Impian berkelah bersama keluarga besar tercapai jua bagi pesakit barah tahap 4
(Gambar: NCIS)
SINGAPURA: Setiap hujung minggu, pantai-pantai merata Singapura pastinya penuh dengan keluarga-keluarga dan kumpulan teman-teman yang meluangkan masa bersama untuk beriadah.
Namun bagi Encik Haris Husain, 76 tahun, kegiatan sebegitu hanya dapat menjadi suatu impian buat beliau.
Ini kerana beliau sukar dibawa tempat ramai orang kerana menghidapi barah pundi kencing sejak Julai 2021 dan di bawah penjagaan rawatan khas di Institut Barah Universiti Nasional Singapura (NCIS).
Meskipun sudah menjalani pembedahan, keadaan Encik Haris masih belum bertambah baik, malah barah yang dihidapi beliau kini sudah mencecah tahap 4.
Mujur bagi Encik Haris, impian untuk meluangkan masa, berkelah bersama keluarganya akhirnya tercapai atas satu usaha murni pasukan 'Dream Makers' daripada NCIS.
Pasukan 'Dream Makers' itu yang melibatkan sekitar 20 relawan dan 10 kakitangan menganjurkan satu sesi 'glamping' di Chalet Heritage di Pasir Ris buat Encik Haris bersama anak-anaknya, 16 orang cucunya serta saudara-mara lain pada Sabtu (7 Dis).
Sate, otak-otak dan kepak ayam - kesemuanya makanan kegemaran Encik Haris juga tersedia bagi makan malam berbabeku itu.
Antara kegiatan lain yang dirancang termasuk sesi mengambil gambar bersama anggota keluarga Encik Haris.
Meskipun cuaca hujan, ia tidak menghambat mereka luangkan waktu berharga bersama.
Anak Encik Haris, Cik Suzanah Haris berkata bahawa perjumpaan keluarga itu sangat bermakna buat ayahnya terutama sekali kerana pandemik COVID-19 menghambat rancangan untuk keluarga besar itu.
Cik Suzanah berkata: "Ayah saya sangat menanti-nantikan saat ini, untuk berjumpa dengan semua anggota keluarga, terutama sekali cucu-cucunya. Rancangan ini mula tercetus sekitar empat bulan lalu dan saya sangat menghargai usaha NCIS 'Dream Makers' untuk merealisasikan impian ayah saya."
Beliau menambah bahawa ayahnya sangat gembira untuk menikmati pengalaman 'glamping' itu.
'NCIS DREAM MAKERS' PENUHI IMPIAN 11 PESAKIT BARAH TAHAP AKHIR
Impian Encik Haris yang tercapai itu merupakan yang impian pesakit barah tahap lanjut dewasa yang ke-11 dapat ditunaikan pihak NCIS Dream Makers.
Sejak 2018, kumpulan itu berusaha untuk melaksanakan sehingga tiga projek setiap tahun.
Menurut mereka, penjagaan para pesakit barah di NCIS bukan sekadar untuk menawarkan penjagaan klinikal yang terbaik tetapi penjagaan menjangkaui wad-wad hospital juga diutamakan.
Kakitangannya juga peka akan keluhan dan rintihan para pesakit serta impian mereka.
Peneraju NCIS 'Dream Makers' yang juga Konsultan Jabatan Hematologi - Onkologi NCIS, Dr Chong Wan Qin berkata: "Kita berharap untuk menunaikan impian dan hajat para pesakit di bawah penjagaan kami yang menghidapi barah tahap akhir agar mereka akan sentiasa mengingati bahawa ada kehidupan di luar penyakit barah. Kita juga ingin menambahkan keceriaan untuk mereka dalam perjuangan melawan barah."
Setiap tahun, NCIS menjaga sekitar 600 pesakit dewasa yang menghidapi barah tahap akhir dan menurut institusi kesihatan itu, jumlah tersebut semakin meningkat saban tahun.
Pihak NCIS juga menjelaskan bahawa impian dan harapan ramai pesakit di bawah jagaan mereka tidak dapat ditunaikan dan itu menjadi lebih penting lebih-lebih lagi bagi para pesakit yang menghidapi barah tahap akhir.
Pada Oktober 2021, NCIS 'Dream Makers' diiktiraf dengan Anugerah Inisiatif Penglibatan Pesakit Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.