Skip to main content

Singapura

Imej Lee Kuan Yew dijana AI dalam video muzik Jack Neo dinilai sebagai 'bermaruah' oleh MCCY

Anggaran Waktu Membaca:
Imej Lee Kuan Yew dijana AI dalam video muzik Jack Neo dinilai sebagai 'bermaruah' oleh MCCY

Imej Lee Kuan Yew yang dijana AI dalam video muzik Jack Neo. (Tangkapan skrin: Instagram/jackneock)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 28 Aug 2025 09:55PM Dikemas Kini : 29 Aug 2025 03:23PM
SINGAPURA: Penggunaan imej Perdana Menteri pengasas Lee Kuan Yew yang dijana kecerdasan buatan (AI) oleh pembuat filem tempatan Jack Neo dinilai sebagai "bermaruah" oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Encik Neo memuat naik video muzik bagi lagu yang bertajuk "We Are Singapore" di media sosial pada 18 Ogos lalu.

Imej mendiang Encik Lee yang dijana oleh AI muncul di penghujung video muzik itu, dengan beliau berkata dalam campuran bahasa Mandarin dan Inggeris: "Saya mengucapkan selamat ulang tahun ke-60 kepada Singapura. Selamat ulang tahun."

Dalam kapsyen yang mengiringi video tersebut, Encik Neo menukil ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan Perdana Menteri Lawrence Wong.

Beliau menulis dalam bahasa Mandarin: "Ucapan oleh PM Wong semalam mengingatkan kita betapa penting perpaduan dalam kalangan rakyat Singapura.

"Dengan perasaan ini, saya ingin berkongsi dengan anda lagu SG60 yang lewat diterbitkan."

Video muzik itu mengundang reaksi bercampur-campur di media sosial, dengan ada yang memuji liriknya manakala ada yang mengkritik penggunaan AI.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, MCCY menyatakan: "Penggunaan AI untuk menciptakan semula imej Encik Lee Kuan Yew mengucapkan selamat ulang tahun kepada Singapura adalah sebahagian daripada hasrat Encik Jack Neo sempena memperingati ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura."

"Kami menilai penggunaan imej Encik Lee dilakukan secara bermaruah."

Encik Neo memberitahu 8world dalam satu wawancara bahawa Singapura terhutang budi kepada perdana menteri pengasasnya dan memuji sumbangannya kepada negara.

Beliau menambah bahawa ramai yang masih bersedih atas pemergiannya.

Beliau berkata dengan menggunakan teknologi moden AI, beliau "membolehkan Encik Lee" mengucapkan selamat ulang tahun kepada Singapura.

Encik Neo menambah bahawa beliau merasakan ia sesuatu yang "sangat bermakna".

Beliau berkata bahawa beliau menulis lirik lagu tersebut, manakala komposisi, susunan dan vokal dijana menggunakan AI.

Menurut garis panduan MCCY mengenai penggunaan bahan yang sesuai berkaitan dengan Encik Lee, para individu boleh menampilkannya dalam karya-karya kreatif bagi dua tujuan: berkaitan dengan negara, tmerasuk karya seni atau penerbitan serta mendidik orang ramai tentang pencapaian Generasi Perintis Singapura.

Ini dengan syarat karya-karya tersebut "menjaga maruah dan hormat" kepada memori mendiang Encik Lee.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita