Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Income tetap akan sediakan insurans hemat untuk pelanggan bergaji rendah susuli perjanjian dengan Allianz, kata pengerusi NTUC Enterprise

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Income Insurance akan terus menyediakan pilihan insurans yang "dimampui dan boleh diakses" kepada para pelanggan yang kurang mendapat perlindungan insurans dan berpendapatan rendah, kata Pengerusi NTUC Enterprise Lim Boon Heng pada Khamis (25 Jul) di tengah-tengah kebimbangan mengenai penjualannya kepada Allianz dari Jerman.

"NTUC Enterprise juga akan terus menjadi pemegang saham aktif Income Insurance untuk memastikan ia memenuhi dan menepati matlamatnya dan memberikan komitmen sosial kepada pemegang polisinya," tambah Encik Lim.

Allianz dari Jerman mengumumkan pada 17 Julai bahawa ia merancang untuk membeli pegangan majoriti dalam Income Insurance bagi kira-kira AS$1.6 bilion.

Allianz akan menawarkan S$40.58 bagi setiap saham untuk nilai transaksi S$2.2 bilion bagi memperolehi 51 peratus saham dalam Income Insurance.

Buat masa ini NTUC Enterprise memegang 72.8 peratus saham dalam Income. Ia akan kekal sebagai pemegang saham yang besar jika penjualan itu diteruskan.

Dalam penjelasannya pada Khamis, Encik Lim berkata: "Income Insurance akan terus menyediakan pilihan insurans yang dimampui dan boleh diakses kepada pelanggan yang kurang mendapat perlindungan insurans dan berpendapatan rendah, melalui produk seperti polisi LUV dan SilverCare.

“Kedua, Income Insurance akan terus menyertai program insurans nasional dengan kerjasama Lembaga CPF.

"Ketiga, insurans Income juga akan terus menetapkan harga produknya pada harga yang sangat berdaya saing."

Beliau menambah bahawa membawa masuk "pemain global dengan insurans dan keupayaan pengurusan aset yang terbukti" akan membantu Income "bersaing dengan lebih berkesan".

"Penguasaan pasaran insurans hayat Income Insurance kurang daripada 10 peratus dalam tempoh 10 tahun yang lalu," kata Encik Lim.

"Tawaran Allianz untuk menjadi pemegang saham majoriti akan membolehkan Income Insurance menjadi lebih relevan dan berdaya tahan dalam jangka panjang, untuk berkhidmat kepada keluarga-keluarga di Singapura, dan memenuhi kewajipannya kepada pemegang polisinya.

"Memandangkan insurans mempunyai jangka masa yang panjang - orang ramai membeli polisi semasa mereka muda, dan bergantung kepada insurans apabila mereka tua - syarikat insurans yang kukuh, berkembang maju dan berdaya saing akan memastikan jangkaan mereka dipenuhi."

Income Insurance telah ditubuhkan pada 1970 - koperasi pertama yang ditubuhkan oleh gerakan buruh Singapura, dengan misi sosialnya untuk menyediakan insurans dimampui kepada pekerja dan keluarga mereka.

Sebelum ini dikenali sebagai NTUC Income Insurance Co-operative, ia kekal sebagai satu-satunya koperasi insurans di Singapura. Ia mempunyai kira-kira 2 juta pelanggan dan menawarkan insurans hayat, kesihatan dan am, serta produk berkaitan pelaburan.

Terdapat kebimbangan mengenai penjualan Income Insurance, dengan mantan Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Co-operative Tan Suee Chieh dan Duta Kelana Profesor Tommy Koh antara pengkritiknya.

Dalam catatan Facebooknya, Encik Tan menukil petikan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Group, Oliver Baete mengenai syarikat yang ingin membina "perniagaan yang sangat menguntungkan" dan berkata sebuah koperasi "bertentangan sama sekali" dengan apa yang diterangkan oleh Encik Baete.

"Kami mahu mencapai sebanyak mungkin jangkauan kepada rakyat Singapura, bukan setakat untuk memaksimumkan keuntungan tetapi untuk memaksimumkan impak sosial," kata Encik Tan, sambil menggesa orang ramai untuk bersuara bagi menentang perjanjian itu.

Profesor Koh pula menarik perhatian kepada asal usul Income Insurance dalam memenuhi misi sosial.

"Saya tidak fikir ia adalah idea yang baik untuk menjual Income. Ia diasaskan untuk memenuhi matlamat sosial dan keperluan sosial. Ia kekal relevan sehingga ke hari ini.

"Saya ingin menekankan bahawa Income dan FairPrice tidak boleh dijual," katanya, sambil merujuk kepada koperasi yang menjalankan rangkaian pasar raya terbesar di Singapura itu.

Dalam kenyataan medianya pada 17 Jul, NTUC Enterprise menyatakan bahawa Allianz merancang untuk mengekalkan penyertaan Income Insurance dalam program insurans nasional, dan untuk Income terus mengiktiraf kesatuan dan "menegakkan prinsip hubungan pengurusan buruh yang baik".
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan