Skip to main content

Singapura

IMDA teroka teknologi sekat panggilan, kiriman teks penipuan

Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) sedang meneroka teknologi untuk menyekat panggilan dan kiriman teks secara automatik yang mempromosikan kegiatan-kegiatan haram.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Jan 2019 01:06PM Dikemas Kini : 16 Jan 2019 09:23PM

SINGAPURA: Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) sedang meneroka teknologi untuk menyekat panggilan dan kiriman teks secara automatik yang mempromosikan kegiatan-kegiatan haram.

Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran mendedahkan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan oleh Anggota Parlimen Dilantik Profesor Madya Walter Theseira pada Selasa (15 Jan).

Prof Madya Theseira bertanya sama ada MCI sedang meneliti huraian teknologi untuk menyekat panggilan penipuan - termasuk pemanggil yang menyamar diri sebagai pegawai penguat kuasa - dan pesanan teks yang menawarkan pinjaman haram, perjudian online atau kegiatan haram lain.

Encik Iswaran berkata IMDA sedang meneliti huraian yang digunakan atau sedang dibangunkan bidang kuasa lain, seperti pengesahan nombor panggilan.

Beliau menambah teknologi sedemikian masih baru dan keberkesanannya masih belum dapat disahkankan. IMDA, sebuah agensi di bawah MCI, sedang meneroka kebolehlaksanaannya.

Encik Iswaran juga berkata IMDA sedang berusaha untuk mengelakkan penggunaan kad SIM prabayar bagi tujuan kegiatan jenayah, dengan kerjasama Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Pasukan Polis Singapura.

Prof Madya Theseira juga bertanya jika MCI akan mengarahkan penyedia khdmat telko untuk membangankan dan melaksanakan teknologi untuk menangani panggilan dan pesanan teks penipuan.

Encik Iswaran menjawab, penyedia khidmat telko sedang membantu pihak polis menangani isu tersebut.

"Pihak berkepentingan lain juga memainkan peranan penting dalam membanteras panggilan dan pesanan teks sebegini. Penyedia khidmat telko sedang membantu pihak polis untuk menangani penipuan serta pesanan teks yang menawarkan pinjaman haram, perjudian online atau kegiatan haram lain."

Encik Iswaran menambah bahawa orang awam boleh mengambil langkah untuk melindungi diri daripada skim-skim sedemikian dengan melaporkan pemanggil 'spam' dan menggunakan penapis 'spam'.

"Lebih penting lagi, kita mesti mendidik orang yang disayangi agar tidak menjadi mangsa kegiatan haram menerusi panggilan dan pesanan teks sedemikian," tambah beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita