Skip to main content

Singapura

Indahnya Ramadan: 13,400 keluarga Melayu/Islam dapat pek makanan lebih sihat

Sekitar 13,400 keluarga Melayu/Islam, termasuk isi rumah berpendapatan rendah di merata Singapura akan menerima barangan makanan lebih sihat dalam bulan Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih banyak keluarga Melayu/Islam diberi pek makanan lebih sihat dalam bulan Ramadan ini.

Sekitar 13,400 keluarga termasuk golongan berpendapatan rendah meraih manfaat daripada inisiatif tersebut.

Jumlah itu 3,000 lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang diusahakan bersama Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dengan pertubuhan masyarakat di bawah bidang tumpuan kelima (FA5) M³.

Usaha itu juga bertujuan untuk menggalakkan keluarga-keluarga Melayu/Islam untuk mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih sihat.

Setiap pek antara lain mengandungi barangan lebih sihat seperti garam rendah natrium, minyak masak yang lebih sihat, beras perang serta minuman yang lebih rendah kandungan gula dan lemak tepunya.

PEK MAKANAN SIHAT TERIMA MAKLUM BALAS POSITIF

Sebanyak 68 rakan kongsi masyarakat di bawah rangkaian JKJU telah bekerjasama dengan HPB untuk mengagihkan pek tersebut selama sebulan sejak 22 Februari lalu.

Sehingga 23 Mac 2025, lebih 12,900 keluarga sudah menerima pek berisi makanan runcit yang lebih sihat di kira-kira 70 lokasi, di merata Singapura.

Pada hujung minggu lalu pula, Menteri Negara Rahayu Mahzam menyertai acara pengagihan pek berisi makanan runcit lebih sihat kepada 200 penerima berbilang kaum dan agama di Kelab Masyarakat Gek Poh Ville semalam (23 Mac).

"Daripada maklum balas yang kita terima pada tahun-tahun yang lalu, kita melihat maklum balas yang positif. Mereka rasa yang adanya barangan yang diberikan, mereka lebih tahu tentang apakah bahan-bahan yang mungkin lebih sihat untuk mereka gunakan. Mereka tahu tentang pilihan yang mereka ada dan tentu sekali dalam bulan Ramadan sebegini, pemberian yang sebegitu amat dialu-alukan. Jadi, saya rasa ini adalah sesuatu yang positif. Saya harap dapat terus membina daya dalam usaha ini," ujar Cik Rahayu.

Selain itu, beliau turut berkongsi bahawa pihaknya juga telah bekerjasama dengan Caregivers Alliance Limited, Pasukan Peningkatan Perkhidmatan Strok (SSI) dan MSD Pharma (Singapura) untuk memberi ceramah kesihatan bagi menggalakkan penduduk menjalani gaya hidup lebih sihat.

Pengagihan tersebut akan diteruskan sehingga akhir bulan Mac ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/NA/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita