Skip to main content

Singapura

Imran Rahim gugur tindakan guaman terhadap Charles Yeo berkaitan dakwaan salah laku seksual

Seorang peguam, Imran Rahim akan menggugurkan tindakan guaman terhadap rakan peguamnya dari Parti Reform, Charles Yeo, dengan kedua-dua pihak berkata bahawa mereka sudahpun menyelesaikan perkara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Imran Rahim gugur tindakan guaman terhadap Charles Yeo berkaitan dakwaan salah laku seksual

(Gambar: Toxicstatenarrativeinsg/Instagram)

Diterbitkan : 08 Sep 2020 09:17PM Dikemas Kini : 08 Sep 2020 09:38PM

SINGAPURA: Seorang peguam, Imran Rahim akan menggugurkan tindakan guaman terhadap rakan peguamnya dari Parti Reform, Charles Yeo, dengan kedua-dua pihak berkata bahawa mereka sudahpun menyelesaikan perkara itu. Encik Imran juga telah meletak jawatan di firma guamannya untuk memberi tumpuan kepada keluarga beliau.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Encik Imran berkata beliau bertemu dengan Encik Yeo dengan peguam masing-masing pada waktu makan tengah hari pada Selasa (8 Sep) dan "persetujuan dicapai bahawa (Encik Yeo) akan mengeluarkan kenyataan dan beliau tidak akan lagi menerbitkan kenyataan lanjut mengenai perkara itu. "

"Saya juga akan mengambil langkah untuk menghentikan prosiding guaman," tambahnya.

Encik Imran diwakili oleh pasukan yang diketuai oleh Abraham Vergis dari firma Providence Law Asia sementara Encik Yeo diwakili oleh peguam M Ravi.

Setelah Pilihan Raya Umum Julai lalu, Encik Yeo menerbitkan beberapa video dan catatan di Instagram yang menuduh Encik Imran melakukan kesalahan seksual, dengan berkata bahawa beliau dimaklumkan tentang hal itu oleh "lebih 10 orang awam".

Encik Imran kemudian menafikan dakwaan tersebut dan berkata beliau akan "mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk membersihkan namanya".

Tuntutan guaman difailkan terhadap Encik Yeo pada bulan itu di bawah Akta Perlindungan dari Gangguan dan Encik Ravi berkata bahawa tarikh perbicaraan di mahkamah ditetapkan pada hujung Ogos.

Namun pada Selasa, kedua-dua Encik Imran dan Encik Yeo menulis di akaun Instagram untuk masing-masing mengumumkan bahwa perkara tersebut sudah "diselesaikan secara damai". Tidak ada perincian lain didedahkan mengenai keputusan mereka.

Apabila dihubungi, Encik Yeo enggan mengulas mengenai perkara itu.

Dalam jawapannya kepada Mediacorp, Encik Imran berkata bahawa beliau akan mengundurkan diri dari firma guamannya, Tan Kok Quan Partnership (TKQP).

Pada Julai, TKQP mendedahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat tuduhan terhadap Encik Imran, tetapi belum menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai hasil siasatan.

Pada ketika itu, Encik Imran memutuskan untuk mengambil cuti kerja.

Beliau berkata pada Selasa: “Mengenai jawatan saya (di TKQP), saya sudah meletak jawatan untuk memberi tumpuan kepada keluarga saya.

“Beberapa minggu kebelakangan ini sukar bagi saya dan saya mahu berehat sebentar untuk menjaga keluarga dan diri saya.

"Saya gembira kerana perkara ini sudah selesai dan saya berharap dapat meneruskan kerjaya dan pelibatan saya dalam kerja-kerjas kemasyarakatan."

Di luar kerjayanya, Encik Imran adalah seorang sukarelawan masyarakat yang pernah disebut oleh menteri-menteri Kabinet dalam ucapan mereka. 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita