Skip to main content

Singapura

Imran Abid Mir, generasi keenam saudagar permaidani dan ketua Lotto Carpets Gallery

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Imran Abid Mir tidak mahu dikenali sebagai peniaga permaidani.

"Kami lebih suka memanggil diri kami sebagai saudagar permaidani," kata lelaki 38 tahun itu.

"Alasannya adalah mudah: Kami tidak berada di sini hanya untuk menjual permaidani kepada anda. Sama ada anda membeli atau tidak bukan perkara utama. Matlamat utama kami adalah untuk berkongsi pengetahuan kami," kata ketua Lotto Carpets Gallery.

Imran adalah saudagar permaidani generasi keenam yang mempunyai sejarah keluarga yang terjalin dengan permaidani. Walaupun keluarga datuk sebelah bapanya sudah berkecimpung dalam perniagaan permaidani selama beberapa generasi, bapanya, Abid Mir, memulakan Lotto Carpet secara sendirian.

Abid dibesarkan oleh ibunya, dalam keluarga ibu bapa tunggal, selepas bapanya berkahwin semula. Abid kemudian mengetahui tentang sejarah keluarganya yang berkecimpung alam perniagaan permaidani, hanya selepas dia menceburi perniagaan tersebut.

Abid, yang membesar di Lahore, Pakistan, memulakan perjalanannya secara sederhana.

Ketika usia remaja, dia bekerja mengangkat permaidani untuk menampung kehidupan, dengan berjalan lima hingga 10 kilometer untuk menghantar permaidani kepada pembeli. Dia meraih sekitar S$0.10 hingga S$0.50 bagi setiap perjalanan.

Lama kelamaan, dia mengumpul wang yang cukup untuk ke Karachi, di mana dia mempelajari segalanya berkaitan selok-belok permaidani dan perniagaan di kilang saudaranya. Kemudian, dia melibatkan diri untuk mendapatkan permaidani secara langsung daripada pengilang dan membekalkannya kepada pengeksport.
 
Related article image
Pada 1978, dia mengambil langkah yang berani untuk menubuhkan sebuah gudang di Bond Street yang terkenal di London, dan membekalkan permaidani di seluruh Asia Tenggara.

“Dia mula berkawan dengan peniaga dan pengumpul permaidani, yang memberitahunya bahawa Singapura adalah tempat yang bagus untuk perniagaan. Ramai kawan mereka melalui Singapura, jadi mengapa tidak menubuhkan galeri di sini?” kongsi Imran.

Disebabkan perbualan itu, Lotto Carpets Gallery dibuka di Singapura pada 1981.

Nama "Lotto" memberi penghormatan kepada jenis permaidani kegemaran Abid, Lotto Ushak, yang terkenal dengan corak arabnya yang rumit, yang diilhamkan oleh karya pelukis Itali Lorenzo Lotto.

Abid meninggal dunia secara tiba-tiba pada 2023. Selepas berehat buat seketika bagi keluarga mengatasi kehilangan itu, Imran kini menerajui perniagaan, dengan meneruskan komitmen Mirs untuk berkongsi minat mereka kepada seni dan sejarah pembuatan permaidani.

LEGASI TURUN-TEMURUN

Imran tidak pernah terfikir untuk mengikut jejak langkah bapanya.

"Ayah saya seorang yang sangat bijak. Selama 16 tahun pertama dalam hidup saya, dia memberitahu saya, anak, kamu boleh melakukan apa sahaja yang kamu mahu dalam hidup, tetapi kamu tidak boleh menjadi penjual permaidani,” kata Imran, anak sulung daripada tiga beradik itu, bercerita dengan penuh gembira. Adik dan adik Imran kini membantu perniagaan itu secara sambilan.
Related article image
(Gambar: CNA/Kelvin Chia)
Di dinding galeri terletak di Depot Lane itu, digantung permaidani paling berharga Lotto, yang berusia sekurang-kurangnya 150 tahun. Ia termasuk Neriz Afshar Parsi abad ke-19, permaidani Kashan Iran sutera tulen abad ke-19 dan permaidani Karabagh Kaukasia dari akhir abad ke-17.

Permaidani terakhir adalah sangat jarang dan sering dicari pengumpul. Ia dianggarkan berharga antara AS$200,000 hingga AS$500,000 (S$267,556 hingga S$668,891), dedah syarikat itu.

Lotto Carpets mengkhususkan dalam memilih permaidani tradisional simpul tangan. Ia juga mempunyai koleksi permaidani antik dibuat sejak 200 hingga 300 tahun lalu, yang dihasilkan oleh pembuat permaidani kumpulan etnik. Permaidaninya diperoleh dari seluruh dunia, termasuk India, China, Afghanistan, Pakistan dan Turki.

Imran menghabiskan kebanyakan zaman mudanya membantu di bekas galeri Lotto di Dempsey, namun tidak pernah dibenarkan menjual permaidani.

Walau bagaimanapun, bapanya mempunyai pendekatan yang tidak konvensional untuk mengajarnya tentang perniagaan dan kepimpinan. Daripada bermula di kedai keluarga, Imran dihantar bekerja di ladang bapanya di Pakistan.

"Dia mahu saya meluangkan sedikit masa di sana dan melihat sama ada saya boleh raih sesuatu, kerana berurusan dengan orang di Pakistan agak sukar," kata Imran.

Berdekatan ladang itu, salah seorang rakan bapanya sejak kecil secara kebetulan memiliki sebuah kilang permaidani, di mana Imran meraih pengalaman dalam industri permaidani.
Related article image
PERMAIDANI SATU KESENIAN

Apabila dia pulang ke Singapura untuk bekerja di galeri itu, dia bermula sebagai penjual dan melakukan tugasnya dengan "sangat baik", di mana dia meraih komisen yang besar.

“Perlahan-lahan, saya mula terfikir, meskipun menjadi penjual yang baik adalah penting, apakah yang saya dapat daripadanya? Jadi saya mula memberi tumpuan kepada membina hubungan dan mendidik pelanggan.”

Kini, Imran berkata dia adalah "ahli perniagaan yang teruk".

“Saya seorang pendidik yang sangat baik. Saya boleh memberitahu anda semua tentang permaidani, bagaimana ia dihasilkan, apa yang boleh dikumpul, apa yang tidak boleh dikumpul, pembekal, permintaan, segala-galanya. Tetapi saya tidak boleh menjualnya. Saya sangat teruk."

NILAI PERMAIDANI ANTIK

Imran percaya bahawa minat kepada permaidani antik semakin meningkat. Khususnya, permaidani yang dijaga dengan baik dari kawasan yang menghasilkan permaidani tradisional seperti Iran, Turki, Caucasus, Asia Tengah, China Barat dan India, sangat dicari.

Permaidani Parsi dari bandar seperti Isfahan, Qom, Nain, Kashan dan Tabriz dihargai kerana reka bentuk dan ketukangan yang menarik.

Meskipun permaidani tenunan mempunyai potensi sebagai pelaburan alternatif, Imran memberi nasihat bahawa aspek yang membuat permaidani layak sebagai pelaburan bukan hanya terletak pada nilainya, tetapi daya tarikan emosinya.
Related article image
(Gambar: CNA/Kelvin Chia)
'MENYULAM' MAKNA DALAM PERNIAGAAN

Selain mencari permaidani buatan tangan khusus, Lotto Carpets menawarkan perkhidmatan penyesuaian yang boleh mengambil masa "dari setahun hingga tiga tahun untuk dihasilkan," kongsi Imran.

Di samping itu, syarikat tersebut menawarkan perkhidmatan pembaikan oleh pakar, yang termasuk pencucian semula jadi dan pembaikan untuk memastikan pemeliharaan mutu permaidani.

Sebagai sebuah perniagaan, Imran berharap ia dapat meneruskan dedikasi bapanya kepada kedermawanan.

Selama bertahun-tahun, Lotto Carpets mengadakan sejumlah lelongan amal, mengumpul dana untuk benefisiari seperti Persatuan Sindrom Down dan Wanita PBB, serta pelbagai masyarakat di Asia Selatan.

Inisiatif tersebut "mengingatkan saya, dan bapa saya sebelum saya, bagaimana kita perlu berkelakuan, selain menjadi peniaga yang hebat, cerdik dan bijak. Kita juga manusia,” tambah Imran.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita