Skip to main content

Singapura

Individu divaksin bentuk 30% kematian COVID-19 tahun lalu: Ong Ye Kung

Individu yang sudah lengkap divaksin membentuk 30 peratus kematian COVID-19 di Singapura tahun lalu, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (10 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Individu divaksin bentuk 30% kematian COVID-19 tahun lalu: Ong Ye Kung

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 10 Jan 2022 02:51PM Dikemas Kini : 10 Jan 2022 03:39PM

SINGAPURA: Individu yang sudah lengkap divaksin membentuk 30 peratus kematian COVID-19 di Singapura tahun lalu, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (10 Jan).

247 daripada 802 kematian COVID-19 yang dilaporkan di Singapura tahun lalu sudah lengkap divaksin.

Kebanyakan daripada kematian akibat COVID-19 itu menerima vaksin bukan mRNA, menurut angka kematian kasar yang kongsi Encik Ong.

Bercakap di Parlimen, Encik Ong membentangkan kadar kematian kasar berdasarkan jenis vaksinasi: 11 kematian bagi setiap 100,000 bagi mereka yang divaksinasi dengan Sinovac, 7.8 bagi setiap 100,000 untuk Sinopharm, 6.2 bagi setiap 100,000 untuk Pfizer-BioNTech, dan 1 bagi setiap 100,000 bagi Moderna.

"Barang diingat, perangkaan ini berdasarkan sampel yang agak kecil iaitu 247 kematian... Kadar ini hanya satu petunjuk kerana ia tidak mengambil kira faktor lain yang boleh menjejaskan kematian seperti umur dan masa suntikan vaksinasi diambil," kata Encik Ong.

YAKINKAN MEREKA YANG LAYAK DARI SEGI PERUBATAN

Baki 555 orang yang meninggal dunia akibat COVID-19 tahun lepas pula tidak lengkap divaksin.

Meskipun jumlah yang tidak divaksin membentuk "sebahagian kecil" penduduk Singapura, kematian itu membentuk 70 peratus jumlah keseluruhan kematian COVID-19 tahun lalu, tambah Encik Ong.

Pada masa ini, sekitar 132,000 orang berusia 18 tahun dan ke atas masih belum divaksin, manakala terdapat kira-kira 300 orang yang tidak layak dari segi perubatan, kata Encik Ong.

"Kami akan terus cuba untuk meyakinkan mereka yang layak dari segi perubatan untuk mendapatkan vaksin, melalui doktor GP, pesanan awam dan media. Tetapi apabila jumlahnya semakin kecil, ia juga lebih sukar untuk meyakinkan mereka."

MOH sudah berjaya memberi vaksin kepada "lebih 90 peratus" daripada setiap kumpulan umur yang layak sejak beberapa bulan lalu, tambahnya.

"Kami amat gembira melihat warga emas berusia 60 hingga 69 tahun, dan 70 tahun dan ke atas, yang lengkap divaksin masing-masing 96 peratus dan 95 peratus."

Bagi mereka yang berusia 12 hingga 19 tahun, 95 peratus sudah lengkap divaksinasi, kata Encik Ong, manakala sambutan adalah "baik" dan operasi berjalan "lancar" untuk vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

"Buat masa ini, hanya vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty dibenarkan untuk digunakan bagi mereka yang berusia di bawah 18 tahun. Kami akan terus memantau dengan teliti bekalan vaksin lain, termasuk vaksin bukan mRNA yang diluluskan untuk kegunaan kanak-kanak," tambah Encik Ong.

PROGRAM PENGGALAK BERJALAN LANCAR

Program dos penggalak di Singapura berjalan lancar, dengan kira-kira 46 peratus penduduk sudah menerima suntikan penggalak mereka, kata Encik Ong.

"Baru-baru ini sekitar 900,000 orang berusia 18 hingga 29 tahun sudah dimasukkan ke dalam program penggalak, di mana 700,000 daripada mereka layak menerima dos penggalak."

Encik Ong menambah bahawa perlindungan dos penggalak akan terus ditambah sepanjang Januari. MOH juga telah menetapkan tempoh sah bagi status lengkap divaksin selama 270 hari, untuk menghantar "isyarat kuat kepada penduduk kita".

Bagaimanapun, "masih terlalu awal untuk mengatakan" sama ada suntikan penggalak selanjutnya perlu diberi, katanya. Israel adalah satu-satunya negara yang meluluskan dos keempat untuk individu yang tidak terjejas imuniti.

Encik Ong juga merujuk kepada demam selesema, yang merupakan penyakit berjangkit endemik, tentang bagaimana Singapura boleh belajar untuk hidup dengan COVID-19.

"Virus (demam selesema) sering bermutasi, jadi orang ramai mendapatkan vaksin setiap tahun untuk melindungi diri mereka, tanpa banyak masalah, atau keperluan untuk menutup sempadan yang mengganggu operasi dan sekatan sosial setiap kali terdapat gelombang jangkitan demam selesema," katanya.

"Ia adalah senario masa depan apabila kita hidup dengan COVID-19 sebagai penyakit endemik."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita