Skip to main content

Singapura

Indeks harga flat jualan semula HDB jatuh buat kali pertama dalam tempoh hampir 7 tahun

Indeks harga jualan semula bagi flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mencatat penurunan buat kali pertama dalam tempoh hampir tujuh tahun, susut 0.1 peratus pada suku pertama 2026.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Apr 2026 09:21AM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 02:52AM
SINGAPURA: Indeks harga jualan semula bagi flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mencatat penurunan buat kali pertama dalam tempoh hampir tujuh tahun, susut 0.1 peratus pada suku pertama 2026.

Ini menyusuli pertumbuhan harga yang lebih perlahan atau mendatar selama lima suku berturut-turut.

Kali terakhir indeks harga jualan semula mencatat penurunan adalah pada suku kedua 2019.

Jumlah urus niaga jualan semula juga merosot, menurut anggaran awal yang dikeluarkan HDB pada Rabu (1 Apr).

Setakat sehingga 30 Mac, sebanyak 6,179 transaksi jualan semula direkodkan pada suku pertama tahun ini, iaitu 4.5 peratus lebih rendah berbanding 6,473 urus niaga pada tempoh yang sama tahun lalu.

Harga jualan semula menunjukkan trend sederhana sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2025, harga flat jualan semula meningkat 2.9 peratus berbanding 9.7 peratus pada 2024, menandakan kadar pertumbuhan paling perlahan sejak 2019.

PENJUALAN BTO PADA JUN

HDB menyatakan ia akan menawarkan sekitar 6,900 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) bagi penjualan pada Jun 2026. Flat-flat tersebut terletak di Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Merah, Sembawang dan Woodlands.

Butiran lanjut mengenai projek-projek itu akan diumumkan semasa melancarkan penjualan tersebut.

Para pembeli flat perlu mempunyai surat Kelayakan Flat HDB (HFE) yang sah semasa membuat permohonan. HDB juga menasihatkan bakal pembeli supaya memohon lebih awal dan mengemukakan semua dokumen yang diperlukan selewat-lewatnya pada 15 Mei bagi memastikan mereka dapat memperoleh surat HFE tepat pada masanya.

HDB turut menyatakan bahawa prospek makroekonomi kini semakin tidak menentu, sambil menggesa isi rumah supaya berhemat semasa membeli hartanah dan mengambil pinjaman perumahan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita