Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

IMDA siasat Gorilla Mobile kerana gantung langganan khidmat telko tanpa kebenaran pihak berkuasa

Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terhadap Gorilla Mobile kerana tidak mendapatkan kebenaran yang diperlukan sebelum menggantung pelan langganan khidmat telekomunikasinya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terhadap Gorilla Mobile kerana tidak mendapatkan kebenaran yang diperlukan sebelum menggantung pelan langganan khidmat telekomunikasinya.

Ini susuli pengumuman oleh syarikat telko maya itu bahawa ia akan berhenti menawarkan pelan langganan khidmat telko tempatan menjelang 31 Januari, namun kemudian mengubah pengumumannya itu.

Menjawab pertanyaan oleh Mediacorp, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) menyatakan pada Khamis (19 Jan) pihak Gorilla mesti mendapatkan kebenarannya untuk menamatkan khidmat kerana ia tertakluk di bawah syarat-syarat lesen yang ditetapkan ke atas syarikat telko itu. 

"IMDA mengambil pandangan serius terhadap pemegang lesen yang tidak mematuhi syarat lesen dan sedang menjalankan siasatan," menurut seorang jurucakap IMDA.

Pengendali telko seperti Gorilla mesti mendapatkan kelulusan IMDA secara bertulis terlebih dahulu sebelum menamatkan sama ada lesen atau salah satu daripada khidmatnya. Demikian menurut syarat-syarat yang tersenarai di bawah Lesen Operasi Berasaskan Perkhidmatan IMDA.

Mereka juga perlu memberikan notis bertulis kepada IMDA enam bulan sebelum ia merancang untuk menamatkan lesen atau tiga bulan sebelum ia merancang untuk menghentikan sebarang khidmat yang ditawarkan, menurut laman IMDA.

Dalam satu kiriman emel kepada para pengguna pada Isnin (16 Jan) dan notis di lamannya pada Selasa (17 Jan), Gorilla mengumumkan bahawa "pemberhentian pelan langganan telefon bimbit tempatan kami akan berkuat kuasa mulai 31 Januari 2023."

Namun, notis yang dimuat naik ke lamannya diubah beberapa kali selepas itu, pada awalnya memadamkan baris yang menyatakan bahawa hari terakhir perkhidmatan itu adalah pada 31 Januari, selain menyatakan bahawa pemberhentian khidmat tersebut akan dilakukan secara "bertahap-tahap".

Setakat Khamis, versi terkini notis itu menggesa para pengguna Gorilla di Singapura agar "beralih ke penyedia khidmat yang lain supaya dapat terus menggunakan khidmat tanpa gangguan" sedang firma itu menjalani "penambahbaikan teknikal".

Dalam notis terkini itu, ia tidak dinyatakan bila tarikh terakhir bagi perkhidmatan tersebut. 

IMDA menyatakan ia telah meminta firma itu supaya "memenuhi kewajipan mereka" terhadap para pengguna yang terjejas oleh penggantungan khidmatnya.

"Kami difahamkan mereka sudah memberikan notis tiga bulan yang diperlukan kepada para pengguna yang terjejas," menurut IMDA.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan