Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Individu alami alahan selepas suntikan vaksin mRNA boleh ambil Sinovac; dianggap sudah lengkap divaksin

Para individu yang mengalami alahan selepas suntikan dos pertama vaksin mRNA COVID-19 akan dipelawa untuk mendapatkan vaksin Sinovac sebagai dos kedua, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary di Parlimen pada Isnin (2 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Aug 2021 03:16PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 11:45PM

SINGAPURA: Para individu yang mengalami alahan selepas suntikan dos pertama vaksin mRNA COVID-19 akan dipelawa untuk mendapatkan vaksin Sinovac sebagai dos kedua, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary di Parlimen pada Isnin (2 Ogos).

Para individu yang menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan cara sedemikian akan disifatkan sebagai sudah divaksin sepenuhnya di bawah program vaksinasi negara.

Beliau menambah bahawa individu sedemikian akan menerima suntikan kedua vaksin di sebuah klinik hospital awam untuk pemantauan teliti, dengan mengambil kira alahan yang dialami sebelum itu.

Vaksin-vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna, yang diluluskan untuk digunakan dalam program vaksinasi negara, menggunakan teknologi mRNA.

Ia berbeza berbanding vaksin Sinovac atau juga dikenali sebagai CoronaVac yang menggunakan partikel-partikel koronavirus yang sudah dinyahkan untuk merangsang perlindungan antibodi tubuh.

Dr Puthucheary berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Gerald Giam yang bertanya bagaimana individu-individu yang mengalami alahan selepas menerima dos pertama vaksin COVID-19 boleh mendapatkan status vaksinasi lengkap.

VAKSIN NOVAVAX

Menjawab satu lagi pertanyaan Encik Giam tentang kemajuan pada kelulusan kawal selia bagi vaksin Novavax, Dr Puthucheary berkata bahawa mereka yang mempunyai alahan terhadap vaksin mRNA boleh memilih untuk menunggu vaksin Novavax yang sudahpun diperolehi Kementerian Kesihatan (MOH) yang dijangka akan dihantar menjelang hujung tahun ini.

MOH dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sedang bekerja rapat dengan Novavax untuk memudahkan penyerahan kawal selia bagi vaksin itu, tambah beliau.

Pihak berkuasa Singapura sudahpun memeterai perjanjian untuk membeli vaksin Novavax bagi mendapatkan bekalan vaksin tersebut pada Januari tahun ini.

"Garis masa semakan bergantung kepada bekalan dan penyerahan data oleh syarikat itu kepada HSA. Walaupun kami menyedari keperluan untuk memudahkan akses tepat pada masanya, ia tidak seharusnya menjejas ketegasan pada penilaian mutu, keselamatan dan keberkesanan vaksin itu," terang beliau.

Menjawab pertanyaan daripada AP He Ting Ru (WP-Sengkang) tentang vaksinasi bagi pemegang pas lawatan jangka pendek, Dr Puthucheary berkata bahawa pemerintah sedang "menyemak bagaimana pemegang pas jangka pendek seperti mereka yang lebih mudah terjangkit dan mereka yang sudah lama berada di Singapura disebabkan sekatan pergerakan COVID-19, boleh menerima vaksin".

Buat masa ini, program vaksinasi negara meliputi rakyat dan penduduk tetap Singapura ataupun mereka yang menetap di sini bagi tempoh yang lama, kata beliau sambil menambah bahawa lebih banyak perincian akan diumumkan kelak.

Dr Puthucheary juga memberi kemas kini tentang kadar vaksinasi dalam kalangan warga senja semasa menjawab pertanyaan-pertanyaan lain. 79 peratus daripada mereka yang berusia 70 tahun dan ke atas sudahpun diberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Meskipun lebih ramai warga senja tampil untuk mendapatkan vaksin dengan sekitar 1,000 warga senja membuat pendaftaran bagi dos pertama mereka setiap hari, "kita perlu terus menggalak warga senja kita untuk mendapatkan vaksin kerana mereka dalam golongan yang paling mudah dijangkiti sakit teruk," kata beliau.

Golongan warga senja berusia 70 tahun dan ke atas yang belum membuat pendaftaran bagi janji temu vaksinasi adalah enam peratusan mata lebih banyak daripada populasi umum, dedah beliau.

"Kami akan terus mendampingi seramai mungkin warga senja dan menggalak mereka untuk mendapatkan vaksin," tambahnya.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan