Individu alami 4 daripada 10 tanda amaran ini dikenal pasti berisiko bunuh diri: Kajian IMH
Marah, tiada tujuan, cuai dan resah – jika seseorang menunjukkan empat atau lebih “tanda amaran akut” seperti ini, mereka mungkin berisiko membunuh diri, menurut satu kajian baharu oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) yang dikeluarkan pada Rabu (17 Sep).
Selain tanda amaran, kajian itu turut meneliti faktor-faktor dalam kehidupan seseorang yang dikaitkan dengan tindakan membunuh diri. (Gambar: iStock)
Tanda-tanda sedemikian muncul seminggu sebelum seseorang cuba untuk membunuh diri, menurut kajian yang dibiayai Kementerian Kesihatan (MOH) dan disebutkan sebagai yang pertama seumpamanya di Singapura.
Sebagai perbandingan, individu yang tidak berisiko membunuh diri biasanya hanya menunjukkan satu daripada 10 tanda amaran.
Kesemua 10 tanda amaran itu berdasarkan satu rangka kerja yang dibangunkan oleh American Association of Suicidology untuk menilai risiko bunuh diri.
Jika digabungkan, huruf pertama bagi setiap tanda amaran membentuk mnemonik “Is Path Warm”: "Ideation" (memikirkan atau bercakap tentang bunuh diri), "substance abuse" (penyalahgunaan bahan), "purposelessness" (tiada tujuan), "anxiety" (gelisah), "trapped" (rasa terperangkap), "hopelessness" (rasa putus asa), "withdrawal" (menjauhkan diri), "anger" (marah), "recklessness" (cuai) dan "mood changes" (perubahan emosi).
Kajian ini adalah yang pertama di Singapura yang menggunakan kaedah “autopsi psikologi”, di mana para penyelidik menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap kehidupan dan keadaan mental seseorang yang sudah pun meninggal dunia akibat bunuh diri.
Pemeriksaan tersebut melibatkan pengumpulan maklumat daripada individu-individu yang mengenali mereka, seperti anggota keluarga dan rakan-rakan, serta daripada laporan koroner.
Secara keseluruhan, kajian tersebut melibatkan 73 kes kematian akibat bunuh diri serta 73 kes kawalan yang tidak terkait dengan tindakan bunuh diri – dengan usia antara 11 hingga 76 tahun bagi kes bunuh diri dan 10 hingga 76 tahun bagi kumpulan kawalan.
Temu bual secara bersemuka dijalankan antara Mei 2021 dengan Februari 2024.
“Tujuannya adalah untuk mendapatkan gambaran yang jelas dan tepat tentang keadaan seseorang individu, personaliti dan kesihatan mereka bagi memahami dengan lebih baik apa yang mungkin membawa kepada kematian mereka serta memberikan pandangan yang relevan secara tempatan,” menurut IMH.
Berdasarkan data sementara yang disediakan oleh Samaritans of Singapore, terdapat 314 kematian akibat bunuh diri di Singapura pada 2024, turun daripada 434 pada 2023 dan 476 pada 2022.
Kajian itu penting kerana banyak penyelidikan berhubung tindakan membunuh diri yang sedia ada dilakukan dalam konteks Barat.
IMH menyatakan walaupun faktor risiko utama yang membawa kepada kematian akibat bunuh diri mungkin serupa dengan negara-negara Barat, cara seorang individu mengalami tekanan dan mendapatkan bantuan boleh menunjukkan perbezaan mengikut budaya dan konteks sosial.
Selain tanda amaran, kajian itu juga meneliti faktor-faktor dalam kehidupan seseorang yang dikaitkan dengan tindakan membunuh diri.
Sebagai contoh, kajian mendapati mereka yang meninggal dunia akibat bunuh diri menghadapi cabaran-cabaran seperti pengangguran, mempunyai tabiat buruk seperti merokok dan meminum arak, serta masalah hubungan.
Profesor Madya Mythily Subramaniam, penolong pengerusi lembaga perubatan (penyelidikan) IMH yang mengetuai kajian itu, berkata: “Bunuh diri tidak pernah berpunca daripada hanya satu faktor, tetapi ia merupakan ribut yang sempurna apabila semua cabaran bertembung dan menjadi terlalu berat.
“Ia adalah penting untuk memahami bahawa saat-saat yang terlalu membebankan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” tambah beliau.
FAKTOR YANG DIKAITKAN DENGAN BUNUH DIRI
Dengan membandingkan kes bunuh diri dengan kumpulan kawalan, para penyelidik mendapati perbezaan ketara dari segi gaya hidup, hubungan peribadi, latar belakang sosioekonomi dan akademik, serta faktor-faktor kesihatan mental dan fizikal.
Sebagai contoh, lebih separuh daripada mereka yang meninggal dunia akibat bunuh diri – 52.1 peratus – tidak mempunyai kelayakan pendidikan melebihi diploma daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE), berbanding hanya 13.7 peratus bagi mereka yang tidak berisiko.
Mereka juga lebih berkemungkinan menganggur dalam tahun sebelum kematian, iaitu 30.6 peratus daripada kes berbanding 5.5 peratus.
Selain itu, 38.5 peratus daripada mereka yang meninggal dunia akibat bunuh diri diketahui mengalami perubahan berkaitan penyertaan dalam aktiviti keagamaan dalam tempoh setahun sebelum kematian, berbanding 18 peratus daripada kumpulan kawalan. Perubahan tersebut termasuk peningkatan atau penurunan dari segi tahap penyertaan dalam aktiviti keagamaan.
Dari segi gaya hidup dan hubungan, dua kumpulan itu juga mempunyai perbezaan ketara, menurut kajian.
Mereka yang meninggal dunia akibat bunuh diri lebih berkemungkinan merokok, iaitu 22.8 peratus berbanding 11 peratus bagi kumpulan kawalan.
Hampir 24 peratus kes bunuh diri lebih berkemungkinan meminum minuman keras secara mingguan berbanding hanya 2.7 peratus dalam kumpulan kawalan.
IMH turut menekankan bahawa 70 peratus kes bunuh diri mempunyai hobi, minat atau terlibat dalam aktiviti lain, berbanding 91.8 peratus bagi kumpulan kawalan.
Mangsa bunuh diri juga lebih berkemungkinan mengalami masalah hubungan, seperti perpisahan, ancaman untuk berpisah atau ketidakstabilan dalam hubungan penting mereka.
Selain itu, hampir 12 peratus daripada mereka yang meninggal dunia akibat bunuh diri dilaporkan memuat naik catatan di media sosial yang kelihatan berbeza daripada kebiasaan, berbanding hanya 1.4 peratus bagi kumpulan kawalan.
KESIHATAN MENTAL
Kajian IMH juga mengesahkan penyelidikan terdahulu bahawa kebanyakan, tetapi bukan semua, kes bunuh diri berkemungkinan pernah didiagnos menghidap masalah mental.
Sekitar 71 peratus kes bunuh diri lebih berkemungkinan pernah didiagnos menghidap masalah kesihatan mental, berbanding 13.9 peratus bagi kumpulan kawalan.
Gangguan kemurungan teruk merupakan keadaan yang paling lazim dilaporkan (40 peratus kes), diikuti oleh skizofrenia dan gangguan psikotik lain (17.1 peratus), serta gangguan bipolar (8.6 peratus).
Gejala kemurungan sederhana hingga teruk juga lebih cenderung dilaporkan dalam kalangan mereka yang meninggal dunia akibat bunuh diri dalam bulan sebelum kematian – 54 peratus – berbanding 8.2 peratus bagi kumpulan kawalan.
“Faktor-faktor ini mungkin mencerminkan tahap keseriusan berhubung kebimbangan kesihatan mental mereka,” menurut IMH.
Para individu yang menamatkan hayat mereka juga lebih berkemungkinan melaporkan kesihatan yang lebih buruk berbanding tahun sebelumnya dan mengalami lebih banyak batasan dari segi fungsi harian. Mereka juga jauh lebih berkemungkinan mengalami insomnia dalam minggu-minggu sebelum kematian.
Orang tersayang kepada mereka yang meninggal dunia akibat bunuh diri berkongsi dalam kajian tersebut bahawa mereka sering tidak dapat membezakan antara tekanan biasa dengan keadaan kesihatan mental yang serius seperti kemurungan atau psikosis.
Akibatnya, rawatan sering tertangguh kerana keluarga lebih menumpukan tumpuan kepada usaha untuk mengurangkan tekanan, dan tidak menyedari keperluan individu berkenaan untuk mendapatkan atau meneruskan rawatan.
Dalam kalangan mereka yang kehilangan warga emas yang sedang dirawat untuk kesakitan atau keadaan lain, masalah kesihatan mental warga emas itu sering terlepas daripada pandangan.
Profesor Chong Siow Ann, perunding kanan bahagian penyelidikan dan jabatan psikosis IMH, berkata tanda amaran seperti pengunduran diri, rasa putus asa atau perubahan emosi kadangkala boleh bersifat kurang jelas atau disalah anggap sebagai tekanan biasa.
“Ia tidak selalunya jelas tetapi ini bermakna adanya peluang untuk mengesan perubahan jika orang di sekeliling mereka peka terhadap apa yang perlu diperhatikan,” kata beliau.
Di Mana Untuk Mendapatkan Bantuan:
Talian Bantuan Kesihatan Mental Kebangsaan: 1771
Hotline Samaritans of Singapore (SOS): 1767
Talian Bantuan Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019
Anda juga boleh mencari senarai talian bantuan antarabangsa di sini. Jika seseorang yang anda kenali berisiko serta-merta, hubungi khidmat kecemasan perubatan 24 jam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.