Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IMH lancar kajian seluruh negara, nilai keadaan kesihatan mental golongan muda di Singapura

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Institut Kesihatan Mental (IMH) melancarkan kajian di seluruh negara untuk mengenal pasti isu-isu khusus, cabaran dan masalah psikologi biasa yang menjejas golongan muda di Singapura.

Kajian Kesihatan Mental Belia Kebangsaan itu bertujuan menetapkan kelaziman keadaan kesihatan mental utama dalam kalangan golongan muda di Singapura, mengenal pasti faktor peribadi dan sosial yang berkaitan dengan keadaan itu serta tahap keperluan rawatan yang tidak dipenuhi.

Penyelidik IMH juga akan mengkaji bagaimana golongan muda berumur 15 hingga 35 mengalami peralihan besar dalam kehidupan, seperti menyertai pasaran tenaga kerja selepas melalui pelbagai peringkat pendidikan serta memulakan keluarga, kata institut itu dalam satu kenyataan media pada Selasa (27 Sep).

"Kajian ini adalah untuk menilai kesan ke atas kesihatan mental dan mengenal pasti risiko dan faktor perlindungan akibat kesihatan mental yang buruk dan unik pada peringkat ini," kata IMH.

Kira-kira 2,600 orang berusia 15 hingga 35 tahun akan ditemu bual bagi kajian itu.

Responden dikehendaki melengkapkan satu set soalan yang akan mengumpul maklumat mengenai latar belakang sosio-demografi mereka dan maklumat berkaitan dengan kesihatan mental, perasaan, pengalaman di sekolah atau tempat kerja, sokongan sosial dan tingkah laku berkaitan gaya hidup.

Kajian itu juga akan memberi tumpuan kepada pelbagai "aspek dan tingkah laku belia" yang dikaitkan dengan kesihatan dan kesejahteraan mental seperti buli, mencederakan diri sendiri, mengambil minuman keras, merokok, penggunaan media sosial, ketagihan telefon pintar, keletihan, tekanan akademik, insomnia, daya tahan, imej tubuh dan harga diri.

Ia juga akan mengumpulkan pandangan tentang tahap puas hati golongan muda dengan misalnya persekitaran hidup mereka, tahap kepercayaan terhadap Pemerintah, rasa selamat di kawasan kejiranan mereka dan pendampingan sosial.

Proses pengumpulan data bagi kajian itu akan bermula pada Oktober  hingga Jun tahun depan. Data itu akan dianalisis dan hasilnya dijangka siap pada penghujung 2024, kata IMH.

Kajian Kesihatan Mental Singapura pada 2010 dan 2016 tertumpu sebahagian besarnya pada penduduk dewasa di Singapura.

Penemuan daripada kedua-dua kajian menunjukkan golongan muda berumur 18 hingga 34 tahun mempunyai kadar gangguan mental tertinggi dan lebih terdedah kepada gangguan mood dan rasa bimbang, kata Dr Mythily Subramaniam, penolong pengerusi lembaga perubatan penyelidikan di IMH.

Sekitar 21.6 peratus belia di Singapura juga pernah mengalami sekurang-kurangnya satu keadaan kesihatan mental, tambahnya.

Kajian kesihatan mental belia akan memberi peluang kepada penyelidik untuk campur tangan lebih awal bagi membantu penduduk dan mereka bentuk langkah menggalak kesihatan mental yang sesuai.

"Kajian ini juga akan membolehkan kami memahami dengan lebih baik bagaimana golongan muda mendapatkan bantuan, yang mungkin berbeza daripada penduduk umum, untuk memperuntukkan sumber dengan lebih baik," kata Dr Mythily.

"Memandangkan ini adalah kali pertama kami menjalankan kajian berskala besar ke atas golongan penduduk ini, data itu juga akan menjadi asas untuk menjejak trend masa depan dan perubahan dalam kesihatan mental belia di Singapura."

Kajian itu dibiayai Kementerian Kesihatan dan diketuai Dr Swapna Verma, pengerusi lembaga perubatan di IMH dan Dr Mythily. Mereka akan bekerjasama dengan perkhidmatan nasional bagi mendampingi dan penilaian berkaitan kesihatan mental belia CHAT dan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura.

Kajian itu akan melihat faktor risiko dan faktor perlindungan, seperti daya tahan dan bantuan sosial bagi mereka berusia 15 hingga 35 tahun.

Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan