Impian ke SG jadi kenyataan buat 15 murid dari Bandung, Indonesia
SINGAPURA: Seramai 15 murid dari Sekolah Dasar Negeri (SDN) Giriharja di Bandung, Indonesia, buat julung kalinya menjejakkan kaki ke Singapura — satu pengalaman yang sebelum ini dianggap mustahil memandangkan mereka tidak pernah memiliki pasport.
Namun, impian itu akhirnya menjadi kenyataan hasil tajaan penuh daripada dua firma guaman, susulan hubungan persahabatan yang terjalin dengan murid-murid Sekolah Rendah Princess Elizabeth (PEPS) semasa lawatan pelajar Singapura ke Bandung tahun lalu.
Lawatan selama lima hari dari 27 hingga 31 Mei ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk mengenali budaya serta sistem pendidikan Singapura, malah turut mengeratkan hubungan rentas sempadan dan budaya antara kedua-dua negara.
RAYHAN ANTARA MURID DITAJA LAWAT SG BUAT PERTAMA KALI
Antara murid Indonesia yang menerima manfaat daripada lawatan itu ialah Rayhan Djauhar Al Hafizh, 11 tahun.
Rayhan menyifatkan peluang ke Singapura sebagai pengalaman yang amat berharga, dan melahirkan penghargaan kepada pihak sekolah serta para penaja atas kesempatan yang diberikan untuk belajar dan meneroka budaya luar negara.
Sepanjang lawatan, beliau berpeluang melawat pelbagai tempat ikonik di Singapura serta menyertai aktiviti pembelajaran yang diatur khas untuk mereka.
Kesemua kos lawatan itu ditaja sepenuhnya oleh firma guaman Rajah & Tann Singapore LLP dan rakan kongsi mereka dari Indonesia, Assegaf Hamzah & Partners.
"Saya berasa senang dan bahagia dapat berkunjung ke Singapura untuk berwisata dan juga belajar. Dan saya juga berwisata ke tempat yang ada di Singapura. Salah satunya Jewel Rain Vortex, Singapore Flyer, Merlion Park dan juga Spectra.
"Saya belajar ketertiban, kesopanan, dan keramahan. Contohnya saat membuang sampah 'mengantri' atau bergilir-gilir, tertib semasa makan dan mereka juga sangat sopan dan baik," kongsi Rayhan Djauhar kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Rayhan turut memuji pendekatan guru-guru di Singapura yang mesra dan mudah difahami, serta rakan-rakan baharunya yang sentiasa saling membantu.
"Gurunya sangat baik dan penjelasannya juga mudah difahami. Teman-teman juga saling membantu. Saya membantu mereka dan mereka juga membantu saya dan saya juga boleh berkongsi cerita dengan mereka," tambahnya.
INTERAKSI DENGAN TERBUKA, IKHLAS
Bagi murid Singapura, Nur Qurratu’ain Abdul Khabir, peluang untuk bertemu semula dan menjadi hos kepada rakan-rakan dari Indonesia merupakan pengalaman yang amat bermakna.
"Saya berasa amat gembira apabila dapat berjumpa dengan rakan-rakan dari SDN Giriharja Bandung, Indonesia. Pengalaman yang paling bermakna bagi saya adalah apabila mereka berinteraksi dengan kami dengan penuh keterbukaan dan keikhlasan. Walaupun kita berasal daripada latar belakang dan bangsa berbeza, hal itu benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam yang saya tidak akan lupakan," kongsi Qurratu’ain, 12 tahun.
Qurratu’ain turut memperkenalkan warisan makanan tempatan kepada mereka melalui lawatan ke pusat penjaja yang diiktiraf UNESCO.
"Pengalaman belajar dan berinteraksi dengan mereka telah mengajar saya perkara berharga yang tidak terdapat dalam buku teks. Antara nilai yang saya telah pelajari ialah kesyukuran dan kesederhanaan. Sebagai contoh, mereka menghargai apa yang ada walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Saya juga kagum melihat semangat gotong-royong mereka yang ditunjukkan," tambahnya.
IKUTI KELAS BAHASA MELAYU
Sepanjang lawatan ke Sekolah Rendah Princess Elizabeth (PEPS), murid-murid SDN Giriharja turut berpeluang mengikuti beberapa kelas yang dijalankan, termasuk kelas Bahasa Melayu.
"Apa yang saya tahu, mereka juga belajar peribahasa. Jadi pelajaran hari ini pada saya, tidak asing bagi murid-murid Indonesia itu. Jadi, jika mereka belajar peribahasa bersama murid-murid kita di Singapura ini, mereka dapat melihat kita juga ada peribahasa dan mungkin mereka boleh bandingkan, sama ada, ada persamaan dan sebagainya," kongsi guru bahasa Melayu di sekolah itu, Cik Hasimah Hasim kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Menurut beliau, pelajar Indonesia juga berpeluang memahami bagaimana Bahasa Melayu diajar di Singapura.
"Mereka boleh pelajari bahawa pelajar-pelajar di Singapura belajar bahasa Melayu dan kita gunakan sebutan baku. Bukan sekadar belajar peribahasa dan maksud sahaja, pelajar juga tahu menggunakan peribahasa dalam pembentukan ayat dan dan seterusnya," tambah beliau.
Cik Hasimah juga berbesar hati dengan pengalaman untuk berkongsi pelajaran dengan murid-murid itu.
"Saya berbesar hati dan bertuah dapat berkongsi pelajaran pada hari ini dengan pelajar-pelajar Indonesia. Saya rasa murid-murid saya juga mempunyai perasaan yang sama dengan saya. Pengalaman yang sangat berharga bagi kami kerana kami diberi peluang untuk bergaul dan belajar bersama mereka," ujar beliau.
Beliau turut menyentuh potensi bahasa sebagai jambatan penghubung antara kedua-dua negara.
"Apa yang paling menyentuh hati saya ialah penggunaan bahasa Melayu antara dua negara. Mungkin ada perbezaan dari segi loghat dan istilah, tetapi tetap boleh menjadi jambatan antara kedua-duanya. Jadi, saya percaya bahasa dan budaya dapat mengeratkan hubungan generasi muda akan datang," tambahnya.
3 KAKITANGAN SEKOLAH TURUT DITAJA SEPENUHNYA KE SG
Selain para murid, tiga kakitangan SDN Giriharja, termasuk guru mereka Cik Anita Hartono, turut menerima tajaan penuh ke Singapura.
"Ini merupakan pengalaman yang sangat berharga, luar biasa dan juga bermakna, terutama kepada 'siswa-siswi' kami di mana mereka mengenal lebih langsung sejarah dan sistem pendidikannya, bahkan mereka boleh mengikuti langsung pembelajaran yang ada di sekolah ini," kongsi Cik Anita kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap pendekatan pendidikan di Singapura, khususnya di Sekolah Rendah Princess Elizabeth (PEPS).
"Kami berasa terkesan dengan pendidikan yang ada di Singapura ini, terutama di Sekolah Rendah Princess Elizabeth ini, memberi penekanan kepada pembentukan watak pelajar. Para pelajar sudah dibiasakan dengan disiplin yang tertanam dalam diri mereka sejak kecil, sambil diberi ruang untuk meneroka ilmu pengetahuan secara aktif,” jelas beliau.
Sepanjang lawatan itu juga, terdapat pertukaran pandangan mengenai sistem pendidikan masing-masing.
Cik Anita turut berkongsi tentang ciri pendidikan Singapura yang menarik perhatiannya.
"Pendidikan kami di Indonesia lebih menekankan kepada keberagaman tentang kebudayaan, tradisi dan adat istiadat. Selain itu, ia juga menekankan kepada sikap saling menghargai dan menghormati sesama lain," dedah Cik Anita.
"Pendidikan di sini (Singapura) juga, saya melihat seorang pendidik menciptakan lingkungan pembelajaran yang menyenangkan dan juga sangat interaktif. Kami juga sangat terkesan dengan program-program pembelajaran yang inovatif, di mana setiap kegiatan itu dirancang untuk mendorong kreativiti anak murid dan juga kolaborasi di antara 'siswa'," tambah beliau.
MURID-MURID SEKOLAH RENDAH PRINCESS ELIZABETH DERMAKAN ALAT TULIS
"Kita telah memberikan mereka alat tulis supaya mereka boleh belajar dengan selesa dan mudah. Kita juga memberikan mereka alat tulis itu kerana di Singapura, kita ada banyak kemudahan yang kita mahu mereka rasa juga. Saya mahu mereka juga berusaha untuk mencapai cita-cita mereka dengan baik," kongsi murid, Nur Humaira Eiliyah Mohamad Riduan, 12 tahun.
Nur Humaira merupakan antara peserta lawatan ke SDN Giriharja pada September lalu, di bawah program Trips for International Experience (TIE).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.