabkan penularan HIV masih satu kesalahan di Singapura, dan tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil.

Oleh yang demikian, Seksyen 23(2) Akta Penyakit Berjangkit akan kekal. Di bawah undang-undang itu, mereka yang tidak tahu bahawa mereka sudah dijangkiti HIV namun mempunyai sebab untuk percaya bahawa mereka menghidap virus itu perlu memberitahu pasangan mereka tentang risiko jangkitan.

Kewajipan di bawah undang-undang itu akan terus mencegah tindakan tidak bertanggungjawab, "termasuk mereka yang cuba berselindung di sebalik kejahilan mereka terhadap status HIV diri sendiri", katanya.

Namun, walaupun terdapat langkah berjaga-jaga, penting untuk undang-undang HIV "diselaraskan dengan kemajuan perubatan dalam rawatan HIV bagi menggalakkan pengesanan awal dan rawatan HIV", jelas Cik Rahayu.

Walaupun HIV masih tidak dapat dirawat, kemajuan perubatan dalam rawatan HIV bermakna seseorang yang menghidap virus itu dan secara stabil mengekalkan jumlah virus yang tidak dapat dikesan sepanjang tempoh tertentu, disebabkan mereka secara konsisten menjalani rawatan, "mereka tidak boleh menyebarkan HIV kepada pasangan mereka", katanya.

"Pasangan seksual mereka justeru tidak berisiko dijangkiti HIV daripada individu berkenaan."

Cik Rahayu juga menekankan bahawa MOH "bukan melonggarkan langkah keselamatan kesihatan awam terhadap penularan HIV" dengan pindaan yang diusulkan itu.

Sebaliknya, MOH menggalakkan individu dijangkiti supaya tampil untuk diuji dan dirawat, justeru dapat melindungi dengan lebih baik pasangan mereka.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita