Impian pembantu rumah Indonesia tunai umrah jadi kenyataan, kos dibiayai majikan yang anggap mereka keluarga
SINGAPURA: Sudah sekian lama, Cik Eti Maini, 34 tahun, mendambakan peluang untuk menunaikan ibadah umrah.
Akhirnya, impian pembantu rumah dari Indonesia itu menjadi kenyataan.
Cik Eti merupakan antara 30 pembantu rumah Indonesia yang bertolak ke Tanah Suci pada Khamis, 28 November.
Perjalanan umrah itu diuruskan oleh POS TKI Travel and Tours Pte Ltd.
Pakej umrah selama 10 hari itu, ditawarkan dengan harga S$3,290 termasuk visa, penerbangan, penginapan dan barangan keperluan umrah lain.
Pakej serupa yang ditawarkan syarikat itu biasanya berharga SS$4,850.
BIAYA UMRAH SENDIRI
Perjalanan Cik Eti ke Tanah Suci lebih istimewa kerana ditanggung sepenuhnya dengan hasil keringatnya sendiri.
"Ini pertama kali saya ke umrah jadi bahagia sekali. Soalnya pakej ini ada promosi dan umrah itu salah satu daripada impian saya. Saya cuba berbelanja dengan sedikit dan dalam empat bulan, saya dapat mengumpul wang untuk umrah ini," kongsi Cik Eti kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Meskipun majikannya bukan seorang Muslim, Cik Eti berkata majikannya selama 13 tahun itu sangat menyokong keputusannya untuk menunaikan umrah dan turut memberikan wang belanja kepadanya.
"Beliau sangat mendukung keputusan saya. Sebagai seorang wanita yang baik, beliau menghormati setiap agama. Beliau memberi saya duit belanja dan berpesan agar saya menjaga diri, berseronok, dan menikmati perjalanan ini," kata Cik Eti.
SEDIAKAN JADUAL UNTUK KERJA RUMAH SEMENTARA KE UMRAH
Memandangkan tidak ada orang di rumah untuk membuat kerja rumah dan menjaga anak, Cik Eti turut menyediakan jadual untuk keluarga majikannya itu.
"Ini agak sukar untuk mereka kerana soalnya, semua yang saya lakukan itu kini tiada yang lakukannya. Saya buat jadual misalnya, untuk hari Isnin, saya membiarkan anak-anak membantu pekerjaan di rumah. Saya buat jadual hari Isnin untuk anak pertama vakum rumah. Anak kedua pula mengambil makanan dari peti sejuk. Anak yang paling kecil pula akan membantu cuci baju tetapi bukan setiap hari, cuma dua kali seminggu," kongsi Cik Eti.
MAJIKAN BUKAN ISLAM TAJA SEMUA KOS UMRAH, IBARAT KELUARGA
Walaupun Cik Sumiyati baru sahaja tamat kontraknya pada Ogos lalu, beliau telah bekerja bersama majikannya, Cik Hack Alison Kyeo, selama 40 tahun.
Meskipun kontraknya berakhir, Cik Hack tetap membiayai kos umrah untuk pembantu rumahnya yang telah menjadi sebahagian daripada keluarganya.
"Oleh kerana beliau telah bersama kami selama 40 tahun, kami sudah seperti keluarga. Jadi, apabila kami dianggap keluarga, tidak ada persoalan. Saya hanya mahu Yati mendapat apa yang beliau inginkan selepas 40 tahun berkhidmat," kata Cik Hack.
"Kami juga berfikir tentang apa yang boleh kami lakukan untuknya, dan apabila Yati menyebut umrah, saya rasa itu idea yang baik. Beliau seperti keluarga kami, jadi ia tidak menjadi persoalan," tambahnya.
Cik Sumiyati meluahkan rasa syukur dan gembira dengan peluang untuk menunaikan umrah itu.
"Saya sangat berterima kasih kerana beliau membiayai segala-galanya untuk saya, dari awal hingga saya berjaya seperti ini. Semuanya beliau tanggung," ujar Cik Sumiyati.
Cik Hack pula memuji usaha tersebut dan menekankan pentingnya hubungan yang erat antara majikan dan pembantu rumah.
"Lebih banyak yang perlu dilakukan, lebih banyak sokongan dan kesedaran. Setiap wanita di sini telah memberikan kehidupan mereka untuk orang lain, jadi sekarang adalah masa untuk kami memberi sokongan kepada mereka dalam apa jua cara. Mereka sudah seperti keluarga, jadi tiada persoalan lagi," jelas Cik Hack.
TERHARU TERIMA HADIAH UMRAH DITAJA MAJIKAN
Cik Siti Chotijah, 38 tahun, pula menyifatkan perjalanan umrahnya sebagai "hadiah" yang sangat bermakna apabila kos pakej umrah tersebut ditaja sepenuhnya oleh majikannya.
"Saya kira ini memang hadiah sebab sebelum ini, majikan saya pun sudah menguruskan keberangkatan ibu bapa saya di kampung Indonesia untuk pergi ke umrah. Semua mereka yang uruskan," kata beliau kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Cik Chotijah, yang terharu dengan sokongan majikannya selama ini, turut berkongsi usaha mereka untuk mendaftarkan beliau bagi pakej umrah sebelum ini.
Beliau menceritakan bahawa majikannya selama 15 tahun itu pernah berusaha untuk mendaftarkan beliau dalam pakej umrah lain, namun gagal akibat beberapa halangan.
"Memang selama ini, majikan memang sudah mendaftar di mana-mana agensi pelancongan, tetapi memang susah untuk uruskan orang Indonesia. Sedangkan umur saya belum 45 tahun. Jadi susah mereka ingin uruskan visa semua," ujar Cik Chotijah.
MAJIKAN BUAT PENYESUAIAN DI RUMAH
Menurutnya, majikannya memberi sokongan penuh kepada perjalanan umrah Cik Chotijah, malah sanggup membuat penyesuaian di rumah semasa beliau menunaikan ibadah tersebut.
Ini termasuk mengambil cuti untuk bergilir-gilir menjaga anak-anak bagi memastikan segala urusan di rumah berjalan lancar.
"Penting untuk kita tidak menyimpan apa-apa rahsia dengan majikan. Mereka sudah anggap kita seperti keluarga, jadi apa pun perlu kita kongsi dengan mereka. Begitu juga majikan, jika ada apa-apa, mereka juga akan berkongsi dengan kita. Dengan cara ini, kita boleh bekerjasama lebih lama dan saling mempercayai, dan kita juga boleh terus bekerja dengan majikan dalam jangka masa panjang," ujar beliau.
PERMINTAAN BAGI PAKEJ UMRAH BUAT PEKERJA HIJRAHAN INDONESIA
Pengarah Urusan POS TKI Travel & Tours, Encik Mohamed Anwar, berkongsi bahawa pihaknya sering menerima permintaan daripada pekerja hijrahan Indonesia untuk pakej umrah yang khusus disediakan untuk mereka.
"Kami mendapat permintaan daripada para pembantu rumah Indonesia sendiri. Mereka berkata, 'Pak Anwar, kenapa tidak membuka pakej umrah untuk kami pembantu rumah?' Jadi, kenapa tidak? Saya pun membuat sedikit kajian bagaimana untuk melaksanakannya dengan kedutaan dan perkara ini tidak mustahil. Alhamdulillah, pada 28 November, keberangkatan yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana pihak adalah satu motivasi untuk kami, dan kami mendapat sambutan yang baik daripada para pembantu rumah dan majikan mereka juga," kata Encik Anwar kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Sebagai langkah permulaan, POS TKI Travel & Tours mengambil 30 jemaah untuk program umrah khas tersebut.
"Kami ingin melihat bagaimana prosesnya sebab ini bukan untuk jemaah tempatan, tetapi untuk para pembantu rumah Indonesia. Jadi, apabila semuanya berjalan lancar, Insya-Allah tahun hadapan mungkin lebih besar kerana sudah ada permintaan daripada majikan dan juga para pembantu rumah Indonesia untuk keberangkatan tahun hadapan," tambah Encik Anwar.
Inisiatif baru itu juga menonjolkan hubungan kukuh antara majikan dan pembantu rumah, yang sering dipandang remeh dalam masyarakat.
"Kami berusaha untuk menghapuskan stereotaip bahawa majikan tidak mengambil peduli tentang pembantu rumah mereka. Ramai di antara mereka yang berangkat hari ini adalah hasil ihsan, sumbangan, atau tajaan daripada majikan mereka sendiri. Ini adalah pendekatan yang baik, yang sering kita uar uarkan di radio, supaya majikan lebih bersifat ihsan terhadap pembantu rumah mereka. Hari ini, ini menjadi bukti bahawa hubungan kekeluargaan antara majikan dan pembantu rumah memang wujud di Singapura," kata Encik Anwar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.